Khamis, 27 April 2017

PRU14 September 2017

PILIHAN RAYA UMUM KE 14, BULAN SEPTEMBER 2017?

Ada rasionalnya jika diramalkan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diadakan dalam bulan September 2017. Ianya dalam tempoh antara selepas 3 tahun, mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa dengan cukup 5 tahun selepas mesyuarat pertama tersebut. Tempoh tiga tahun diambil kira dari syarat seseorang ahli badan perundangan di Malaysia perlu berkhidmat selama 36 bulan untuk melayakkannya menerima bayaran saraan seumur hidup. 

Perlembagaan Persekutuan menyebut dalam Perkara 55 (3), Dewan Rakyat hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu ia adalah terbubar. Perkara 55 (4) menyebut apabila Dewan Rakyat bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia dibubar. Mesyuarat pertama Dewan Rakyat semasa ialah 25 Jun 2013. Ertinya, Dewan Rakyat sekarang akan terbubar pada 24 Jun 2018.

Atas kiraaan tersebut, PRU14 boleh diadakan selepas 25 Jun 2016 dan sebelum 25 Jun 2018. Perlembagaan tidak menyebut tempoh minima sesebuah badan perundangan: Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, boleh dibubarkan. 

Persempadanan kawasan pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah dipamerkan untuk bantahan pada 15 September hingga 14 Oktober 2016. Prosiding bantahan berjalan sepanjang bulan Disember 2016. Pada 8 Mac hingga 7 April 2017, SPR mempamerkan pameran kedua syor persempadanan untuk semakan dan bantahan kedua. Sekarang prosiding sedang berjalan, kecuali Sabah dan Selangor. Bagi negeri Sabah, ianya tidak dipamerkan untuk kali kedua, kerana telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah. Sementara Selangor, kerajaan negeri membawa syor persempadanan ke mahkamah, lantaran perubahan besar belaku dalam lokaliti serta daerah mengundi menjadi syak kehilangan pengundi dalam lokaliti asal. 

Selesai prosiding kali kedua, syor persempadanan semula akan dibawa ke Dewan Rakyat yang memerlukan undi simple majority sahaja. Sidang Dewan Rakyat terdekat ialah 24 Julai hingga 10 Ogos, dan sidang Dewan Negara ialah 14 hingga 22 Ogos. Setelah selesai urusan di kedua-dua badan perundangan ini serta mendapat perkenan Diraja, kiranya PRU14 diadakan selepas tempoh tersebut, persempadanan baru bagi kawasan pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu, kecuali Selangor, boleh digunapakai. 

Mungkinkah tanpa penyelesaian di Selangor, tidak mengganggu pewartaan penggunaan persempadanan baru. Semuanya bisa diatur di bawah pemerintahan hari ini, di mana tempoh mesyuarat agung parti boleh ditangguh dan dilanjutkan tempoh demi persiapan parti menghadapi pilihan raya, walaupun tarikh pilihan raya dirancangkan oleh parti yang menguasai kerajaan. Sungguhpun nampak luar biasa dan ganjil, tanpa menunggu keputusan mahkamah di Selangor, SPR boleh menggunakan persempadanan baru atas arahan parti penguasa untuk PRU14. 

Satu pandangan melihat faktor peristiwa nasional yang boleh membantu menaikkan imej parti pemerintah. Sukan SEA, edisi ke 29, akan diadakan pada 19 hingga 30 Ogos nanti, di mana Malaysia adalah tuan rumah. Dalam sejarah Sukan SEA, Malaysia telah menjadi tuan rumah sebanyak 4 kali tuan rumah, dengan kejayaan cemerlang dalam Sukan SEA 2001. Buat pertama kali Malaysia mengatasi 9 negara lain dalam temasya di Kuala Lumpur itu. Seandainya Malaysia berjaya mengulangi kejayaan Sukan SEA 2001, bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan, malah memberikan imej baik pemerintah, di mata anak-anak muda. Sorakan patriotik meraikan setiap kejayaan peserta negara, boleh menjadi satu faktor memihak sokongan kepada parti pemerintah. Justeru "Malaysia Boleh" zaman Pengerusi PPBM (Bersatu) yang sekarang dalam blok bukan kerajaan, memungkinkan pemerintah terpaksa mencari cogankata baru. 

Menjelang PRU 1974, suasana pasca 13 Mei, Barisan Nasional mendapat keberuntungan  hasil lawatan Tun Razak ke China, gambar Tun Razak berjabat tangan dengan Pengerusi Mao terpampang seluruh negara khususnya kawasan bandar. Paparan ini telah berjaya menarik pengundi Cina menyokong BN. Malaysia telah menjadi tuan rumah Persidangan Solidariti Negara-negara Islam Sedunia, telah meletakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati, di kalangan pengundi Melayu. BN menang cemerlang dalam PRU 1974, dengan menyapu bersih semua kawasan Parlimen majoriti Melayu dan Bumiputera Islam, sementara di kawasan bandar, majoriti kerusi dibolot BN.

Di atas faktor persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuktikan oleh sejarah sebuah perencanaan BN serta kemeriahan kejayaan Sukan SEA, PRU14 perlu diadakan segera selesai pewartaan persempadan tersebut. Kedua-dua faktor semasa ini lebih memihak kepada BN, yang boleh menyaingi faktor yang sedia ada yang merisaukan; 1MDB, hutang negara, tekanan hidup, keberosoan dan sebagainya. September 2017, adalah ruang yang secukupnya persiapan, sebelum bajet 2018 dibentangkan yang tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang, di kala arahan pentadbiran sebarang mesyuarat kakitangan awam hanya cukup dengan nasi bungkus sahaja.



 

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan