Isnin, 10 Februari 2020

Kerajaan Satu Penggal 3

ADAKAH KERAJAAN MALAYSIA BARU SEKADAR MEREHATKAN PEMERINTAHAN BARISAN NASIONAL

Bahagian 3

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16/11/2019 melengkapkan carta siri PRK sepanjang tahun 2019 yang tidak memihak kepada kerajaan Malaysia Baru. Kegagalan PH menggunakan peluang dan imej sebuah kerajaan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14, menjadikan tahun kedua era pemerintahan PH, tahun penilaian menerusi sikap dan gelagat rakyat mewakili 5 kawasan dari 5 negeri berbeza. 

Kehilangan undi yang besar dalam PRK Tanjung Piai, daripada perolehan 21,255 undi atau 47.29% undi dalam PRU14, merundum kepada 10,380 undi atau 26.74% dalam PRK, bukan mengejutkan PH malah seluruh negara. Sukar untuk diterima, kehilangan undi yang besar di kala peratusan keluar mengundi yang tinggi, iaitu 74.32%, mengatasi sasaran SPR. 

Penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai dari PPBM menang dengan majoriti kecil, 524 undi atau marginal 1.17%. Kebiasaannya dalam sejarah PRK di Malaysia, majoriti kecil dari parti kerajaan akan menghasilkan peningkatan majoriti kemenangan. Sebaliknya, jika kerusi pembangkang dimenangi dengan majoriti tipis, memberikan kelebihan kepada parti kerajaan untuk merampas kerusi. Suasana politik semasa di Malaysia berikutan kekalahan demi kekalahan dialami PH telah membuka ruang  kepada pembangkang di Tanjung Piai. Justeru  itu, tidak mengejutkan bila kerusi ini direbut oleh parti pembangkang selaku pencabar, dengan perolehan undi yang besar. Calon BN diwakili oleh MCA menang bergaya dengan majoriti 15,086 undi atau 38.31% perbezaan undi. 

Kejutan sebenar di Tanjung Piai ialah majoriti besar oleh calon BN menerusi calon MCA di kawasan campuran yang memperlihatkan penolakan terhadap PH yang meletakkan calon Melayu dari PPBM merentasi sempadan kaum. Pengundi Tanjung Piai dibarisi oleh 53.9% Melayu, 44.76% Cina. PRK Tanjung Piai memberikan satu input politik demokrasi di Malaysia bahawa pola sokongan pengundi mengikut kaum yang terbentuk dalam PRU14 berubah secara mendadak dalam tempoh kurang dua tahun. Bukan sahaja peratusan pengundi Melayu yang menyokong PH telah berkurang, tetapi pengundi Cina yang sebahagian besar mengundi PH sudah beralih kepada pembangkang. 

Ujian tahun 2020 kepada PH mewakili kerajaan dan blok pembangkang bermula dengan PRK Kimanis, 18/01/2020. PRK Kimanis diadakan lantaran penyandang kerusi Parlimen Kimanis dari BN/UMNO diistiharkan hilang kelayakan setelah calon Warisan berjaya dalam petisen pilihan raya. Kemenangan calon pembangkang, dengan majoriti tipis 156 undi atau marginal 0.62%, membuatkan keyakinan parti kerajaan  mampu dengan mudah merampas kerusi ini dalam PRK. 

Kimanis adalah kawasan majoriti masyarakat Islam khususnya Bumiputera Islam menguasai 63.2% pengundi. Jika di Tanah Melayu, output dari PRK pasca PRU14 memperlihatkan berlaku perubahan mendadak di kalangan pengundi Melayu/Islam menolak PH, Kimanis dilihat sebagai sejauhmana pendirian masyarakat Melayu/Islam di Borneo selepas PRU14. Jumlah keluar mengundi yang tinggi,  79.92% mengatasi peratusan mengundi sembilan PRK lain, dapatlah diterjemahkan kecelikan politik di kalangan rakyat semakan terserlah dan tersebar ke seluruh negara. 

Peningkatan undi BN dari 11,942 undi atau 47.71% dalam PRU14 ke 12,706 undi atau 54.34% dalam PRK, sementara di pihak calon parti Warisan, sekutu PH di Sabah, dilihat berlaku kemerosotan undi dari 11,786 undi atau 47.09% kepada 10,677 undi atau 45.66%. Pencapaian dalam PRK menjarakkan kemenangan calon BN dari majoriti tipis, 156 undi kepada 2,029 undi atau 8.68%. 

Pemerhatian berdasarkan sepuluh PRK pasca PRU14, dengan masing-masing PH dan BN memiliki lima kemenangan yang tidak seimbang. PH berjaya pertahan lima kerusi kubu kuat atau perolehan majoriti besar dalam PRU14. Pencapaian BN sebagai pembangkang relatifnya lebih baik, apabila merampas dua kerusi milik PH dan mencatat pelebarkan kemenangan di kerusi majoriti kecil.

Prestasi kerajaan PH lebih mudah dan lebih relevan bila diukur berdasarkan perbandingan statistikal. Perbandingan ini menterjemahkan ketepatan fakta bukan satu persepsi dan andaian. Menganalisa sepuluh PRK pasca PRU14, walaupun tidak merangkumi semua negeri, tetapi sebagai bahan sampling bolehlah menterjemahkan gelagat khalayak awam. 

Sepuluh bahagian pilihan raya yang terlibat dengan PRK sudah mewakili kerusi dimenangi PH dengan majoriti selesa, kawasan PH kalah tipis di samping PH menang tipis, yang memberikan ruang cukup lumayam PH sebagai kerajaan boleh memenangi sekurang-kurangnya 9 dari 10 kerusi tersebut. Kawasan-kawasan berkenaan mewakili kawasan campuran, kawasan majoriti Melayu dan kawasan majoriti bukan Melayu, sudah melangkapkan satu keperluan membina tabiat dan kecenderungan pengundian pasca PRU14. Prestasi PH dan sekutunya di Cameron Highlands, Semenyih, Tanjung Piai dan Kimanis amat mendukacitakan yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Akhir-akhir ini digembar-gemburkan  kecenderungan ke arah kerjasama UMNO, Pas dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi membentuk sebuah kerajaan baru. Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha meletakkan kembali negara di landasan tepat dalam soal kehidupan dan kebajikan rakyat dan  ekonomi negara. 

Kerjasama ini didorong oleh faktor prestasi Kabinet yang tidak memberangsang, isu keyakinan pelabur luar dan lebih penting ialah masalah dihadapi rakyat seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup meningkat dan batasan bantuan. 
Imej Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara lantaran desakan dan asakan bertubi dari anggota komponen Pakatan Harapan agar peralihan kuasa dapat direalitikan menjelang Mei ini. Situasi lebih hangat lagi, terbaru; di pihak kepimpinan PH meminta Tun mengotakan janji, di pihak pembangkang cadang undi usul undi percaya terhadap PM. Tun sudah memberi ulasan bahawa kedudukan PM di tangan anggota Dewan Rakyat. 

Pandangan setengah pihak khususnya pihak pembangkang bahawa kerajaan PH adalah kerajaan satu penggal mungkin menjadi realiti berasaskan prestasi PH dalam beberapa PRK serta alasan-alasan prestasi pentadbiran PH yang tidak memberangsangkan pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi. Tunggu dan lihat, apakah episod seterusnya menjelang Mei ini dan detik-detik berikutnya menjelang PRU15.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan