Jumaat, 9 Disember 2016

UMNO bantu DAP

UMNO PATUT DIPERSALAHKAN MENJADIKAN DAP LEBIH BERKUASA

Antara isu utama tarikan  perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lepas ialah keakuran DAP sebagai cabaran utama UMNO. Bersemangat perwakilan mengecam pihak-pihak yang bersongkol dengan DAP, terutamanya orang Melayu. Kesimpulannya, PAU dijadikan medan amaran dan ancaman pengaruh DAP yang boleh menjadi alternatif kepada UMNO, menguasai politik negara. 

Sebagai parti kedua terbesar di Parlimen, wajar DAP menjadi alternatif kepada UMNO, pilihan kepada pemilih menentukan kerajaan masa depan. Perwakilan PAU mempersalahkan semua pihak, sama ada orang Melayu atau bukan Melayu, seandainya kuasa pemerintahan beralih dari tangan UMNO. Takut sungguh UMNO kepada DAP, dengan gambaran Melayu lawan Cina. Begitu dramatik sekali lakonan rasis dapat disaksikan menerusi PUA tahun ini. 

Sama ada DAP akan melebarkan pengaruh dan terus menjadi parti dominan, terletak di tangan UMNO. UMNO sebagai parti tulang belakang kerajaan Persekutuan memainkan peranan parti menguasai kerajaan, legislatif menguasai eksekutif. Pencabulan kuasa legislatif ke atas kuasa eksekutif sudah lama berjalan, demi memperkukuhkan parti mempertahankan kuasa. Dah jadi kelaziman, keputusan eksekutif mesti restu dari parti pemerintah.  Kenaikan pangkat, pertukaran tempat bertugas, pengisian jawatan tertentu, perlantikan dan sempamanya dalam jentera kerajaan dicampurtangan oleh parti pemerintah yang dikepalai UMNO. 

Tugasan menyusun atur syor persempadanan kawasan pilihan raya, walaupun kerja eksekutif, tetapi atas arahan dalam bentuk nasihat dari parti berbagai peringkat. Sungguhpun kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya satu tugasan routine Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh tertentu, tetapi tugasan ini secara langsung menentukan kuasa pemerintahan. Berkaitan dengan itu, tugasan SPR ini, dilihat lebih cenderung mempastikan parti yang berkuasa mengekalkan kuasa menguasai kerajaan dalam pilihan raya umum, jika dilihat kepada rekod dan kesan setiap kali berlaku persempadanan semula memberi manfaat yang memihak kepada parti yang berkuasa. 

Oleh itu, kejayaan DAP menguasai bahagian besar kerusi dalam kawasan tertentu, berkaitan secara langsung dengan tindakan UMNO. Seolah-olah UMNO membantu DAP menjadi parti dominan selepas UMNO, secara langsung mempastikan parti-parti Melayu tidak mampu menandingi UMNO. Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Tumpat atau kerusi Parlimen Tumpat yang dimenangi Pas sejak 6 Pilihan Raya Umum (PRU), mempunyai seramai 101,318 pemilih mengikut rang daftar pemilih induk (DPI) yang disahkan sehingga 30 September 2016. DPI ini adalah yang yang terbaru diwartakan. Sementara Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Tanjong yang dimenangi DAP sekian lama, hanya mempunyai 50,324 pemilih. Kalau ikut wajaran perbandingan dengan Parlimen Tanjong, Parlimen Tumpat sepatutnya dipecahkan kepada dua bahagian pilihan raya Parlimen, yang boleh memberikan Pas, satu kerusi tambahan untuk Parlimen, dengan kemenangan majoriti besar, lebih 10,000 undi dalam PRU13. 

Kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan 71,767 pemilih (DPI terbaru), Parlimen Tanjong (50,324 pemilih) dan Jelutong (72,772 pemilih), kawasan berjiran dan merupakan kubu tradisi DAP, yang memberikan 3 kerusi Parlimen untuk DAP, yang sepatutnya boleh digabungkan menjadi dua bahagian pilihan raya Persekutuan sahaja, untuk dua kerusi bagi DAP. 

Perbandingan antara kerusi Parlimen Tumpat dengan lebih 100,000 pemilih, sebuah kawasan luar bandar, dengan Tanjong, Bukit Bendera atau Jelutong, kawasan bandar, adalah jelas memperlihatkan kelebihan kerusi untuk DAP mengatasi Pas, adalah angkara UMNO yang berselindung di sebalik tugasan SPR. 

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu (101,875 pemilih) dan Marang (90,157 pemilih) yang dimenangi Pas, kawasan campuran bandar, pinggir bandar dan luar bandar, jauh lebih tinggi bilangan pemilihnya berbanding dengan kerusi bandar yang dimenangi DAP. Kepong (70,576 pemilih dimenangi DAP) dan Batu (77,760 pemilih dimenangi PKR), sepatutnya boleh digabungkan menjadi satu bahagian pilihan raya saja, jika dibanding kewajaran bandingan jumlah pemilih Kuala Terengganu (bandar dan pinggir bandar) dan Marang (campuran pinggir bandar dan luar  bandar). 

Tiadanya penambahan kerusi luar bandar dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, menjadikan kerusi Parlimen luar bandar yang menjadi saingan sengit UMNO dan Pas mempunyai bilangan pemilih lebih tinggi berbanding kerusi Parlimen bandar yang memberikan lalulan mudah kepada DAP. 

Tiadanya pertambahan kerusi atau bahagian pilihan raya dalam persempadanan tahun 2003 dan tahun ini, di negeri-negeri majoriti penduduk Melayu dan bersifat luar bandar; Kelantan, Terengganu dan Kedah, memaparkan sekatan peluang suara Melayu dalam Parlimen. Oleh kerana UMNO lebih mengutamakan survival politiknya dalam menyaingi Pas, sebagai mewakili suara Melayu, membiarkan kawasan majoriti Melayu dipinggirkan kerana UMNO lebih mengutamakan kawasan campuran dan bandar, yang bukan saingan UMNO. 

Kerusi Parlimen yang dimenangi Pas atau saingan sengit UMNO-Pas selain Kuala Terengganu, Tumpat dan Marang, Pokok Sena (78,998 pemilih), Kuala Kedah (91,478 pemilih), Pendang (70,697 pemilih), Jerai (74,078 pemilih), Baling (94,809 pemilih), Kuala Krai (72,772 pemilih), Bachok (83,139 pemilih), Pasir Puteh (78,280 pemilih) dan Kota Bharu (83,975 pemilih), lebih besar pemilihnya berbanding kerusi yang dimenangi DAP. Kerusi Parlimen Batu Kawan (59,144 pemilih), Bagan (69,389 pemilih), Kampar (66,579 pemilih), Teluk Intan (61,753 pemilih) dan Raub (53,698 pemilih). Semua data pemilih adalah berdasarkan DPI Suku 2, 2016 yang digunakan dalam syor persempadanan bahagian pilihan raya sekarang. 

Sepatutnya bahagian pilihan raya di kawasan  bandar  lebih besar bilangan pemilih berbanding dengan kawasan luar bandar. Agak jelas tak usah mempersalahkan pengundi yang memilih DAP di kawasan bandar dan pinggir bandar menjadikan DAP parti dominan kedua terbesar di Parlimen. UMNO sebagai tulang belakang penguasa di Putrajaya harus mempersalahkan diri sendiri mengapa tidak memperbanyakkan kerusi Parlimen di atas prinsip rural-urban waitage (wajaran desa-bandar) dalam mempertimbangkan pembentukan sesuatu kawasan pilihan raya.

 

 

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan