Khamis, 25 Ogos 2016

UMNO yakin rampas Kelantan (bah 1)

UMNO BERKEYAKINAN TINGGI UNTUK MERAMPAS KELANTAN

bahagian 1

Keyakinan yang cukup tinggi kepada UMNO, bahawa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan menjanjikan kejayaan usaha merampas Kelantan.  Kejayaan UMNO/BN menambahkan kerusi DUN dari 6 kerusi dalam PRU12 ke 12 kerusi dalam PRU13, sudah menyuntik asas gerakerja BN menghadapi PRU14. 

Sungguhpun BN berjaya meningkatkan sekali ganda bilangan kerusi di DUN tetapi dari segi undi popular atau perolehan undi secara relatifnya tidaklah satu perubahan besar. Undi BN meningkatan dari 260,501 undi dalam PRU12 meningkat ke 343,416 undi atau pertambahan 82,915 undi atau 31.83%. Di pihak pakatan Pas dan PKR yang mempertahan kerajaan, berjaya meningkatkan undi lebih besar, pertambahan sebanyak 88,669 undi (26.34%), dari 336,220 undi dalam PRU12 ke 425,289 undi dalam PRU13. Dalam PRU12, BN menguasai 43.36% keseluruhan undi sah, berbanding 44.62% dalam PRU13, tidak mencerminkan kejayaan melipatgandakan pencapaian kerusi dimenangi. 

Kejayaan BN menambah kerusi dalam DUN Kelantan tidak memberi kesan besar ke atas kecenderungan pengundian menjelang PRU14. Pas yang mempertahankan kerajaan masih kukuh dengan pengumpulan 55.26% sokongan, dengan sedikit penurunan berbanding 56.33% dalam PRU12. Dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya yang diamalkan kebanyakan parti politik di Malaysia, perolehan undi melebihi 55% meletakkan sesebuah parti itu dalam zon selamat. 

Jika diambil prestasi sesebuah parti menguasai undi lebih 55%, secara langsung memenangi satu kerusi dengan majoriti yang selesa. Dalam PRU13, calon Pas di kerusi Kelaboran memperolehi 55.81% undi, dengan perolehan 10,098 undi, calon BN dapat 7,995 undi, dengan undi majoriti kemenangan 2,103 undi. Di kerusi Kemahang, calon Pas dapat 55.76%, dengan perolehan 6,953 undi, sementara calon BN dapat 5,517 undi, memberikan calon Pas menang dengan majoriti 1,436 undi. Calon-calon yang menang di Kelaboran dan Kemahang itu adalah dalam keadaan selesa kerana memperolehi margin atau perbezaan melebihi 10%, 2,103 (11.62%) dan 1,436 (11.51%). 

Calon BN menang di kerusi Air Lanas setelah perolehi 50.18% dari jumlah undi sah. Calon BN dapat 6,605 undi, calon Pas 6,558 undi, membolehkan BN menang dengan majoriti 47 undi atau perbezaan 0.35%. Peratusan margin yang semakin kecil menggambarkan semakin tidak selamat dari berbagai sudut kerja-kerja teknikal kepilihanrayaan. 

Kejayaan BN menambah bilangan kerusi dan peratusan undi popular sebenarnya menepati putaran prestasi pilihan raya di negara ini. Memanglah giliran untuk BN bagi PRU13 setelah PRU12 tidak memihak kepadanya, kerana putarannya mata gergaji yang bergilir naik turun silih berganti. Banding dengan PRU11, PRU13 tidaklah memberi status atau prestasi yang boleh dibanggakan, di mana dalam PRU11, BN hampir menguasai Kelantan dengan pungutan 49.59% undi popular, berbanding pakatan Pas-PKR 50.40%. 

Perpecahan dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat yang memunculkan serpihan Pas; Parti Amanah Negara (Amanah), dibaca oleh BN sebagai membuka ruang untuk BN main peranan lebih menyakinkan. Perpecahan dalam Pas sebagai parti pemerintah di Kelantan boleh melangkapkan strategi BN menguasai Kelantan. Mengulangi sejarah kejatuhan kerajaan Pas di Kelantan kerana krisis dalaman yang membawa kepada pembentukan serpihan; Berjasa dalam tahun 1978, memberi inspirasi baru untuk BN. Kemunculan Berjasa jauh berbeza dengan Amanah. Tanpa berselindung, pembentukan Berjasa adalah peranan menjatuhkan Pas yang banyak dibantu secara langsung oleh UMNO/BN. Amanah juga membawa mesej menjatuhkan Pas, peranan UMNO dan BN amnya tidak jelas. Kelulusan pendaftaran Amanah memakan masa berbulan-bulan, yang secara tak langsung oleh BN, atas peranan parti menguasai eksekutif. Peranan ROS adalah procedure birokrasi, hakikinya pembuat keputusan ialah sang penguasa kerajaan Persekutuan. Pendaftaran Berjasa diluluskan dalam masa amat singkat dan mudah.  Berjasa membantu UMNO/BN tetapi Amanah membawa agenda menewaskan UMNO/BN. 

Faktor krisis dalam Pas bukanlah faktor dominan, lantaran UMNO juga terlibat dengan pembentukan serpihan; Parti Peribumi Bersatu (Bersatu). Walaupun Bersatu belum diluluskan pendaftaran,  langkah melambat-lambatkannya lebih jelas dan mudah ditafsirkan Bersatu adalah satu ancaman. Jika serpihan rakan komponen BN, SPDP iaitu TERAS boleh diluluskan dalam sekelip mata, lantaran ianya adalah satu peluang, apakah alasannya serpihan parti komponen UMNO iaitu Bersatu diperlengahkan. Double standard ini menampakkan Bersatu adalah satu mala petaka baru mengancam UMNO. 

Terlalu awal Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mencabar kerajaan Kelantan pimpinan Pas memanggil Pilihan Raya Negeri (PRN) lantaran krisis kepimpinan Pas serta keyakinan dengan peningkatan prestasi UMNO/BN dalam PRU13. Terlalu awal juga puteri UMNO bertarian gelek tanpa pedulikan peraturan pihak berkuasa negeri dan tempatan kerana terlalu yakin, Kelantan bakal bertukar tangan kepada UMNO.  Tindakan-tindakan awalan pihak UMNO selaku pembangkang di Kelantan menggambarkan keyakinan cukup tinggi, Pas di Kelantan tidak berpengaruh lagi, setelah peninggalan Tok Guru.

Sebenarnya keyakinan UMNO untuk menumpaskan Pas di era Tok Guru sudah bermula selepas Semangat 46 meninggalkan kerajaan gabungan bersama Pas. Bila Semangat 46 meninggalkan Pas untuk menyertai UMNO semula dalam tahun 1997, walaupun bukan secara keseluruhan, logiknya akan bertambah kekuatan UMNO. Tengku Razaleigh pemain peranan utama menjatuhkan sebuah kerajaan; menjatuhkan kerajaan Pas 1978 dan menjatuhkan kerajaan UMNO 1990, diberi peranan mengepalai UMNO Kelantan. Keyakinan tinggi PRU10 (PRU 1999) UMNO bertambah kuat dengan gabungan UMNO (Baru) dengan bekas UMNO asal, yang diwakili Semangat 46. Malangnya, penyertaan semula bekas ahli UMNO menyertai UMNO (Baru), pencapaian BN lebih teruk berbanding PRU9 (PRU 1995). BN hanya menang 2 kerusi dari jumlah 43 kerusi DUN, mengulangi sejarah Pas menang 2 kerusi batu nisan dalam PRN 1978. 

PRU12 (PRU 2008) UMNO/BN  telah meletakkan bukan mimpi tetapi realiti menunggu, giliran kerajaan Pas ditumbangkan. Gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju" dengan poster dan banner Menteri Besar baru disebarluas seluruh negeri. Suasana hampir menyamai gelombang kebangkitan rakyat yang membawa kepada pertukaran kerajaan 1978 dan 1990. Seminar, taklimat dan gerak gempur propaganda "Kelantan Baru Kelantan Maju", cukup hebat dalam tahun 2007-2008. 

bersambung


 












 

 

1 ulasan:

  1. Menarik. Terima kasih dapat juga dijadikan pencerahan buat saya. Terima kasih.

    BalasPadam