Khamis, 24 Ogos 2017

Faktor FELDA 1

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA

bahagian 1

Penempatan peserta rancangan pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Peserta (FELDA) yang bertaburan sebanyak 321 penempatan seluruh negara, kecuali Sarawak telah dirangkumkan sebagai antara faktor utama membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya. Faktor FELDA  disinonimkan dengan pengaruh UMNO. Lantaran ketiadaan UMNO di Sarawak, mengasingkan Sarawak dari faktor dan sumbangan FELDA menyelebihi UMNO dan BN. 

321 penempatan FELDA dengan 122,000 keluarga Melayu berada dalam 54 bahagian pilihan Persekutuan atau kawasan Parlimen. Kawasan penempatan FELDA utama ialah di Pahang yang diletakkan di bawah 3 pejabat wilayah; 41 di bawah pejabat wilayah Kuantan, Mempaga (37) dan Jengka (37) berjumlah 115. Kecuali kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota, baki 12 kawasan Parlimen memiliki daerah mengundi dari rancangan FELDA.  Warga FELDA merupakan satu pertiga pengundi di 6 kawasan Parlimen; Kuala Krai (38% pengundi adalah penghulu rancangan FELDA), Rompin (34.4%), Maran (33.4%), Bera (31%), Paya Besar (30.8%) dan Jerantut (29.6%). 

Pemilihan peserta atau peneroka rancangan pembangunan tanah FELDA yang bermatlamat untuk mengatur dan menyusun semula serta memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar. Justeru pemilihan peserta atau pengambilan peneroka menerusi pihak berkuasa negeri, menyerlahkan ruang untuk memperkukuh kekuatan parti yang berkuasa. Oleh yang demikian, penempatan rancangan FELDA secara sinonimnya gambaran kekuatan UMNO. 

Di rancangan FELDA Kemahang 1, dalam kawasan Parlimen Tanah Merah, pesertanya dipilih masa Pas dalam Barisan Nasional (1973-19770, sementara FELDA Kemahang 2 dan Kemahang 3 dibuka zaman BN memerintah Kelantan (1978-1990), dalam setiap kali pilihan raya, Pas menguasai undi di Kemahang 1, sementara BN menguasai Kemahang 2 dan Kemahang 3. Keseluruhannya BN menguasai semua daerah mengundi yang melibatkan rancangan FELDA, kecuali ada kes-kes terpinggir. Dalam PRU13, Pas menguasai undi di FELDA Jengka 18 dalam Parlimen Kuala Krau dan FELDA Padang Piol, dalam Parlimen Jerantut. 

Zaman Pas dalam BN, Pas diberikan portfolio Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas menerusi Dato' Mohd Asri Haji Muda. Portfolio ini dipertanggungjawabkan kepada pembangunan tanah FELDA dan FELCRA, di samping urusan Lembaga Urusan Tabung Haji. Pas berpeluang menyerap masuk ke rancangan tanah FELDA, yang menggusarkan UMNO, yang membawa kepada antara faktor perlunya Pas disingkirkan dari BN. Kesempatan seketika ini, sedikit sebanyak merintis pengaruh Pas di beberapa rancangan tanah FELDA.

Persempadanan kawasan pilihan raya 2003, lebih banyak membentuk kawasan campuran, kawasan bandar dan separa bandar yang dikuasai oleh pengundi bukan Melayu dicantumkan kawasan FELDA yang dikuasai oleh pengundi Melayu. Pilihan Raya Umum 2004, memberikan keuntungan berganda kepada BN tetapi tidak bertahan lama, bila berlaku alihan sokongan kepada BN di kawasan bandar dan luar bandar. Oleh kerana jumlah kerusi Parlimen yang terkandung penempatan pembangunan tanah FELDA agak besar juga, 54 kawasan Parlimen, banyak membantu BN mempertahankan kuasa dalam PRU12 dan PRU13. 

BN mengekalkan dengan majoriti besar di kawasan peratusan pengundi FELDA yang tinggi, saperti Rompin, Kuala Krau, Tenggara, Sembrong. Di kawasan Bentong, kubu kuat MCA sejak lebih 60 tahun, BN hampir hilang kerusi, bila calon MCA/BN menang dengan majoriti kecil, 379 undi atau 0.74%, ianya dibantu oleh pengundi Melayu dari FELDA. Di kerusi negeri Pelanggai, kawasan majoriti Melayu, calon Pas perolehi 1,526 undi dari daerah mengundi FELDA, tetapi bagi pengundi untuk kerusi Parlimen yang ditandingi DAP, 1,325 undi diberikakan kepada calon DAP, bermakna seramai 201 pengundi FELDA mengundi Pas untuk kerusi negeri tetapi tidak undi calon DAP bagi kerusi Parlimen, dalam kerjasama politik yang mewujudkan persaingan dua penjuru. Di Bentong, 17.6% pengundi adalah dari rancangan FELDA dengan 50.37% pengundi kawasan Parlimen ini adalah orang Melayu.  Kawasan Parlimen Bentong mempunyai 4 kerusi pilihan raya negeri yang semuanya terlibat dengan penempatan FELDA: Bilut, Ketari, Sabai dimenangi DAP, sementara Pelanggai dimenangi UMNO, tetapi calon BN dipilih mewakili Parlimen Bentong, yang bernasib baik mempunyai bilangan pengundi FELDA yang cukup untuk membantu memenangkan BN. 

Kerusi Cameron Highlands, sama saperti Bentong, sebuah kawasan campuran dengan pengundi Melayu menguasai 48.04% jumlah pengundi, kubu BN sejak sekian lama, dalam PRU13 memerlukan bantuan peneroka FELDA. Parlimen ini mempunyai dua kerusi negeri: Tanah Rata dimenangi DAP dan Jelai yang dimenangi UMNO. Rancangan FELDA hanya terdapat di Jelai. Undian pembangkang dari daerah mengundi FELDA, 1,026 diberikan kepada calon Pas yang bertanding bagi kerusi Jelai, tetapi pengundi yang sama hanya memberikan 742 undi kepada calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen, iaitu 284 pengundi FELDA tidak mengundi DAP untuk kerusi Parlimen. Jika pengundi FELDA yang mengundi calon Pas untuk kerusi negeri juga mengundi calon DAP untuk kerusi Parlimen, sepatutnya calon MIC yang menang kerusi Parlimen Cameron Highland kurang 200 undi, bukannya majoriti 462 undi dalam PRU13. 

Kerusi Parlimen Labis, yang juga kawasan campuran, di mana pengundi Melayu adalah 50.56%, BN hanya menang dengan majoriti 353 undi atau 1.14%, yang memberikan majoriti bergaya dalam mana-mana pilihan raya sebelum PRU13. Parlimen Labis mempunyai 11.7% pengundi FELDA. Kerusi negeri Bekok, separa bandar, dimenangi DAP dan kerusi negeri Tenang, kawasan kampung tradisional Melayu dan penempatan FELDA dimenangi UMNO. Di Tenang, dari daerah mengundi FELDA dalam PRU13, untuk kerusi negeri yang ditandingi Pas, 655 undi diberikan kepada calon Pas, tetapi calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen, hanya perolehi 537 undi.  

Dalam PRU13, dikenalpasti kemenangan BN di 9 kawasan campuran banyak dibantu oleh pengundi FELDA: Segamat, Sekijang, Labis, Tebrau, Jempol, Bera, Bentong, Cameron Highlands dan Tanjung Malim. Di Segamat, yang mempunyai 44% Melayu, 46% Cina, 10% India, BN menang dengan 1,217 undi atau 3.13%, di Parlimen Tebrau, pengundi Melayu 47%, Cina 38%, India 13%, BN menang 1,767 undi atau 2.26%.

bersambung








 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan