Ahad, 2 April 2017

RUU 355 Demi Survival Politik

RUU 355: ANTARA SURVIVAL POLITIK DAN TUNTUTAN AGAMA

Agak mengejutkan dengan keputusan terbaru UMNO yang menyanggah pengumuman awal, walaupun tidak rasmi, mengenai pindaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355. Sidang Parlimen yang sedang berlangsung yang akan berakhir 06/04/2017, dijangkakan akan dibentang usul persendirian Ahli Parlimen Marang, RUU 355 untuk bacaan kedua dan perbahasan, setelah berjaya dimasukkan dalam aturcara mesyuarat sejak dua sidang Parlimen tahun lepas. 

Kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), 29/03/2017, bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, hasil keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi BN. Sebelum ini beberapa kenyataan kepimpinan UMNO selaku kepimpinan Persekutuan dengan yakin kerajaan akan mengambil alih usul persendirian Ahli Parlimen Marang. Kerajaan BN pimpinan UMNO mengambil tanggungjawab demi memertabatkan perundangan syariah dan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara. Dipropagandakan demi perpaduan Islam, amat wajar UMNO mengambil alih dan bekerjasama dengan Pas, dengan meminggirkan perbezaan ideologi politik.

Presiden UMNO  dalam Ucapan Dasar Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016, pada 01/12/2016, memberi jaminan pindaan terhadap RUU 355, kerajaan akan ambil alih pembentangan di Dewan Rakyat. Penegasan ini adalah memperkukuhkan kenyataan awal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Jamil Khir Baharom, pada 24/11/2016, yang lebih awal menyatakan hasrat Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab setelah urusan  berkenaan tatacara dan peraturan Dewan Rakyat selesai. 

Di kala sidang Dewan Rakyat semasa sedang berlangsung, pada 17/03/2017, TPM menyatakan Kerajaan Persekutuan akan mengambil tanggungjawab, sebagai mengulangi apa yang disuarakan oleh PM sebelum ini. 

Sekarang terserah kepada Speaker Dewan Rakyat, setelah selesai urusan kerajaan, memberi laluan atau sebaliknya kepada Ahli Parlimen Marang membentangkan usul RUU 355. Lantaran BN sudah melepaskan tanggungjawab yang dijanjikan awal, terserah kepada ahli perundangan Persekutuan, membuat keputusan, menyokong atau tidak. 

Dari awal lagi sudah dijangkakan, mana mungkin kerajaan akan ambil tanggungjawab pembentangan lantaran kritikan dan keputusan anggota-anggota komponen BN. Dalam perebutan menjuarai orang bukan Islam dalam perebutan dengan DAP, MCA, MIC dan Gerakan dengan lantang menentang usaha membawa usul ini di Dewan Rakyat. Malah Parti Bumiputra Bersatu (PBB), yang dianggotai majoriti Bumiputera Muslim membantah usul ini. Sebaliknya parti SPDP dan serpihannya TERAS, memberi laluan kepada Ahli Parlimennya menyokong usul persendirian ini. 

Di pihak pembangkang, awal-awal lagi  DAP menolak usul ini di atas prinsip mempertahankan sekularisme asas Perlembagaan, di mana Ahli Parlimennya beragama Islam tetap mempertahankan pendirian parti. PKR dan parti Amanah mengambil keputusan menolak di atas beberapa perkara teknikal yang mencacatkan usul tersebut. 

Pas sebuah parti politik yang bergerak seiring sebagai gerakan dakwah dan tarbiyah mengambil tanggungjawab memertabatkan perundangan syariah agar setanding dengan perundangan sivil. Ia menjadi isu politik lantaran diketengahkan oleh Pas, yang sepatutnya menjadi tanggugngjawab semua penganutnya memain peranan membantu mendaulatkan perundangan tuntutan Ilahi. 

Keputusan terbaru UMNO ini menampakkan wajah sebenar UMNO dalam politik masyarakat majmuk di mana kepentingan politik, menjaga undi perlu diutamakan, untuk menjaga hati rakan dari kepercayaaan yang berlainan. UMNO terkepit, di tengah-tengah pengaruh UMNO yang sedikit terganggu dengan krisis keyakinan ditambah dengan kepelbagaian skandal kewangan memerlukan sokongan dari rakan seagama. Hinggakan Pas dikelilingi hakisan sokongan atas desus-desus Pas akan bersama UMNO. UMNO di persimpangan antara kepentingan politik mengatasi tuntutan agama. UMNO mengambil pilihan tidak membentang atau ambil alih pembentangan RUU 355, dengan memberi kebebesan Ahli Parlimennya sama ada menyokong atau tidak. Secara langsung, mengikis anggapan anggota komponen BN lain bahawa UMNO bersengkongkol dengan Pas dan menafikan UMNO tidak mesra tuntutan agama, bila memberi kebebesan ahlinya membuat  pilihan. 

Apakah keputusan yang berliku dan berbelit-belit oleh UMNO selaku tulang belakang BN dalam isu pembentangan RUU 355, tidak menjejaskan sokongan kepada UMNO dan BN dalam PRU14 nanti. Sejauhmanakah, keputusan kepimpinan yang berdolak-dalik ini berjaya menarik dan mengekalkan orang Melayu terus bersama UMNO. 

Apa akan jadi, seandainya usul persendirian Ahli Parlimen Marang tidak sempat dibentangkan sebelum Parlimen mengakhiri sidang pertama Penggal Kelima Parlimen ke 13, pada 06/04/2017 nanti. Pihak mana yang akan mendapat manfaat demi survival politik atau hilang kepercayaan dari khalayak awam.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan