Sabtu, 29 Oktober 2016

Apa Masalah Pendaftaran Pemilih

APA MASALAH TUGASAN PENDAFTARAN PEMILIH

Saya tertarik dengan sidang akhbar Anggota Parlimen Rasah, Anthony Loke di lobi Parlimen, tiga hari lepas berhubung dengan masalah perlantikan penolong pendaftar pemilih (ARO) dari kalangan anggota parti. Selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan perlantikan ARO dari kalangan penyokong parti, melaksanakan tugasan pendaftaran pemilih baru. Dari rekod, ARO dari kalangan penyokong parti telah berjaya membantu SPR meningkatkan pendaftaran pemilih baru. 

SPR memberi alasan tidak lagi mengamalkan perlantikan ARO mewakili parti kerana ada masalah. Mengikut Loke, hingga kini, SPR belum lagi memaklumkan apakah masalah yang timbul dari perlantikan berkenaan. 

Tulisan saya dalam blog yang diposkan pada 21/10/2016 lepas, saya jelaskan kesan amat ketara dari segi pendaftaran pemilih baru selepas SPR tidak lagi menggunakan khidmat ARO lantikan parti politik. Tulisan saya mencari alasan munasabah tindakan SPR memperlahankan atau memperlembabkan gerak kerja pendaftaran pemilih. 

Dalam tempoh selepas PRU12 hingga PRU13, SPR telah memainkan peranan kempen bersungguh-sungguh mengajak dan memberi peringatan warga yang layak mendaftar sebagai pemilih mengambil tindakan proaktif. Peranan SPR disambut baik oleh parti-parti politik menggerakkan jentera masing-masing  dalam kerja-kerja pendaftaran pengundi baru. Dalam tempoh tersebut, jumlah pemilih meningkat dengan kadar yang tinggi, 21.75% keseluruhannya di negeri-negeri Tanah Melayu sahaja, yang memberikan secara purata, jumlah pemilih meningkatan sebanyak 4.35% setahun. Di negeri-negeri yang sama, selepas PRU13, pertumbuhan angka jumlah pemilih, hanya purata tahunan 0.52% sahaja. 

Apakah masalah pendaftaran pemilih yang besar memberi kesan kepada sistem atau mengganggu pengkalan data SPR. Sebelum PRU13, riuh dengan pendaftaran berganda atau rekod seorang pemilih mempunyai hak untuk mengundi di dua kawasan yang berlainan. Kes ini banyak berlaku di Selangor, yang menyaksikan pengundi bertambah dengan kadar yang tinggi, iaitu 30.88% dalam tempoh antara 2008-2012. Nama seorang pengundi, ada dalam daftar induk pemilih di Tanjung Karang, dengan nombor kad pengenalan yang sama, nama beliau juga ada dalam sebuah daerah mengundi di bahagian pilihan raya Parlimen Kuala Langat. Ada pengundi berkongsi nombor kad pengenalan, walaupun berlainan etnik. 

Satu lagi masalah ialah gerak kerja pendaftaran pemilih yang secara langsung memberi pendidikan pengundi yang dipeduli oleh satu etnik tertentu sahaja. Masalahnya ialah memberi ancaman besar kepada Barisan Nasional, selaku pemegang kuasa. Buat pertama kalinya, sokongan kepada pemegang kuasa di bawah 50%, yang meletakkan parti pemerintah sebagai sebuah kerajaan minoriti. Kuasa pemerintahan yang tidak disokongan oleh majoriti mudah. 

Harapnya, SPR memberikan satu jawapan yang munasabah dan adil, masalah kepada SPR hasil gerak kerja  penyokong parti-parti politik. SPR perlu keluarkan penjelasan mengapa pendaftaran pemilih yang lembab selepas PRU13, sedangkan lebih 4 juta pengundi yang layak belum lagi mendaftar. Etnik utama yang menguasai komponen terbesar warga yang belum mendaftar sebagai pemilih ialah orang Melayu, yang popular diviralkan menerusi media baru.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan