Selasa, 27 Jun 2017

Sikap parti dominan

KEANGKUHAN PARTI DOMINAN DALAM SISTEM BERBAGAI PARTI

Justeru penguasaan politik Malaysia terarah kepada mempertahankan status quo, telah membantu membina satu persepsi sistem keperbagaian parti memerlukan satu parti dominan. Selepas Perikatan, terbentuk Barisan Nasional dengan jumlah anggota komponen yang lebih besar, menjadikan UMNO sebagai tulang belakang secara langsung mendominasi BN. Dalam tempoh 60 tahun, UMNO sebagai parti dominan telah memain peranan sebagai pembuli utama rakan komponen dan parti lawan. Rekod politik Malaysia telah mencatat pembuktian peranan UMNO sebagai parti dominan dalam sebuah pakatan. 

Bila kepimpinan yang mewakili parti yang dilihat memberi masalah kepada kepimpinan kerajaan Persekutuan, parti akan diusahkan disisihkan, malah dilenyapkan. Parti yang memberi ancaman kepada UMNO atau kepimpinan Pusat, usianya tak lama. Usaha menumbangkan kerajaan BN pimpinan USNO dan kerajaan BN di Kelantan pimpinan Pas, meletakkan UMNO sebagai pembuli unggul di pihak kerajaan. Sebelum terbentuk BN, kerajaan Sarawak pimpinan SNAP dihilangkan kuasa hasil perancangan kerajaan Persekutuan. Sokongan kepada parti-parti serpihan dari anggota komponen dengan tujuan mengurangkan kuasa dan kekuatan parti asal, sebagaimana penerimaan parti serpihan PBS; PBRS, PRBS, PDS, AKAR dan SAPP. Ini meletakkan PBS yang pernah menguasai sebuah kerajaan negeri,  sebuah parti kecil dalam komponen BN.  

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang memberikan sokongan yang lebih besar kepada parti-parti saingan BN, menghasilkan DAP lebih terkedepan berbanding PKR dan Pas. PKR dan Pas, rakan kerjasama bersama DAP, alami sedikit kemerosotan berbanding PRU12. Prestasi DAP yang lebih baik, di samping peningkatan bilangan kerusi yang dimenangi bagi Persekutuan dan negeri, berjaya menguasai bahagian besar sokongan di kawasan bandar, di samping berjaya melebarkan pengaruh ke kawasan pinggir bandar dan campuran bandar-desa. 

Kemerosotan pencapaian Pas, terutamanya kehilangan sebuah kerajaan negeri, walaupun berjaya menguasai kawasan baru, telah mengheret kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sedikit terganggu. Peningkatan sokongan kepada DAP dan sedikit terjejas sokongan Pas, memberikan ruang kepada DAP menjejaki langkah UMNO sebagai parti dominan dalam kelompok tersendiri. Sedikit demi sedikit DAP memainkan peranan sebagai parti dominan dalam Pakatan Rakyat dan secara perlahan membuli Pas, yang semakin kecil keberkesanannya. Peranan DAP selepas PRU13 sebagai langkah awal sistem dua parti dengan UMNO sebagai parti dominan dalam gagasan parti pemerintah atau BN, sementara DAP adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang, walaupun Ketua Pembangkang Parlimen masih kekal kepada wakil PKR. 

Tindakan-tindakan kepimpinan DAP memperlekeh, mempekecil dan mempersoalkan nilai-nilai dan amalan penganut Islam, secara langsung usaha menyingkirkan dan memperkecilkan Pas. Sekurang-kurangnya ada sepuluh tindakan kepimpinan DAP yang mengguris hati umat Islam, yang boleh memberi kesan kepada pengaruh dan maruah Pas sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan dan maruah umat Islam, berbanding UMNO yang terkesan teruk lantaran penjejasan nilai moral, hasil dari beberapa penyalahgunaan, penyelewengan, keborosan, ketirisan dan tidak berintergriti.

1. Nga Kor Ming, seorang Ahli Parlimen dan ADUN, juga Pengerusi DAP negeri Perak, mempersendakan amalan pemberian duit raya oleh masyarakat Islam. Beliau mengeluarkan kenyataan menganggap pemberian duit raya sama dengan mentaliti "makan dedak", satu bentuk rasuah. Sebelum PRU13, DAP tidak pernah bangkit amalan duit raya. Ianya cuma berbangkit selepas PRU13 bila DAP main peranan sebagai parti dominan membuli Pas.

2. Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP kawasan Jelutong, semasa mengulas kematian Mursyidul Am Pas, Dato' Harun Din, mengucapkan "adios Harun Din" sebagai memperli roh pemimpin Pas di alam kubur.

3. Nga Kor Ming juga menyindir pemakaian purdah, apabila satu cadangan pramugari syarikat penerbangan di Malaysia memakai pakaian tutup aurat. 

4. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai setan, atas alasan dakwah Zakir menyentuh sentimen kepercayaan dalam masyarakat Malaysia. 

5. DAP mempertikaikan laungan azan dan bacaan ayat Al Quran melalui pembesar suara. 

6. DAP mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat dan ganggu urusan fatwa kerajaan negeri Pulau Pinang.

7. DAP mempersoalkan larangan murtad yang termaktub dalam perundangan dan juga mempersolkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

8. DAP menghina dan mempersenda hukum hudud.

9. DAP bermati-matian menentang RUU355, dengan alasan ianya belum perlu.

10. DAP Sarawak menerusi kenyataan Pengerusinya, Chong Chieng Jen menentang penempatan ustaz dan ustazah dari Semenjang di Sarawak. 

Kenyataan dan pendirian DAP menerusi kepimpinan berbagai peringkat dengan lantang dan jelas banyak mempersoalkan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri serta amalan yang termaktub dalam ajaran Islam. Tindakan dan sikap DAP ini selepas Pas disingkirkan dari Pakatan Rakyat selepas Jun 2015, yang menggambarkan kekebalan DAP sebagai parti dominan dalam kelompok pembangkang. 

Sama ada UMNO atau DAP, peranan dan sikap parti dominan menguasai keputusan dan tindakan politik demi survival kelompok masing-masing. Sebagai parti dominan, DAP berpendirian tanpa penyingkiran Pas, usaha untuk "mara ke Putrajaya" tidak menjamin mempercepatkan matlamat. Sungguhpun nampak lunaknya UMNO mendampingi kepimpinan Pas masakini, hakikinya sama juga dengan pendirian DAP, UMNO juga tidak memerlukan Pas untuk mempertahankan Putrajaya. Sebagai parti dominan dalam kerajaan, isu yang dibangkitkan DAP untuk menyingkirkan Pas, sepatutnya sudah lama UMNO boleh laksanakan tanpa menunggu kebersamaan dengan Pas.







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan