Rabu, 10 Mei 2017

Pas Paling Berani

PAS ISTIQAMAH DENGAN PERLEMBAGAN, TINDAKAN PALING BERANI

Pas baru selesai mengadakan Muktamar Agungnya atau mesyuarat agung tahunan buat kali ke 63, yang mana agenda utamanya pemilihan kepimpinan parti untuk tempoh dua tahun; 2017-2019. Pujian harus dilontar untuk kepimpinan Pas kerana patut kepada apa yang termaktub dalam peraturan pengurusan organisasi atau perlembagaannya, satu tindakan yang cukup berani di kala parti-parti utama bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang boleh diadakan bila-bila masa. Pas akur kepada peraturannya iaitu mengadakan pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat; cawangan, kawasan dan pusat, dengan kerja-kerja untuk persiapan menghadapi PRU14 berjalan seiringan. 

Perlembagaan Pas menetapkan tempoh sesebuah jawatankuasa tadbir  di ketiga-tiga peringkat akan tamat tempohnya 2 tahun dan pemilihan baru hendaklah diadakan untuk memilih pemegang jawatan untuk tempoh dua tahun berikutnya, dalam mesyuarat agung tahunan cawangan, mesyuarat agung tahunan kawasan, dan muktamar tahunan pusat, merangkumi jawatankuasa induk serta jawatankuasa sayap: ulamak, pemuda dan muslimat. Sebagai sebuah parti yang paling lama, institusi dan intergriti tradisi terus dipertahan dan dikekalkan untuk mempertahankan lagenda keberadaannya dalam arena politik dalam sebuah negara demokrasi yang masih utuh amalanya. 

Tahniah buat Pas yang mempertahankan parti tidak tercalit dengan gangguan intergriti demi hayat parti. Setiap dua tahun, pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat berjalan ikut arahan perlembagaan parti, walaupun parti berdepan dengan agenda lebih utama iaitu pilihan raya umum.  

Dalam tahun 1999, di kala gelombang reformasi sedang meledak dan diramalkan pilihan raya umum boleh akan diadakan bila-bila masa, Pas tetap mengadakan pemilihan parti dengan meletakkan patuh kepada peraturan parti mengatasi persiapan parti mengahadapi PRU.  Muktamar Pas pusat diadakan pada 28 Mei hingga 1 Jun, yang memilih Jawatankuasa Agung.  Sepanjang bulan Mac hingga April, diperuntukan untuk pemilihan peringkat cawangan dan kawasan, tanpa risko kepada masalah dalam parti: perpecahan kesan persaingan jawatan. 

Tanda-tanda awal dan ciuman bau PRU awal akan diadakan, tidak menjejaskan pengurusan mesyuarat dan pemilihan kepimpinan parti semua peringkat bagi Pas. Jadual tahunan pengurusan parti yang routine tidak terganggu dan tidak menjadi satu ancaman kepada persiapan parti menghadapi PRU. Tambahan pula, Pas sedikit merosot pencapaiannya dalam PRU 1995 berbanding PRU 1990 serta keluarnya Semangat 46 dari pakatan kerajaan campuran di Kelantan serta pembubaran parti dan secara en blok sertai UMNO.

Kerja-kerja persiapan SPR untuk PRU 1999 sudah bermula seawal 1999. SPR telah mengesahkan daftar pemilih berakhir 1998, pada minggu pertama Januari 1999, sebagai langkah awal, kemungkinan kerajaan BN membubarkan Parlimen lebih awal sebelum cukup tempoh 5 tahun hayat Parlimen semasa. Kerja-kerja rasmi persediaan pengurusan pilihan raya bermula seawal Julai 1999. Taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus bermula 4 Julai hingga 20 Ogos di setiap negeri secara berjadual, bermula di Kelantan. Diikuti taklimat kepada anggota tentera dan polis bagi undi pos, dari 13 September hingga 19 Oktober, bermula di Kedah/Perlis dan berakhir di Sarawak. 

Semasa sidang belanjawan 2000 sedang berlangsung, Parlimen dibubarkan pada 10 November 1999. Untuk PRU1999, hari penamaan calon ditetapkan 20 November dan hari membuang undi, 9 hari kemudian, 29 November 1999. Pas memberian prestasi terbaik, di samping mempertahankan Kelantan, meninggalkan kerusi batu nisan untuk UMNO dalam DUN, Pas merampas kerajaan Terengganu. 

Dalam politik tanah air selepas Peristiwa 13 Mei, Pas berdepan dengan mesyuarat pemilihan kepimpinan dalam 3 kali PRU. Di samping PRU 1999, ialah PRU 1995 dan PRU 2013. Pas mengekalkan jadual mesyuarat pemilihan semua peringkat setiap 2 tahun. Cuma dalam PRU 1995 dan PRU 2013, oleh kerana PRU diadakan pada Mei 1995 dan Mei 2013, Pas menundakan mesyuarat pemilihan parti selepas PRU, berbanding lzimnya bermula bulan Februari dan berakhir muktamar pusat pada akhir Mei atau awal Jun, sama ada muktamar tahunan biasa atau terlibat dengan pemilihan kepimpinan parti. 

Secara perbandingnya dalam mengatur mesyuarat pemilihan parti, lebih releven dibandingkan dengan parti-parti dominant dalam politik tanah air: UMNO dan DAP. PKR walaupun menguasai kerajaan negeri dan antara 4 parti yag menguasai kerusi di Parlimen, tetapi ianya sebuah parti baru berbanding dengan UMNO, DAP dan Pas. UMNO dan Pas bermula dengan zaman belum merdeka, terlibat dengan pilihan raya pertama, sementara DAP bermula peranan selepas penubuhan dalam tahun 1966 dan antara parti utama menguasai medan bermula PRU 1969 hingga kini.  

Ancaman terbesar UMNO bermula pemilihan 1987, yang membawa kepada pengharaman parti dan terbentuk parti serpihan yang turut membantu memerosotkan undi UMNO dalam PRU 1990, serta kehilangan kuasa sebuah kerajaan negeri. Mesyuarat agung semua peringkat; cawangan, bahagian dan pusat, bagi memilih kepimpinan penggal 1990-1993 diadakan mengikut jadual, di pertengahan tahun. Selesai UMNO mengadakan perhimpunan tahunannya, SPR mengadakan taklimat untuk pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus bermula 4 Ogos di Kelantan, dan berakhir pada 2 September 1990. Parlimen dibubarkan pada 4 Oktober, penamaan calon seminggu kemudian, 11 Oktober dan hari mengundi pada 20 dan 21 Oktober. 

Sungguhpun sebahagian "Team B" dalam UMNO mengundurkan diri dari UMNO, memudahkan perjalanan mesyuarat agung parti bagi tahun 1990 ini, memberi impaks besar kepada parti, sebagaimana yang diterjemahkan kepada pencapaian calon-calon UMNO dalam PRU1990. Mengambil pengalaman 1990, UMNO terpaksa buat keputusan menangguhkan pemilihan parti bagi sesi 1999-2002, yang sepatutnya diadakan pada Jun 1999. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Januari 1999, membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti. Cabaran dan ledakan kebangkitan rakyat menerusi gelombang "Reformasi" menjadi inspirasi UMNO menangguhkan pemilihan, dan tumpukan memanggil pilihan raya awal. 

Satu pilihan raya lebih awal, di mana penggal Parlimen semasa akan berakhir pertengahan 2000, bimbang ancaman kesan gelombang kebangkitan rakyat kepada UMNO dan BN dalam mempertahankan kuasa. Sebagaimana kebimbangan UMNO melupakan urusan pemilihan parti dalam tahun 1999, dengan tumpuan kepada persiapan PRU lebih awal, ianya sebagaimana dijangka pengaruh UMNO semakin merosot, kehilangan dua buah negeri majoriti Melayu dan buat pertama kali selepas Peristiwa 13 Mei, pasukan pembangkang di Parlimen dikuasai oleh legislator Melayu.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diadakan pada 12 April 2000, dengan mesyuarat pemilihan peringkat cawangan dan bahagian dalam bulan Februari hingga Mac. UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 18 November 2000, meminda peruntukan dalam perlembagaannya; melanjutkan tempoh 18 bulan untuk pemilihan kepimpinan dari tarikh perhimpunan agung untuk pemilihan jawatan Majlis Tertinggi. Pindaan ini membentuk Fasal 10.17 Perlembagaan UMNO. 

Pemilihan untuk kepimpinan semua peringkat bagi sesi 2003-2007, yang sepatutnya genap tempoh dalam tahun 2003, ditangguhkan selepas PRU 2004. Untuk sesi berikut, sepatutnya PAU untuk pemilihan MT pada November 2007 telah ditangguhkan ke Disember 2008, untuk memberi laluan kepada tumpuan kepada PRU 2008. PAU memilih pemimpin ialah November 2013 untuk kepimpinan semasa iaitu sesi 2013-2016, yang sepatutnya genap tempoh 3 tahun dalam akhir 2016, telah dilanjutkan sehingga Jun 2018, iaitu sehingga tamat penggal Parlimen semasa. Bererti pemegang jawatan parti sesi semasa boleh memegang jawatan hingga 5 tahun 6 bulan. 

DAP telah mengadakan kongres nasional untuk memilih kepimpinan tertinggi parti; Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada 15 Disember 2012. Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 18 April 2013 tidak iktiraf CEC sesi 2012-2015,   yang dipilih kerana beberapa perlanggaran peraturan, di kala DAP sedang bersiap sedia hadapi PRU13. Pembatalan ini yang membawa kepada kemungkinan DAP tidak dapat bertanding dalam PRU13. Status DAP sebagai sebuah pertubuhan politik berdaftar yang diancam hilang kelayakan sebuah parti politik, menyebabkan DAP mengambil keputusan menggunakan lambang Pas di negeri-negeri Tanah Melayu dan logo PKR di Sabah dan Sarawak dalam PRU13. Malam penamaan calon, ROS mengiktiraf DAP dan layak bertanding dalam PRU13. 

DAP diarahkan mengadakan pemilihan semula anggota CEC. Kongres nasional DAP diadakan pada 28 September 2013 untuk memilih semua pucuk kepimpinan. Pucuk kepimpinan DAP semasa sudah menempuh tempoh 3 tahun dan sepatutnya pemilihan CEC baru sesi sekarang diadakan dalam tahun 2016.  Hingga kini, DAP belum mengadakan kongres nasional untuk pemilihan kepimpinan, di kala semua parti sedang membuang persiapan hadapi PRU14, yang perlu diadakan sebelum Jun 2018. 

Secara perbandingan dari sudut intergriti dan istiqamah, Pas jauh terkedepan berbanding UMNO dan DAP. Pas patuh kepada peraturan tempoh atau penggal bagi Jawatan Kuasa Pusatnya ialah dua tahun, sejak ditubuhkan hingga hari ini. Tiada sebarang penangguhan atau penundaan kecuali di masa pentadbiran di bawah kuasa dharurat, Majlis Gerakan Negara (Mageran) selepas Peristiwa 13 Mei. Pas kekal dengan 3 asas penubuhannya: parti politik untuk mendapat kuasa, sebuah organisasi tarbiyah dan sebuah gerakan dakwah. 

Berlainan dengan UMNO dan DAP, dengan matlamat yang satu iaitu sebuah parti politik bertujuan untuk mendapat kuasa. Lantaran itu, Pas meneruskan peranannya sebuah sebuah pertubuhan politik, dakwah dan tarbiyah, walaupun UMNO terpaksa membeku dan menunda tarikh mesyuarat pemilihan di kala parti membuat persiapan untuk PRU. Pengalaman UMNO dalam PRU 1990 dan PRU 1999, terdedah kepada pemulauan, cah keting, tikam belakang dan sebagainya. 

Syabas Pas berjaya mengadakan muktamar serta memilih pemimpin di semua peringkat tanpa takut kepada kerja-kerja buruk ahli yang tidak berpuas hati di kala persiapan menghadapi PRU14 yang boleh diadakan bila-bila masa, tidak melebihi Jun 2018. Di mana intergriti, ketelusan, pengorbanan ahli dan keikhlasan dalam perjuangan berorganisasi bagi UMNO dan DAP, sebagai parti yang berpengalaman dan paling lama keberadaan dalam arena politik demokrasi berparlimen.

 








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan