Khamis, 23 Februari 2017

PRK Tanjung Datu

PRK TANJUNG DATU SEKADAR SEBUAH DRAMA TERANCANG

Pilihan Raya Kecil N03 Tanjung Datu,  hujung minggu lepas adalah sekadar memenuhi tuntutan perundangan lantaran berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Kekosongan kerana kematian penyandangnya, DP Adenam Satem. Meletakkan balu Allahyarham sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), di awal lagi mempamirkan PRK ini tidak menjanjikan satu medan persaingan menguji pengaruh.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, Allahyarham DP Adenam menang bergaya di kerusi ini, di samping berjaya mempamirkan mengembalikan kecemerlangan penguasaan BN. Faktor Adenam diletakkan faktor penentu kejayaan BN dalam PRN tahun lepas. Di N03, BN-PBB, menerusi Adenam menguasai 93.40% atau 6,630 undi mengatasi calon PKR yang hanya memungut 468 undi sahaja. Dalam PRK minggu kepas, calon BN-PBB, balu Adenam, Datuk Jamilah Anu memungut 6,573 undi atau 96.51% undi sah untuk mengalahkan calon-calon PBDS-Baru dan STAR yang masing perolehi 130 dan 108 undi sahaja, di kala 69.19% dari 9,959 orang pemilih keluar membuang undi. 

Sungguhpun ulasan-ulasan  yang memberikan kredit kepada BN mengekalkan kerusi ini, relatifnya tidaklah menampakkan yang boleh dibanggakan. Pertama, kedua-dua parti yang mencabar BN dalam PRK ini, tidaklah sekuat mana. Dalam PRN tahun lepas, STAR meletakkan 10 calon dengan mengaut 2,841 undi atau purata 284 undi setiap calonnya. PBDS-Baru, yang muncul dalam percubaan sulung dalam pilihan raya, meletakkan 5 calon dan perolehi 1,244 undi atau 248 undi purata perolehan setiap calonnya. Tak mengejutkan bila BN menang besar, dengan sokongan 96.51% pemilih, berdepan dengan calon dari parti yang lemah dan tidak disokong rakyat. Adenam menang dalam PRN tahun lepas dengan undi besar, berdepan dengan calon PKR, parti yang lebih berpengaruh berbanding dengan STAR, walaupun sebuah parti yang berperanan suatu masa dulu tetapi semakin malap selepas kematian pengasasnya, Dr Patau Rubis. Apatah lagi PBDS-Baru, sebuah parti baru yang tak ada pengaruh. 

Kedua, calon BN, cuma mengekalkan pencapaian arwah suaminya, di kala rekod dan legasi suaminya masih segar dalam minda pemilih. PRK N03 Tanjung Datu, seolah pilihan raya di beberapa negara yang melekakkan proses demokrasi sebagai mengabui mata rakyat. Parti pemerintah akan dapat lebih 90 peratus undi, dalam setiap kali pilihan raya, kadang-kadang 99% undi. Contohnya, di Mesir zaman Hosni Mubarak, Tunisia zaman Habib Bourgiba dan zaman Ali Zainal Abidin, pencapaian Robert Mugabe di Zimbabwe, serta beberapa negara Afrika dan bekas Soviet Union. 

Dalam PRN 2011, pencapaian BN yang mulai tercabar di Sarawak, Adenam cuma perolehi 4,218 undi atau 77.61% undi sah, setelah dicabar oleh calon Pas yang perolehi 1,002 undi atau 18.44% dan seorang calon Bebas yang hanya dapat 215 undi, di kawasan N03 ini yang merupakan kawasan majoriti Bumiputera Islam. Dalam PRK minggu lepas, calon BN, Datuk  Jamilah ditentang oleh calon bukan Islam berbanding PRN 2011, bila berlaku persaingan sesama calon Islam di kawasan majoriti Islam ini. 

PRK N03 tidak lebih dari sebuah pentas untuk memenuhi keperluan perundangan untuk mengisi kekosongan ahli badan perundangan, di mana parti-parti pembangkang utama, awal-awal lagi menyatakan tidak ikut serta. Tidak keterlaluan dan liar, jika dianalisiskan PRK terancang untuk mengabsahkan keluhuran demokrasi. Logiknya, dengan pencapai BN, lebih 90% undi dalam PRN tahun lepas, sepatutnya BN diberi peluang menang tidak bertanding, jika legasi Adenam dihormati.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan