Rabu, 28 Disember 2016

Satu Logo Lawan BN

SATU LOGO UNTUK LAWAN BN

Persefahaman yang dipersetujui Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersepakat meletakan satu calon untuk satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, antara yang termeterai dalam perjanjian bersama, minggu lepas. 

Menjelang PRU13, DAP dalam dilema berisiko tidak dapat bertanding berikutan status pendaftaran yang di dalam tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS). DAP sudah mengambil keputusan akan menggunakan logo "bulan purnama" Pas di negeri-negeri Tanah Melayu dan logo PKR di Sabah dan Sarawak, di kerusi atau kawasan yang diperuntukan oleh persefahaman Pakatan Rakyat. Tindakan berani DAP menggunakan logo lambang Islam yang mengukuhkan tuduhan MCA dan Gerakan, bahawa DAP adalah kuda tunggangan Pas. Musuh DAP mempropagandakan DAP menggadai maruah, bekerjasama dengan Pas demi memberi laluan pelaksanaan hukum syariah khususnya hudud. Apatah lagi DAP sanggup mengunakan logo bulan purnama demi mencapai cita-cita menewaskan BN. 

Di kala pihak Pas sedang menyiapkan surat kebenaran menggunakan logo bulan purnama kepada calon-calon DAP, ROS membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang roket, pada malam menjelang hari penamaan calon. Apakah pada perkiraan strategi politik pilihanraya BN, BN menerusi MCA dan Gerakan akan dapat keuntungan politik bila DAP tidak guna logo bulan purnama, yang mengesahkan DAP menjadi alat untuk Pas melaksanakan cita-citanya.

Bila DAP bertanding gunakan logo bulan purnama adalah satu penafian tuduhan DAP sebagai parti rasis, berbanding parti-parti komponen BN walaupun logo bersama tetapi masng-masing dengan perjuangan perkauman mewakili kepentingan ras tertentu. Dengan alihan sokongan pengundi bukan Melayu kepada pembangkang bermula PRU12 serta peningkatan dalam PRU13, bila calon-calon DAP berlogo bulan purnama menang di kawasan majoriti bukan Melayu, adalah satu manifestasi penolakan politik perkauman dan politik Malaysia berarah ke perpaduan, kesejagatan dan kematangan. Kecenderungan pemikiran politik yang bukan lagi berselindung dengan fahaman perkauman yang sempit dan terkongkong telah mula dirasai. 

Sewajarnya DAP menggunakan logo seragam seluruh negara dengan menggunakan logo PKR, di mana wajah PKR dilihat lebih keterbukaan penerimaan masyarakat berbagai kaum. Tindakan tidak menggunakan logo PKR, sebaliknya logo Pas, mungkin melihat kepada dominan dan pengaruh Pas dalam menguasai pengundi Melayu berbanding PKR. 

Rintisan ke arah menggunakan satu logo yang dominan, sebelum ROS membuat keputusan kedudukan DAP menjelang hari penamaan calon PRU13, memperlihatkan usaha menggunakan satu logo dah bermula. Mungkinkah kewajaran DAP menggunakan logo bulan purnama akan mengurangkan kepelbagaian logo dalam pakatan pembangkang membina keputusan ROS menjelaskan status DAP tersebut, di mana tersirat legislatif menguasai eksekutif. 

Usaha menggunakan satu logo di pihak pakatan pembangkang sudah tercetus bila pakatan pembangkang Melayu merancang membentuk satu gabungan parti-parti menjelang PRU8 (PRU 1990). Kuasa eksekutif menerusi ROS mengadakan satu peraturan baru pendafataran sesebuah gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 7 buah parti politik. Peraturan ini menghalang pakatan pembangkang menggunakan satu logo. Justeru itu, persefahaman pilihan raya Semangat 46, Pas dan Berjasa bertanding atas logo masing-masing. Begitu juga pakatan pembangkang kedua yang mewakili kawasan bukan Melayu; DAP, PBS, PRM menggunakan logo sendiri. Sementara, HAMIM dan IPF bertanding guna logo Semangat 46. 

Pakatan pembangkang semasa yang membentuk Pakatan Harapan, hasil kerjasama ; DAP, PKR dan Amanah, bersama Bersatu bersetuju menggunakan satu logo, satu manifesto untuk PRU14. Penggunaan satu logo sama ada menerusi pembentukan sebuah gabungan yang memerlukan 7 buah parti politik atau satu logo common, salah satu parti gabungan, demi menggambarkan ke arah amalan sistem dua parti. Umumnya yang tersurat ialah dua logo bersaing dalam PRU14, yang membentuk minda pemilih, persaingan lebih sengit dan seimbang antara pihak yang pertahan kerajaan dengan pihak yang mendokongi "government-in-waiting". 

Hasil dua PRU terakhir, memberikan kita ruang baru dalam masa depan politik Malaysia iaitu ke arah sistem dua parti, yang lebih memberi keyakinan dan keterbukaan rakyat menghayati demokrasi menerusi pilihanraya. Kedua-dua PRU tersebut membentuk persepsi, sudah sampai masanya amalan sistem dua parti yang menyaksikan kesepaduan dalam pasukan parti pemerintah dan kesepaduan dalam pasukan pembangkang. 

PRU13 yang memperlihatkan BN yang menggabungkan 14 buah parti politik cuma menguasai 47% undi untuk menguasai Putrajaya. Secara langsung yang tersiratnya, pengundi memerlukan sistem dua parti, di mana pembangkang yang menguasai 52% undi popular memerlukan persepakatan demi meraikan suara rakyat yang membentuk undi popular. 

Setelah sekian lama, BN menguasai kerajaan hasil rakyat yang membentuk pilihan yang bercempara kerana demokrasi mereka didedahkan dengan kepelbagaian pilihan. Dua PRU terakhir juga membentuk kematangan politik baru di mana parti-parti pembangkang utama menjadi pilihan sementara parti-parti pembangkang yang lain sekadar menghiasi dan memeriahkan medan demokrasi saja. Parti-parti baru yang terhasil dari serpihan parti-parti induk dan popular memerlukan tempat bernaung demi survival, tidak mampu untuk bersendirian. 

Fenomena dan pengalaman lampau mengajak keperluan membentuk paradigma acuan satu lawan satu di padang tak rata dengan BN. Rasionalnya, acuan paling tepat ialah satu logo lawan satu logo. Atas kebijaksanaan parti-parti pembangkang utama merealisasikan impian ini sebagai strategi yang lebih matang dan bertenaga berdepan BN yang didokongi sokongan eksekutif dan birokrasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan