Khamis, 24 November 2016

Undi popular

UNDI POPULAR MEWAKILI SUARA SEBENAR DEMOKRASI

Tertarik juga dengan usul Senator  Barbara Boxer, yang dibawa ke Senate Amerika Syarikat untuk memansuhkan Undi Elecktoral dalam sistem pemilihan Preside, minggu lepas, ekoran kemenangan mengejutkan oleh Donald Trump. 

Beliau menyebut, " ini satu-satunya pilihan raya di dunia ini di mana anda boleh anda boleh mendapat lebih banyak undi dan kehilangan jawatan presiden."
  
Penentu kemenangan seseorang calon Presiden dan Naib Presiden AS menerusi sistem electoral college, di mana pengiraan berasaskan penguasaan undi electoral college. Dalam sistem pilihan raya Presiden AS, sejumlah 538 electoral college yang berasaskan jumlah kawasan perwakilan ke Dewan Perwakilan (House of Representatives), 100 kawasan Senate dan 3 undi mewakili 3 daerah District of Columbia, kawasan ibu negara. AS yang terdiri dari 50 negeri, ditambah District of Columbia dan Peuto Rico.

Setiap negeri memiliki bilangan electoral college yang berbeza bergantung kepada saiz penduduk. Jika seseorang calon memenangi undi keseluruhan bagi sesebuah negeri, maka calon akan memungut semua undi electoral college. Jika negeri yang saiz penduduk yang besar, katakan diperuntukan 50 undi electoral college, maka calon yang dapat undi terbanyak akan membolot semua 50 undi electoral tersebut. 
 
Dalam pilihan raya Presiden AS awal bulan ini, Donald Trump dari parti Republican perolehi 290 undi electoral college, sementara Hillary Clinton dari parti Democrat dapat 228 undi electoral college. Pengiraan yang dibuat oleh badan bebas, Cook Politics, Trump perolehi 61,166,063 undi popular, lebih rendah dari undi Clinton, 62,318,079 undi. Undi Clinton adalah mewakili 48% undi popular berbanding 47% dipungut oleh Trump. Baki 5% diperolehi oleh calon lain. 

Dalam pilihan raya Presiden AS tahun 2000, calon Democrat, Al Gore perolehi 51% undi popular tetapi cuma dapat 266 undi electoral college, dalam menyaingi George Bush yang membolot 271 undi electoral college. 

Hujah Boxer dalam usulnyapenentuan dan kaedah undi electoral college sudah ketinggalan zaman, sistem demokrasi yang tidak mencerminkan masyarakat moden dan ianya perlu diubah. Fokusnya, setiap undi rakyat hendaklah dikira.

Logiknya undi electoral college tidak melambangkan persamaan suara dan persamaan hak yang menjadi asas demokrasi, setiap orang mempunyai suara dan hak yang sama, menerusi satu orang satu undi. Contohnya negeri pertama; diperuntukkan 50 undi college, calon A dapat undi besar, 80% undi popular, bermakna beliau membolot 50 undi college. Di negeri kedua, yang juga memiliki 50 undi college, calon A kalah  tipis kepada calon B, calon A dapat 49.95% undi popular dan calon B dapat 50.05% undi dan berhak membolot 50 undi college. Bila dicantumkan jumlah undi college, calon A dan calon B masing-masing perolehi 50 undi college, tetapi undi popular A jauh lebih besar, kerana perolehi undi besar di negeri pertama dan kalah tipis di negeri kedua. 

Di negara kita yang mengamalkan demokrasi parlimen berperwakilan satu kawasan satu perwakilan mempamirkan ketidaktepat prinsip demokrasi iaitu persamaan hak dan kuasa undi, di mana taburan pemilih yang tidak seimbang antara kawasan. Hasilnya dalam Pilihan Raya Umum ke 13, Barisan Nasional memenangi 84 kerusi Parlimen di negeri-negeri Tanah Melayu, sementara Pakatan Rakyat, menang 81 kerusi. Dari segi undi popular, BN perolehi 4,321,940 undi atau 45.79% dari undi sah di Tanah Melayu, sementara PR dapat 5,034,587 undi atau 53.35%, tetapi BN perolehi 50.9% kerusi Parlimen. 

Dicampur dengan undi dari Sabah dan Sarawak, BN perolehi keseluruhannya 47% undi popular tetapi menguasai 59.9% atau 133 dari 222 kerusi Parlimen untuk mempertahankan kerajaan. 

Sama ada sistem electoral college atau "the first past the post"  dalam perwakilan mewakili kawasan, tidak mencerminkan prinsip sebenar asas demokrasi yang menghormati suara majoriti. Majoriti rakyat tidak menyokong Trump sebagai Presiden, majoriti rakyat tidak menyokong BN menguasai kerajaan Persekutuan di Malaysia, tetapi ianya diselamatkan oleh sistem yang menafikan suara majoriti. Tepatlah usul Boxer, sistem ketinggalan zaman perlu diubah kepada sistem yang lebih adil mengikut prinsip asas demokrasi, yang menghormati setiap undi setiap orang.  

   

  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan