Selasa, 28 Februari 2017

Hikmah RUU 355

DI SEBALIK RUU 355

RUU 355 yang dijangka dibentangkan dalam Sidang Pertama Penggal Kelima Parlimen ke 13 bermula 06/03/2017 akan mencapai kemuncak sensasinya. Setelah hampir dua tahun menjadi bahan polimeks dan perdebatan, isu ini dijangka melabuhkan tirainya. Natijahnya sama ada dilulus atau sebaliknya bukan soal, tapi yang menariknya ialah bagaimana isu ini diheret ke gelanggang politik yang berlatar senario kepelbagaian fahaman dan ideologi. 

Pas yang melompat naik nama dalam pentas politik lantaran sokongan dan kecaman berbagai pihak, dengan jalan berliku terpaksa mengetengahkan isu ini untuk melengkapkan janji dan hasrat mendaulatkan Islam. Sungguhpun RUU 355 bukanlah hukum hudud yang dibimbangi ketampangan pelaksanaannya dalam persekitaran yang belum kondusif mengikut pandangan setengah khalayak awam, kecaman, kritikan dan cemuhan terpaksa ditempuhi Pas selaku pihak yang dipertanggungjawabkan. RUU 355 hanyalah satu penambahbaikan dalam pengurusan perundangan syariah dari sudut penetapan kuantiti hukuman, yang secara langsung mempertingkatkan kedudukan mahkamah syariah sebagai badan judicial. 

RUU 355 menjadi tajuk popular dan tumpuan lebih banyak faktor luaran yang membantunya; pihak musuh politik Pas, ahli akademik dan orang awam, sama ada orang Islam atau bukan Islam. RUU 355 menjadi perhatian kerana ianya usul persendirian yang mendapat kerjasama dari pihak kerajaan, jarang usul persendirian iaitu dibawa oleh mana-mana ahli pembangkang boleh ke bawa ke Bacaan Kedua. RUU 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas, berjaya dimasukkan dalam senarai atau agenda mesyuarat pada Sidang Ketiga tahun 2016. Ditangguhkan untuk Sidang Keempat 2016, untuk kemukakan butiran usul, tanpa bahasan. Sidang Pertama bagi tahun 2017, dijangka Bacaan Kedua iaitu untuk perbahasan ahli-ahli. 

Justeru ianya berkekalan menjadi tajuk tumpuan baik media cetak mahupun media pentas dalam tempoh yang panjang membuka minat awam mendekati ilmu pengetahuan tentang proses perundangan. Bagaimana sesuatu rang undang-undang dirangka, dikemuka, dibahas sebelum diluluskan. Sekurang-kurangnya mendekatkan khalayak awam memahami dan peduli proses perundangan. Pendidikan politik bukan sekadar mendedahkan khalayak massa keperluan demokrasi untuk menjamin hak individu dalam masyarakat. Tanggungjawab rakyat bukan berakhir selesai di peti undi, tetapi mendalami tugasan dan peranan ahli perundangan yang dipilih rakyat

 Keterbukaan dan percambahan pandangan mengenai RUU 355 telah menarik masyarakat mendalami ilmu yang berkaitan dengan hukum hakam jenayah syariah. Orang bukan Islam secara langsung memahami peranan dan kedudukan perundangan syariah, sebagai sebahagian peundangan dalam negara kita. Perbahasan RUU 355 di luar Parlimen memaksa pihak berkepentingan mendalami ilmu dan tuntutan agama. Percambahan dan perbezaan pendapat di kalangan berbagai golongan sama ada yang ada kaitan langsung dengan agama atau sebaliknya, sebenarnya satu rahmat. Ekorannya akan berlaku penemuan baru yang boleh membantu peraturan baru dalam pengurusan berbagai bidang. Bagaimana hukum dari mazhab berlainan boleh diamalkan dalam negara kita yang berpegang kepada Mazhab Syafie, demi kecekapan pengurusan, contohnya: zakat fitrah. 

RUU 355 juga mendedahkan penambahbaikan pengurusan perundangan syariah perlu mengikut penyesuaian masa, yang berubah lantaran indeks harga atau perubahan nilai mata wang. Nilaian denda RM1000.00 dalam tahun 1980 tidak sesuai dengan kesalahan yang sama dan dendaan sama yang dikenakan kepada kesalahan dalam tahun 2017. 

Pandangan dan hujah mereka yang menyokong dan pandangan yang menentang dikumpulkan dengan sokongan hujah dari sumber yang berotoriti, menggambarkan kematangan dan keunggulan betapa orang Islam mengutamakan kebenaran dan dalil, umat yang mementingkan ilmu.   

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan