Selasa, 30 Mei 2017

Politik untuk agama

BERPOLITIK UNTUK JAGA AGAMA

Ulasan Dr Kamarul Zaman Yusof dari UUM terhadap hasil tulisan Hannah Yeoh, politikus muda DAP, sebagai satu cabaran baru dalam aliran pendekatan dan strategi parti-parti poltik dalam sebuah negara berbilang bahasa, etnik dan kepercayaan seperti Malaysia. Isu pendekatan agama untuk mencapai kuasa dan sebaliknya, mencapai kuasa untuk memertabatkan agama, adalah satu gambaran dinamikal proses demokrasi kepilihanrayaan.

UMNO musuh tradisi dan musuh ketat Pas sejak sebelum dan selepas merdeka, yang merebut undi masyarakat Melayu, yang berlatarbelakangkan sektor luar bandar, tradisional dan ekonomi primer, di mana Pas menjadi mangsa bulian oleh UMNO, yang menguasai kuasa pemerintah. Pas dituduh menggunakan agama untuk mencapai kuasa. Pas disifatkan memutarbelit ajaran dan dogma agama, semata-mata untuk tujuan politik. Pas memalingkan kefahaman agama ke arah unsur-unsur anti kemajuan dan meminggirkan kepentingan duniawi. 

Apabila Pas berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan semula dalam tahun 1990, setelah kerajaannya sebelum itu dirampas oleh UMNO. Pembentukan kerajaan semula, setelah pernah tewas dan pernah bentuk kerajaan, mengajak Pas membuat anjakan  pentadbiran kerajaan baru dengan harapan pentadbiran yang lebih baik dari kerajaan yang pernah dibentuk Pas dan kerajaan BN pimpinan UMNO di Kelantan. Di bawah kepimpinan Tuanguru Nik Abdul Aziz (TGNA), kesempatan memperolehi kuasa sebuah kerajaan negeri yang terhad dari segi Perlembagaan dan terbatas dari segi kewangan, 100 perubahan dipadankan dari ajaran Islam serta roh Islam sebagai rahmatul alamin telah dilakukan dalam berbagai bidang; pentadbiran, birokrasi, kewangan, kebajikan. Perubahan tersebut berlaku secara beransur dan secara teknikal, bukan overhaul sebuah jentera atau rombakan sebuah sistem.

Bermula tanpa pindaan arahan pentadbiran dan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri, TGNA mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri menggunakan akaun Bank Islam (BIMB) dan menarik simpanan di mana-mana akaun institusi kewangan konvensional, demi mengelakkan penglibatan dengan sistem riba'.  Tindakan TGNA ini menjadi kejutan dan cabaran bank perdagangan konvensional, yang mencetus kepada pengwujudan akaun Islamik di kebanyakkan bank perdanganan dan syarikat kewangan. 

UMNO menjadikan modal utama menyerang Pas sepanjang masa menggunakan agama untuk mencapai tujuan politik. Sebaliknya beberapa perubahan dalam amalan pentadbiran yang dipelopori oleh Pas yang mendapat kuasa di Kelantan, ditiru satu demi satu walaupun dicemuh dan dikritik pada awalnya dianggap remeh dan tiada nilai ekonomik ditiru oleh kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO sebagai kepala. Antara perubahan; memulakan majlis dengan bacaan surah Al Fatihah dan berakhir dengan surah Al Asr dan tasbih kafarah, memendekkan bilangan hari bekerja, memanjangkan cuti ibu bersalin kepada 3 bulan. 

Berkat ketelusan dan jimat berbelanja, peringkat awal pemerintahan TGNA, UMNO menjangka kerajaan TGNA hanya akan bertahan setakat 3 bulan sahaja, berasaskan sumber kewangan kerajaan negeri yang terhad. Bila masih kekal 3 bulan, disebut setakat 6 bulan, dengan kemampuan kerajaan TGNA pertahan kerajaan, dijangkakan sekadar satu tahun saja hayat kerajaan Pas Kelantan. Selepas kegagalan ramalan berasaskan cara belanja pentadbiran Kelantan masa UMNO berkuasa, selepas  setahun, tiada lagi ramalan nakal penuh dengki dilontarkan kepimpinan UMNO. 

Sebaliknya UMNO mendakwa perjuangannya mendapatkan kuasa untuk menjaga agama. Memanglah UMNO berjaya menggunakan kuasa politik untuk meningkatkan syiar agama, fokus kepada pembangunan lahiriah dengan perkembangan institusi agama, tetapi gagal membangunan pembangunan insaniah dalam membentuk keperibadian muslim. Keborosan, ketidakadilan, ketidaktelusan, ketirisan, penyelewengan sumber awam serta membesarkan pengaruh kroni dan kepuakan, menampakkan perbezaan manfaat kuasa yang diperolehi antara UMNO dengan Pas yang diberi kesempatan menguasai Kelantan, serta Terengganu dan Kedah dalam tempoh yang pendek. 

PBS di bawah kepimpinan Pairin Kitingan di Sabah (1985-1994), menggunakan kuasa kerajaan negeri membantu perkembangan Kristian. Perkembangan serta kemudahan diberi kepada perkembangan Kristian, menggusarkan kerajaan Persekutuan. Usaha-usaha UMNO selaku penguasa Persekutuan, akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan PBS dalam tahun 1994. 

Apa yang dibangkitkan oleh seorang pensyarah UUM, ada cetusan usaha dari kepimpinan DAP, berdasarkan tulisan seorang pemimpin DAP, yang mempunyai hasrat dan hala tuju, menyerap nilai-nilai atau ajaran Kristian dalam pentadbiran. Pensyarah UUM itu mempersoalkan keikhlasan perjuangan sekularisme DAP, sebuah parti sosial demokrat, di mana tulisan pemimpin DAP tersebut menafikan sekularisme yang memisahkan agama dan politik. Secara langsung tiada beza, UMNO, PBS dan DAP, menggunakan kuasa untuk agama. 

Masa merubah senario dan pendekatan strategi dan tingkahlaku politik demi memenuhi tuntutan masa, UMNO yang dulunya mempertahankan "politik suku agama suku" untuk mematikan hujah Pas berdepan khalayak luar bandar, kini merestui kesyumulan Islam sebagai cara hidup. UMNO mengadaptasikan pendekatan tuntutan semasa;  Islam tidak boleh dipisahkan dari politik. Tuntutan Islam menyelesaikan masalah sosial dan masalah ummah, memerlukan kuasa politik.  

Jika pendekatan yang cuba diambil oleh pemimpin muda DAP, seperti Hannah Yeoh, menjadikan keterlibatan dalam masyarakat menerusi politik sebagai cara menyampaikan serta melaksanakan nilai-nilai yang dituntut oleh Kristian. Justeru dengan mendapat kemudahan menerusi kuasa, peluang dan ruang yang tersedia dimanfaatkan. Secara langsung pendekatan di atas doktrin sekularisme yang didakwa menjadi asas perjuangan beberapa parti utama, akan terhakis secara perlahan. Apakah pendekatan ini menjadi aspirasi hasil pendekatan yang digunakan oleh pentadbiran TGNA, walaupun kuasa kerajaan negeri yang serba terbatas dalam sebuah negara Persekutuan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan