Jumaat, 21 Oktober 2016

Pendaftaran Pemilih Yg Lembab

KELEMBABAN PENDAFTARAN PEMILIH BARU SELEPAS PRU13 

Berdasarkan kepada angka pemilih terkini sebagaimana dicatatkan dalam Notis Di Bawah Seksyen 4 Bahagian 11 Jadual Ketiga Belas Kepada Perlembagaan Persekutuan berhubung syor dicadangkan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu, yang dikeluarkan pada 15/09/2016, amat mengejutkan. Catatan jumlah pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di semua bahagian pilihan raya jauh lebih rendah dari segi kadar pertambahan berbanding dengan jumlah pemilih semasa pilihan raya umum (PRU). 

Kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu ialah dalam tahun 2003. Sudah 3 PRU diadakan selepas kajian terakhir berkenaan. ketiga-tiga PRU tersebut menggunakan daftar pemilih induk (DPI) yang berjarak 4 tahun antara PRU11 (PRU 2004) dengan PRU12 (PRU 2008).  PRU11  menggunakan DPI yang diwartakan dalam bulan Februari 2004, iaitu pengesahan pendaftaran dalam rang daftar pemilihan tambahan (RDPT) suku ke 4, 2003, yang berakhir 31.12.2003. PRU12 menggunakan DPI dengan pengesahan RDPT suku ke 4, 2007 dan PRU13 (PRU 2013), DPI berakhir dengan pengesahan pendaftaran dari RDPT suku 4, 2012, berjarak 5 tahun. 

Dalam PRU11, seramai 8,588,851 pengundi layak mengundi di negeri-negeri Tanah Melayu, berdasarkan pendaftaran pemilih berakhir 31.12.2003, meningkatkan kepada 9,181,040 orang, pendaftaran berakhir 31.12.2007, layak mengundi dalam PRU12. Dalam tempoh 4 tahun tersebut pertambahan pemilih di Tanah Melayu ialah 592,189 orang atau 6.89%. 

Ada 4 kategori dalam rang daftar pemilih: pendaftaran baru, pendaftaran tukar alamat, pemotongan kerana pengundi tukar alamat atau kes-kes khas dan pemotongan kerana kematian. Yang mengubah angka dalam daftar pemilih ialah pendaftaran baru iaitu mereka yang kali pertama mendaftar sebagai pemilih dan pemotongan kerana kematian. Pendaftaran tukar alamat tidak memperanguhi jumlah keseluruhan kerana namanya dipotong di lokaliti dalam daerah mengundi asal sahaja. 

Kebiasaannya angka kematian adalah statik atau tidak banyak berubah, oleh itu faktor dominan dalam pertumbuhan atau pertambahan bilangan pemilih adalah pendaftaran baru, di mana angka pendaftaran baru ditolak angka pemilih yang meninggal dunia, membentuk perubahan angka. 

Tempoh selepas PRU12, yang menyaksikan perubahan besar berlaku dalam trend pengundian, di mana berlaku peningkatan mendadak pencapaian parti-parti pembangkang yang berjaya merampas beberapa buah negeri dari tangan Barisan Nasional (BN) dan BN buat pertama kali hilang majoriti dua per tiga di Parlimen, kesan besar ialah pertambahan mendadak pertambahan bilangan pemilih di semua negeri.

Dalam tempoh antara PRU11 dengan PRU12, tumpuan pertambahan pengundi hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu. Kemenangan tipis Pas di Kelantan dalam PRU11, memberikan usaha ditumpukan dalam gerak kerja daftar pemilih oleh kedua pihak: Pas dan BN, iaitu UMNO khususnya. Berlaku pertambahan pemilih di Kelantan sebanyak 88,960 orang atau 13.42%. Begitu juga di Terengganu, negeri yang dirampas oleh BN dari Pas, menerusi PRU10, kerja-kerja pendaftaran pemilih diberi penekanan utama oleh kedua-dua parti utama; UMNO dan Pas, yang menghasilkan pertambahan 65,673 pemilih atau 14.40%. Perbandingannya, purata peningkatan jumlah pemilih di dua negeri ini, jauh mengatasi purata 6.89% keseluruhan negeri-negeri Tanah Melayu. Negeri-negeri yang menjadi kubu kuat BN, ketinggalan dari sudut peningkatan angka pemilih; Perak (2,21%), Johor (5.05%), Pahang (5.81%).

Amat berbeza hasil kesan keputusan PRU12. Dalam tempoh lima tahun, RDPT suku 1 2008 hingga RDPT suku 4 2012, menjumlah pertambahan angka pemilih seramai 1,996,780 orang atau 21.75% di negeri-negeri Tanah Melayu. Kerja keras pihak SPR, jabatan kerajaan tertentu serta parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang dalam pendaftaran pemilih membantu peningkatan angka berkenaan. Selangor, negeri paling kaya, tersentak dengan kekalahan BN buat pertama kali. Kerajaan Selangor yang diterajui PKR bersama rakan-rakannya kerja keras untuk mempertahankan kerajaan, sementara BN bekerja lebih kuat untuk merampas balik Selangor. Kerja kuat kedua-dua pihak menghasilkan Selangor menyumbangkan pertambahan pemilih yang besar. Angka pemilih bertambah seramai 483,365 orang atau peningkatan 30.88%. 

Dalam tempoh antara PRU12 dan PRU13, secara keseluruhannya berlaku peningkatan mendadak pertambahan pemilih, di negeri-negeri Tanah Melayu, jumlah pemilih yang layak mengundi dalam PRU13 ialah 11,177,820 orang iaitu pertambahan seramai 1,996,780 orang berbanding PRU12, atau 21.75%. Kesan peningkatan sokongan kepada parti-parti pembangkang serta kemerosotan prestasi BN, memberi penekanan pendaftaran pemilih di semua negeri. Ancaman serta peluang yang dipamirkan oleh PRU12, menyaksikan usaha berganda semua pihak, khususnya parti politik.

Kubu kuat BN seperti Johor dan Pahang yang memperlihatkan pertambahan pengundi yang kecil dalam tempoh antara PRU11 dengan PRU12, menyumbangkan pertambahan angka pemilih keseluruhannya. Di Johor, jumlah pemilih dalam PRU13 meningkat seramai 293,191 orang atau 22.34%, sementara 132,869 orang atau 22.03%, berbanding cuma 33,116 orang dalam DPI PRU12 di Pahang dan 63,113 orang di Johor. Di negeri yang memperlihatkan penekanan pertambahan pemilih sebelum tempoh tersebut, Kelantan dan Terengganu, meneruskan agenda pertambahan ini dengan masing-masing meningkat sebanyak 22.20% dan 21.73%, mengatasi peratusan nasional. 

Berdasarkan kepada angka daftar pemilih terbaru sebagaimana yang digunapakai dalam notis kajian semula persempadanan oleh SPR tempoh hari: bagi negeri-negeri Tanah Melayu berjumlah 11,354,243 orang, pertambahan seramai 176,423 orang atau 1.58% sahaja berbanding angka digunakan semasa PRU13. Pertambahan tertinggi ialah di Terengganu, yang mencatat 34,602 orang atau 5.45%, diikuti Melaka; 17,625 orang (4.01%), Johor; 43,820 (2.73%), Pulau Pinang; 21,546 (2.55%) dan Kelantan; 22,018 (2.40%). Beberapa negeri mencatat angka pertumbuhan yang amat kecil, tidak berpadananan dengan tempoh 3 tahun, di mana DPI terkahir adalah data daftar pemilih berakhir 31.12.2015. 

Secara perbandingan, bagi tempoh 4 tahun iaitu selepas PRU11 hingga PRU12, kadar pertambahannya secara purata 1.73% setahun, dalam tempoh 5 tahun berikut; selepas PRU12 hingga PRU13, puratanya 4.35% setahun. Selepas PRU13, bermula data dari RDPT suku 1 2013 hingga RDPT suku 4 2015, pertambahan   176,423 orang atau 1.58% menyamai purata tahunannya; 0.52%. Perbandingan setara, menyimpulkan kerja-kerja pendaftaran pemilih baru sebagai kerja utama, amatlah lembab berbanding sebelum PRU13. 

Sebelum PRU13, SPR memberi kemudahan kepada parti-parti politik melantik penolong pegawai pendaftaran SPR dalam kerja-kerja pendaftaran pemilih; pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat atau pemindahan tempat menngundi. Di samping itu, tugasan profesional agensi atau jabatan kerajaan juga memain peranan membantu SPR dalam urusan berkenaan. 

Selepas PRU13, tidak nampak kaunter atau payung panas menyediakan kemudahan khususnya anak-anak muda mendaftar sebagai pemilih, terutamanya di tempat tumpuan awam. Kaunter disediakan penyokong parti mendekati anak muda, tidak kelihatan. Kalau ada pun, SPR buka kaunter, bila ada program yang boleh mengumpulkan ramai pengunjung. 

Amalan SPR selepas PRU13, tidak lagi memberi ruang perlantikan ARO mewakili parti-parti politik, dengan menetapkan petugas awam sahaja. Di bawah petugas atau kakitangan awam ini memberi sedikit ruang parti politik melakukan kerja-kerja pendaftaran pemilih, menerusi petugas awam lantikan parti politik yang menguasai kerajaan sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Ruangan ini membolehkan ketua kampung atau penghulu (di Kelantan), pengerusi JKKK atau JKKKP (di negeri BN kalah) atau lain-lain tugasan seumpama. 

Kemerosotan dan kelembaban pendaftaran pemilih menjelaskan pengurangan keterlibatan aktivitis parti politik memberi kesan besar kepada gerak kerja pendaftaran pemilih. Apakah pertambahan mendadak angka pemilih sebelum PRU13 yang tidak memberi signifikan kepada parti pemerintah khususnya BN  memaksa SPR membina agenda baru, tidak memerlukan penglibatan penyokong parti politik dalam kerja pendaftaran pemilih. Sejauhmana keberkesanannya gerakan atau kempen pendaftaran pemilih menerusi agensi rasmi pemerintah membantu SPR untuk mengecilkan peratusan warga yang belum mendaftar sebagai pemilih. 

Kejatuhan mendadak purata pendaftaran pemilih selepas PRU13, dari angka 4.35% setahun kepada hanya 0.52% sahaja dalam tempoh 3 tahun terkahir ini, sepatutnya dipandang dengan serius demi menyuburkan demokrasi amalan kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan