Isnin, 22 Mei 2017

Apa Muslihat SPR

APA MUSLIHAT SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MENGHENTIKAN EDARAN RANG DAFTAR PEMILIH KE PARTI POLITIK

Bermula Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT)      Suku Pertama 2017 yang sedang dipamerkan untuk bantahan dan tuntutan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi mengedarkan salinannya sama ada dalam bentuk soft copy atau hard copy kepada pelanggannya, parti-parti politik. Persoalannya, apakah muslihat SPR memperhentikan amalannya mengedar salinan RDPT kepada parti-parti politik. Edaran kepada parti-parti politik adalah untuk memudahkan sasaran pameran sampai ke pelanggan khususnya pemilih untuk tindakan susulan, kiranya perlu. 

Sebelum ini, setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, SPR telah tidak lagi melantik wakil-wakil parti sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (ARO). Kedua-dua tindakan SPR ini dilihat sebagai usaha untuk menghadkan dan mengekang peranan parti-parti politik dalam urusan pendaftaran pemilih. Menafikan peranan parti-parti politik dalam urusan pendaftaran pemilih dan bantahan daftar pemilih, akan menggaanggu  nilai intergriti SPR dikaca khalayak awam, yang sebelum ini dituntut reformasi operasi pendaftaran pemilih di mana SPR digambarkan berbagai wajah buruk dan tidak telus. 

Belum pun selesai urusan persempadanan kawasan pilihan raya yang bermatlamat tanpa berselindung untuk mempastikan talian hayat UMNO/BN berterusan, tindakan terbaru SPR melengkapkan senarai peranan SPR membantu UMNO/BN. Khabarnya, pemindahan pengundi menerusi pendaftaran tukar alamat berlaku dengan angka yang besar di negeri-negeri majoriti Melayu; Kelantan dan Terengganu. Pemilih di kawasan hitam bagi UMNO/BN dipindahkan ke kawasan sasaran UMNO merampas kerusi Pas atau kawasan UMNO menang dengan majoriti kecil dalam PRU13. 

Lantaran menghentikan edaran RDPT dalam bentuk soft copy kepada parti-parti politik, menyukarkan parti-parti pembangkang mengesan status pendaftaran pemilih, sama ada pendaftaran masuk atau pemotongan nama pemilih. Pendaftaran pemilih menerusi pendaftaran baru bagi mereka yang belum pernah mendaftaran sebagai pengundi, dan pendaftaran tukar alamat iaitu pendaftaran memindahkan tempat mengundi bagi mereka yang sudah didaftarkan sebagai pemilih atau sudah dimasukkan dalam daftar induk pemilih (DPI). Pemilih yang nama diterterakan dalam DPI layak membuang undi dalam mana-mana pilihan: pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK). 

Pemotongan nama pemilih dalam RDPT ialah nama pemilih akan dihilangkan dari DPI atas sebab-sebab; 1. perpindahan alamat iaitu pemilih memohon nama mereka dipindahkan ke tempat lain (lokaliti, daerah mengundi, bahagian pilihan raya negeri atau Parlimen), 2. hilang kelayakan sebagai pengundi awam kerana menyertai pasukan keselamatan (polis dan tentera), termasuk isteri anggota tentera, juga mereka yang berada dalam tahanan, 3. meninggal dunia. 

Menerusi RDPT, parti-parti politik atau orang awam boleh membuat analisis dan mengesan pemilih terlibat untuk proses bantahan dan tuntutan. Seorang individu yang namanya ada dalam DPI boleh membuat bantahan ke atas tidak lebih 20 pemilih yang baru daftar atau tukar alamat, yang diragui identiti dan taraf pemastautin di lokaliti yang didaftarkan. Dengan bantuan SPR, sebelum ini, parti-parti politik, menganalisis RDPT dan hasilnya menyediakan ruang membolehkan parti-parti mengenalpasti pemilih yang layak untuk membuat bantahan pendaftaran pemilih. 

Parti-parti politik boleh menganalisis pemilih yang akan dihilangkan dari DPI, terutamanya pemotongan pemilih pindah tempat mengundi. Terdapat pemilih tanpa sedar nama mereka akan dibuat pemotongan, tanpa peranan parti politik, nama pemilih hilang begitu saja kerana amat jarang pemilih melihat RDPT yang dipamerkan di tempat yang dikhususkan oleh SPR; pejabat pos, pejabat daerah atau seumpamanya. Sebahagian pemilih tidak sedar alamat mereka dipindahkan menerusi proses tukar cip di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN). Pihak tertentu yang melakukan kerja memindahkan alamat pemilih menerusi rekod di JPN, di mana penyokong parti politik tertentu melakukan kerja ini dengan kerjasama JPN, untuk memangsakan penyokong parti lawan, demi mengurangkan jumlah penyokong parti lawan di sesuatu kawasan atau bahagian pilihan raya. 

Pemilih yang menyedari nama mereka akan dikeluarkan boleh membuat tuntutan supaya nama mereka dikekalkan dalam DPI mengikut lokaliti, daerah mengundi dan bahagian pilihan raya. Tanpa bantuan parti politik, mana mungkin seseorang pemilih sedar dan tahu nama mereka akan dibuang, tambahan pula SPR tidak pernah memaklumkan secara surat berdaftar tentang pemotongan nama mereka. Makluman SPR hanya menerusi RDPT yang dipamerkan dalam tempoh 2 minggu. 

Secara tidak langsung menyukarkan kerja-kerja parti-parti politik mengenalpasti proses bantahan dan tuntutan RDPT dalanm tempoh 2 minggu, lainlah jika bantahan dan tuntutan boleh dibuat sepanjang tahun. Parti-parti politik yang lagi diberikan kemudahan salinan RDPT, hanya dapat maklumat menerusi RDPT yang dipamerkan di premis awam terpilih dalam bentuk hard copy. 

Muslihat paling jelas ialah melambatkan kerja-kerja parti-parti politik dalam operasi daftar pemilih dalam menganalisis dan mengenalpasti pembantah dan orang kena bantah (OKB). Kegagalan parti-parti politik menyempurnakan operasi bantahan dan tuntutan dalam tempoh yang diberikan, memudahkan kerja-kerja strategik BN mengeksploitasikan urusan birokrasi membantu "government of the day". 

Sebagai contoh, di Bahagian Pilihan Raya Negeri Gaal P028 Pasir Puteh, dari sejumlah 121 pendaftaran tukar alamat, terdapat seramai 57 pemilih adalah pemilih dari satu daerah mengundi sahaja, iaitu Daerah Mengundi Kok Pasir dalam Bahagian Pilihan Raya Negeri Pasir Pekan, P019 Tumpat, membuat permohonan pindah. Mereka mohon didaftarkan di Daerah Mengundi Jeram (25 orang), Gong Garu (24 orang) dan Kandis (8 orang). Di samping itu, beberapa nama juga dari daerah mengundi lain dalam Bahagian Pilihan Raya Parlimen Tumpat. Ketiga-tiga daerah mngundi ini, adalah daerah mengundi yang dimenangi BN dalam PRU13. 

Di samping itu, seramai 18 pemilih dari satu keluarga dipindahkan dari Bahagian Pilihan Raya Negeri Limbongan juga dipindahkan ke Bahagian Pilihan Raya Negeri Gaal iaitu 6 dari Daerah Mengundi Gong Serapat ke Daerah Mengundi Gaal, dan 12 dari Daerah Mengundi Bandar Pasir Puteh ke Daerah Mengundi Wakaf Raja. 

Perpindahan ini ada kaitan dengan ramalan popular  semasa, di mana bakal calon BN P028 Pasir Puteh untuk PRU14, berasal dari Kok Pasir, Tumpat, sementara antara bakal calon BN N32 Gaal, adalah salah seorang dari 18 pemilih dari Limbongan tersebut. 

Pendaftaran tukar alamat di N32 Gaal ini, sekadar satu contoh. Perpindahan yang besar berlaku di beberapa kawasan pilihan raya sasaran BN. Di Bahagian Pilihan Raya Negeri Temangan, P29 Machang, seramai 700 pengundi dipindahkan masuk, dengan bahagian besarnya dari Bahagian Pilihan Raya Parlimen P20 Pengkalan Chepa, di mana 300 orang adalah dari Bahagian Pilihan Raya negeri Panchor. Bahagian Pilihan Raya Negeri Bukit Panau, P27 Tanah Merah, menerima 1000 pendaftaran tukar alamat. Proses ini sebenarnya amalan biasa sejak sekian lama, cuma bezanya bermula tahun RDPT Suku Pertama 2017, SPR tidak menyediakan kemudahan kepada parti-parti politik. Mungkin parti-parti di luar BN sahaja.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan