Jumaat, 31 Mac 2017

Cabar Guru Letak Jawatan

MENTERI PELAJARAN CABAR GURU LETAK JAWATAN

Bukan main marah Menteri Pelajaran, DS Mahdzir Khalid terhadap para guru yang menyokong parti pembangkang. Para guru digesa letak jawatan jika asyik menyokong pembangkang. Beliau membuat cabaran tersebut selepas berucap dalam satu majlis bersama guru di Kuala Terengganu, 5 hari lepas. 

Cabaran seumpama ini bukanlah perkara baru. Isu lama, dendangan sejak 40 tahun dulu. Dari menteri, dan paling lantang pegawai pelajaran negeri dan daerah. Lebih lantang pengurusan sekolah. Apa yang disuarakan Pak Menteri itu, sekadar mengulang lagu lama. Gesaan dan cabaran begini, lebih lantang di kala UMNO khasnya, BN khasnya, berdepan masalah. 

Satu kelaziman guru selaku penjawat awam aktif dalam kerja-kerja parti politik atau menjadi aktivis parti, sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang. Menjadi mangsa ialah guru yang menyokong parti pembangkang. Dalam tahun 1960an, guru-guru Melayu yang menyokong Parti Rakyat dan Pas menjadi mangsa pertukaran buang daerah, malah dibuang negeri. 

Bila BN menguasai Kelantan dalam tahun 1978, kerja pentadbir sekolah dibantu oleh tukang kebun ialah melapor dan menyenaraikan guru-guru yang tidak menyokong UMNO, sebagai calon guru yang akan ditukarkan ke kawasan yang jauh dari kampung halaman, sama ada kawasan pedalaman atau pulau. Di setengah sekolah, kuasa tukang kebun cukup berkesan, boleh mengatur bentuk deraan ke atas guru pro-pembangkang. Antara deraan ialah menafikan peluang dan hak kenaikan pangkat. Wak Long jadi raja ini memegang jawatan penting dalam UMNO peringkat bahagian. Ada tukang kebun sekolah, menghabis masa di luar sekolah mengurus dan melobi mendapat kontrak binaan, tender kantin dan kerja-kerja membersih kawasan sekolah. 

Selepas UMNO diharamkan dalam tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46, guru-guru Melayu menyokong Semangat 46 mulai merasai deraan dan keperitan  tindakan bekas parti lama mereka. Ada guru dari Johor  ditukar serta merta ke Grik.  Bermulalah betapa getirnya menukar parti, bagi penjawat awam, dari menyokong parti kerajaan ke parti pembangkang. 

Pertukaran guru Melayu yang paling ganas ialah selepas kekalahan teruk UMNO di Kelantan dalam PRU 1990, seramai 12 guru penyokong Pas dan Semangat 46, ditukar dari Kelantan ke Sabah. Pertukaran guru paling jauh dalam sejarah. Tempoh 1988 hingga 1990, tempoh yang memperlihatkan pertukaran guru secara besar-besaran ke kawasan pedalaman di Kelantan, kesannya simpati rakyat menghukum UMNO/BN baham tanah, kalah semua kerusi Parlimen dan negeri. Ribuan fail dari Kota Darulnaim, dibakar di Pantai Cinta Berahi, malam pengistiharan keputusan pilihan raya. 

Pak Menteri cabar guru yang menyokong pembangkang letak jawatan. Wajar jika guru yang abaikan tugas dan tanggungjawab, dengan menghabiskan masa untuk aktiviti luar profesyen, meninggalkan anak murid terabai tanpa guru. Semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  2003-2008, penentang kuat pelaksaan ialah guru penyokong kuat UMNO. Mereka mensabotaj dan ponteng kelas dan kursus pengajaran dan pembelajaran, mereka tidak bersungguh dan mengambil inisiatif memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris. Mereka kebal dan tak makan saman, ada political backing. Yang jadi mangsa murid-murid. Prestasi rendah dalam peperiksaan awam ada kaitan dengan sikap guru gagal kuasa bahasa Inggeris yang merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Tak ada apa-apa tindakan: cabaran letak jawatan tak kedengaran dari Pak Menteri atau kementerian atau jabatan pelajaran negeri atau pengurusan sekolah. 

PPSMI adalah dasar kerajaan menerusi kementerian. Adalah satu kesalahan, seseorang penjawat awam menentang dasar kerajaan. Guru selaku jentera eksekutif adalah pelaksana dasar yang dibikin oleh lagislatif. Memang patutpun penentang dasar kerajaan dalam bentuk tidak melaksanakan dasar tersebut, dikenakan tindakan tatatertib atau disaran meletak jawatan. Pentadbir sekolah sendiri dalam usaha kementerian memantapkan PPSMI dengan menyesorkan berbagai langkah membantu pentadbir dan guru menguasai penggunaan bahasa Inggersi, tidak proaktif. Bila ditetapkan hari tertentu sebagai " English speaking day", pentadbir penyokong kuat UMNO mengabaikan program, dengan mengurus penyampaian maklumat atau mesyuarat dalam bahasa ibunda. 

Cabaran letak jawatan guru yang terlibat aktif dalam politik dengan mengabaikan tugasan asasi wajar diterima demi memertabatkan mutu pendidikan dan tawaran perkhidmatan untuk rakyat. Cabaran ini sepatutnya tidak terhad dan khusus untuk penyokong pembangkang sahaja, seharusnya tindakan secara telus, adil dan bertanggungjawab tanpa pilihan bulu, puak, perkauman dan fahaman politik. Janganlah menjadikan sokongan kepada UMNO sebagai benteng perlindungan bagi guru-guru yang tidak berminat dengan tugasan di bilik darjah untuk mencari rezeki. Janganlah Pak Menteri, pegawai pendidikan daerah atau negeri setaraf dengan tukang kebun yang berkuasa menentukan nasib guru. 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan