Khamis, 16 Februari 2017

DAP & Ancaman perubahan

DAP DI PERSIMPANGAN PERUBAHAN REALITI POLITIK

Antara parti politik yang sedang menjadi perhatian dengan perubahan anjakan realiti politik semasa ialah DAP. DAP antara parti kanan yang konsisten perjuangan dan peranan dalam arus politik nasional, mulai terasa dengan perkembangannya yang sedang memuncak. DAP yang telah melepasi usia separuh abad, berdepan dengan ujian perubahan peranan, peranan puluhan tahun sebagai pembangkang utama melangkah sebagai menguasai sebuah kerajaan negeri. 

Kejayaan DAP menempatkan sebagai antara parti yang dominan dalam percubaan pertamanya dalam Pilihan Raya Umum 1969 (PRU3) walaupun baru berusia tiga tahun. Sungguhpun parti-parti pembangkang yang lebih kanan menyertai gabungan dengan parti pemerintah membentuk Barisan Nasional (BN) dalam PRU 1974 (PRU4), DAP mengekalkan peranannya sebagai pembangkang dan terus berperanan sebagai pembangkang utama di Parlimen, dengan pencapaian yang konsisten sepanjang 50 tahun

Kejayaan pakatan parti-parti pembangkang mengadakan kerjasama atau persefahaman pilihan demi mewujudkan saingan satu lawan satu dengan BN dalam PRU 2008 (PRU12) menjadi satu kerangka baru dalam politik Malaysia. Kejayaan parti-parti pembangkang dalam PRU12 yang jauh lebih baik berbanding dengan beberapa persefahaman pilihan raya di kalangan parti pembangkang sebelum ini, bukan sahaja mengubah lanskap persekitaran politik kuasa tetapi secara perlahan mengubah peranan dan pendekatan parti-parti utama. Selepas PRU12, DAP lebih mendekati realiti politik kepelbagaian kaum, berbanding sebelum PRU12 yang memperlihatkan DAP sebagai parti yang didominasi oleh etnik Cina. Musuh-musuh politiknya menggelarkan DAP sebagai sebuah parti cauvanis Cina, lebih dahsyat lagi sebagai parti aliran komunisme.

Sungguhpun DAP sejak dulu berjaya mengetengahkan beberapa tokoh Melayu tetapi gambaran DAP sebagai sebuah parti Cina lebih mendominasi imej. Tetapi selepas berjaya menguasai kerajaan negeri serta berkongsi kuasa selepas PRU12, imej lama DAP sedikit demi sedikit telah berubah. Perubahan ini tidak dapat dielakkan demi memenuhi tuntutan nasional serta realiti kepelbagaian kaum di Malaysia. Perubahan ini membawa DAP menerokai dan mengembangkan pengaruh yang bukan lagi berfokus kepada masyarakat kota. Penekanan  memperluaskan kawasan dan latar geografi politik, secara langsung menarik orang Melayu dan masyarakat Bumiputera bersama gelanggang DAP. 

Mempertonjolkan dan menggerakkan tokoh-tokoh politik Melayu mewakili DAP, antara pembaharuan dan perubahan demi DAP terus berada di pentas pendana politik Malaysia. Yang jelasnya, mereka yang terlibat aktif dalam UMNO. Datuk Ariff Sabri, yang pernah menjadi ADUN mewakili UMNO, Zairil Khir Johari, anak mantan menteri UMNO, Diyana Sofya, anak pimpinan wanita UMNO, dan terbaru, Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri UMNO, adalah langkah-langkah awal mengikis persepsi DAP sebuah parti cauvanis kecinaan. 

Empat pemimpin DAP Melaka; Sim Tong Him (Ahli Parlimen), dan 3 ADUN; Goh Leong San (Duyong),  Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang), keluar parti lantaran tentangan hala tuju bawaan kepimpinan DAP semasa. Mereka mempersoalkan pendekatan diambil kepimpinan hari ini telah lari dari asas perjuangan "Malaysian Malaysia", serta menuduh DAP mengambil pendekatan sebagaimana  MCA dalam konteks politik nasional. Dengan lain perkataan, DAP demi perkongsian kuasa telah mengorbankan prinsip "Malaysian Malaysia" yang meletakkan persamaan hak antara etnik. 

Mereka bimbang dengan persepakatan dan kerjasama politik yang melibatkan peranan mantan PM, Tun Mahathir Mohamad serta parti barunya, meletakkan DAP terpaksa mengubah dasar dan matlamat asal perjuangan parti. Mereka sangsi DAP akan banyak bertolak ansur dan kompromi dengan rakan-rakan kongsi dalam pakatan parti, yang akan mengubah wajah DAP. 
  




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan