Jumaat, 19 Januari 2018

Cabaran Pakatan Harapan

CABARAN PAKATAN HARAPAN MENGUASAI KAWASAN MELAYU.

Pakatan Harapan telah selesai membuat agihan kerusi pilihan raya Parlimen di Semenanjung minggu lepas. Parti Peribumi Bumiputera Bersatu (PPBM) diperuntukkan 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Parti Amanah Negara (Amanah) diberi 27 kerusi, dari jumlah 165 kerusi Parlimen. 

Berbanding agihan dalam Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13); Pas 66, PKR 64 dan DAP 35. Agihan untuk DAP kekal iaitu kawasan majoriti bukan Melayu atau kawasan bandar. Penyertaan PPBM, serpihan UMNO telah memecahkan penguasaan kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran yang dulunya diperuntukkan kepada Pas dan PKR. Amanah serpihan Pas tidak diberi peranan mengganti Pas dalam pakatan pembangkang. Sebahagian kerusi majoriti Melayu milik PKR diberikan kepada PPBM serta 60% kerusi majoriti Melayu diagihkan kepada PPBM, menjadikan Amanah sekadar menumpang sebagai rakan kongsi kecil. 

Agihan kerusi ini meletakkan PPBM sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang, sungguhpun agihan bagi Sabah dan Sarawak, bagi baki 57 kerusi Parlimen, belum disempurnakan. Justeru PPBM hanya berfokus kepada Semenanjung, memungkinkan PKR lebih banyak dapat peruntukan kerusi. 

Berbeza dengan UMNO yang mendominasi BN, dengan fokus kepada kawasan majoriti Melayu di Semenanjung serta kawasan majoriti Bumiputera di Sabah, PPBM sebagai serpihan UMNO bertumpu di Semenanjung, sebagai teras dominasi politik nasional.  Sementara PKR memberi tumpuan kepada kawasan campuran dan semi-bandar, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. 

Agihan kerusi dalam pakatan pembangkang menerusi Pakatan Harapan sebagai persiapan menghadapi PRU14, tiada beza dengan pola agihan dalam Pakatan Rakyat semasa PRU12 dan PRU13. Dalam Pakatan Rakyat, agihan dan fokus parti kepada demografi, sosio-geografi dan komposisi etnik kawasan pilihan raya dengan; Pas di kawasan majoriti Melayu, PKR di kawasan campuran dan DAP di kawasan majoriti bukan Melayu, yang relatifnya kawasan kota. 

Calon Melayu mewakili pakatan pembangkang mengatasi bilangan calon Melayu yang diletakkan BN dalam PRU12 dan PRU13. Daripada agihan kawasan atau kerusi Parlimen minggu lepas, bilangan calon Melayu mewakili PPBM, PKR dan Amanah lebih ramai dari calon UMNO. Kawasan-kawasan campuran seperti Tapah, Alor Gajah, Simpang Renggam dan Tanjung Piau, akan ditandingi PPBM untuk menentang calon MIC, MCA dan Gerakan yang akan diletakkan oleh BN sebgaimana PRU13. Dalam PRU13, calon UMNO diletakkan untuk ganti calon MCA di kawasan tradisi MCA dalam PRU12; Kuantan, Wang Maju dan Gelang Patah, tetapi masih gagal mengatasi calon pakatan pembangkang. Kerusi-kerusi campuran yang ditandingi calon bukan Melayu dari MCA dan MIC kalah kepada calon Melayu dari pakatan pembangkang yang membantu meletakkan lebih ramai Ahli Parlimen Melayu/Islam bermula PRU12. Kerusi-kerusi tersebut: Bandar Tun Razak, Teluk Kemang, Kota Raja, Lumut, Raub dan Bukit Bendera.  

Dalam PRU12, BN meletakkan seramai 103 calon Melayu melalui UMNO dari jumlah 165 kerusi Parlimen Semenanjung berbanding 115 calon Melayu mewakili Pas dan PKR. Dalam PRU13, BN meletakkan seramai  107 orang calon Melayu menerusi UMNO (106 orang) dan seorang Bebas di Pasir Mas (bila calon UMNO tarik diri) berbanding 117 calon Melayu dari Pakatan Rakyat, termasuk DAP.

Dalam Pakatan Harapan pola agihan dipecahkan kepada dua kelompok; kawasan majoriti Melayu dan campuran, dan kawasan majoriti bukan Melayu. Ianya lebih bersifat agihan antara desa dengan kota, secara campuran desa-kota. DAP mendominasi kawasan kota, sementara kawasan luar bandar ditaburkan antara PPBM, PKR dan Amanah. 

PRU14 diramalkan fokus kepada keupayaan mana-mana parti menguasai undi Melayu atau undi kawasan luar bandar. PRU14 menjadi perebutan undi teras politik Malaysia iaitu Melayu Semenanjung. Justeru DAP yang berjaya menguasai undi kota di seluruh negara dan dijangka sokongan bukan Melayu khususnya masyarakat Cina kepada DAP akan kekal atau mungkin meningkat, peranan dan pengaruh pengundi bandar kekal sebagaimana PRU13. Sehubungan dengan itu, nasib BN sama ada akan terus berkuasa atau kelompok lain akan berkuasa, undi Melayu akan penentu atau kuasa politik Melayu menjadi feels good factor. 

PRU14 yang diramalkan giliran tsunami Melayu pula yang akan menyaksikan kelompok mana yang mendapat manfaat. Apakah tsunami Melayu akan membantu memulihkan UMNO membantu BN memperolehi majoriti mutlak. Persoalan kedua, sejauhmanakah keupayaan Pakatan Harapan menerusi pakatan baru, dengan kemunculan PPBM dan Amanah mampu menarik undi Melayu melakukan tsunami Melayu untuk merudumkan dominasi UMNO. Persoalan ketiga, apakah keberkesanan Pas sebagai kuasa ketiga yang mengheret PRU14 kepada saingan tiga penjuru berkuasa memanfaat dari tsunami Melayu untuk meletakkannya sebagai faktor penentuan kuasa. 








 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan