Sabtu, 30 April 2016

PRN Sarawak 3

ANTARA PERTINDIHAN CALON DENGAN CALON LANGSUNG

Pilihan Raya DUN Sarawak ke 11 (PRN11) agak menarik untuk diberi perhatian kerana kedua-dua kumpulan: Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan dan pakatan pembangkang utama masing-masing memiliki masalah dari sudut agihan kerusi untuk ditandingi anggota komponennya. 

Pakatan pembangkang menerusi Pakatan Harapan yang merupakan kerjasama parti-parti: Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal mewujudkan perintindihan calon unuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri. Keputusan persepakatan di peringkat nasional membahagikan 82 kawasan atau kerusi: PKR 40, DAP 29 dan Amanah 13. Berbanding agihan untuk PRN10 (PRN 2011), semasa pembangkang berpakat dalam Pakatan Rakyat: PKR 49, DAP 15 dan Pas 5, dengan 2 kawasan tidak ditandingi. Amanah adalah serpihan Pas, di mana dalam PRN11, Pas bertanding sebagai blok ketiga, tanpa ikatan dengan mana-mana parti.

Agihan 40:29:13 dicapai di peringkat kepimpinan nasional, gagal dicapai di peringkat negeri. Kegagalan mengelakkan pertandingan sesama pambangkang oleh kepimpinan pembangkang negeri mencacatkan penyertaan Pakatan Harapan dalam PRN11. DAP yang diputuskan 29 kerusi, mencabuli keputusan nasional dengan meletakkan calon di kerusi di kawasan yang diperuntukan kepada PKR: Batu Kitang dan Simanggang. PKR pula meletakkan calon di kerusi peruntukan DAP: Mambong, Ngemah, Murum dan Mulu. Batu Kitang adalah kawasan majoriti Cina di pinggir Kuching, sementara Simanggang, walaupun kawasan majoriti Iban, tetapi memiliki jumlah pengundi Cina yang besar, 30%. Mambong, kawasan majoriti Bidayuh, Ngemah adalah majoriti Iban, sementara kerusi Murum dan Mulu adalah kerusi baru diwujudkan yang terdiri dari majoriti pengundi Orang Ulu. 

Dalam PRN10, DAP menang di 12 kawasan, kawasan bandar dan pinggir bandar dengan majoriti Cina dan campuran, tewas di 3 kawasan: Bawang Assan (majoriti Cina), Simanggang (campuran majoriti Iban dan Cina) dan Bukit Kota (dulunya kawasan campuran Melayu dan 30% Cina, sekarang sebahagian kawasan baru; Mulu). Dalam PRN11, selepas kejayaan dalam PRN10, DAP menambahkan perletakan calon di kawasan luar bandar, khususnya kawasan Bumiputera bukan Islam. 

PKR pula walaupun diberikan jumlah kawasan yang lebih banyak sebagai sifatnya tanpa batasan ras dan geografis, dengan jumlah kawasan terbesar gagal memenuhi sasaran pembangkang menafikan kemenangan percuma BN pada hari penamaan calon. PKR gagal kemuka calon di kerusi: Pantai Damai, Bukit Kota, Batu Danau dan Bukit Sari, kecuali Batu Danau, kawasan majoriti Orang Ulu dan Iban, yang lain adalah kawasan majoriti Melayu.  BN menang tak bertanding di Bukit Kota dan Bukit Sari.

Bagi Pakatan Harapan, persoalannya mengapa berlaku berlaku perebutan kerusi atau pertindihan di kawasan campuran dan Bumiputera bukan Islam dan membiarkan laluan mudah BN di kawasan majoriti Melayu-Melanau. Di Sarawak, episod pertindihan atau perebutan kawasan bukanlah satu episod baru dalam lembaran pengalaman berpolitik selepas merdeka. 

Pakatan pembangkang yang lebih kepada kerjasama politik untuk mengelakkan BN menang tak bertanding di beberapa kawasan dan persaingan dua penjuru, untuk mewujudkan persaingan yang lebih sengit antara parti kerajaan dan pembangkang. Justeru kerjasama yang longgar banyak terdedah kepada pencabulan dan langgar syarat. Kerjasama antara parti pembangkang yang lebih berkesan dapat dilihat daripada PRU 1969, kerjasama DAP-Gerakan-PPP,  PRU 1990 menerusi Angkatan Perpaduan Ummah,  PRU 1999 menerusi Barisan Alternatif, PRU 2008: Pas-PKR-DAP, dan PRU 2013 dalam Pakatan Rakyat. 

Dalam PRU 1990, sungguhpun kerjasama intim antara Pas dengan Semangat 46, Pas meletakkan calonnya di kerusi peruntukan Semangat 46 iaitu kerusi Dun Serada (Terengganu) membawa kepada persaingan 3 penjuru. Kekuatiran kekuatan Semangat 46 di Serada yang boleh membantu jentera Pas untuk Parlimen Marang ada kekuatannya bilamana calon Semangat 46 hanya pungut 487 undi sahaja berbanding calon Pas 4,293  undi dan calon BN 5,077 undi, dan Pas menang kerusi Parlimen Marang, walaupun Pas menang 2 kerusi Dun lebih rendah majoritinya berbanding 2 kerusi Dun yang dimenangi BN. 

Dalam PRU 2013, Pas telah meletakkan calonnya sendiri di kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, antaranya kerusi negeri Sungai Acheh (Pulau Pinang), Kota Damansara (Selangor), Kota Putera dan Bukit Besi (Terengganu). Penyertaan Pas di Kota Damansara menyebabkan kerusi itu dirampas oleh BN. 

Keseluruhannya pencabulan kerjasama menerusi perletakan calon ketiga adalah berfokus kepada faktor kekuatan pengaruh parti dan jentera parti di samping kurang yakin dengan keupayaan parti sahabat. Apa saja keputusan kepimpinan parti di peringkat nasional, dicabul bila turun ke peringkat kepimpinan negeri menjelang hari penamaan calon. Jentera parti di peringkat negeri lebih mementingkan kepentingan parti di peringkat bawah, tanpa mengambil kira kepentingan nasional dan jangka panjang kerjasama antara pembangkang. Isu di Sarawak menampakkan keegoaan DAP negeri, setelah memperlihatkan prestasinya lebih baik berbanding rakan-rakan lain dalam pakatan. Awal-awal lagi DAP Sarawak memutuskan hubungan Pas lantaran usaha Pas nak laksana perundangan berkaitan hudud di Kelantan, yang tiada kaitan dengan kondisi dan semangat perlembagaan di negeri Sarawak. Usaha DAP hendak menhancurkan Pakatan Rakyat lebih awal diusahakan di Sarawak, sebelum kepimpinan nasional parti-parti lain buat keputusan.    

Menjelang PRN4 (PRN 1983), berlaku krisis dalam Sarawak National Party (SNAP), sebuah anggota komponen BN. Kemuncak krisis ini ialah pembentukan sebuah parti serpihan, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). Krisis ini lebih menampakkan krisis antara blok kepimpinan Iban dengan kepimpinan Cina. Di kemuncak krisis SNAP-PBDS, DUN dibubarkan dan pembubaran DUN ini dijadikan landasan mencari jalan penyelesaian krisis dalam BN. Dalam PRN4, komponen BN: Parti Bumiputera Bersatu (PBB) dan Sarawak United People's Party (SUPP) bertanding sebagai calon rasmi BN, menggunakan logo BN, sementara SNAP dan PBDS bertanding atas logo masing-masing, di kawasan yang dimenangi SNAP dalam PRN3. 

Dalam PRN4, BN meletakkan 32 calon: 20 PBB dan 12 SUPP.  SNAP bertanding di 18 kerusi, termasuk 2 kerusi yang ditandingi calon rasmi BN, sementara PBDS bertanding menentang SNAP di 14 kawasan. Keputusan PRN4 ialah: BN 30 kerusi( 19 PBB, 11 SUPP), SNAP 8 kerusi, PBDS 6 kerusi dan 4 kerusi dimenangi calon-calon bebas.  SNAP menang di kawasan berbagai sementara PBDS hanya di kawasan majoriti Iban sahaja.  Selepas PRN4, PBDS gagal diterima sertai kerajaan negeri, dan menjadikan sebagai pembangkang peringkat kerajaan negeri dan penyokong BN di peringkat Persekutuan.


BN yang dibarisi 4 parti komponen; PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) berdepan dengan krisis dalaman parti yang membawa kepada pembentukan serpihan. SUPP yang alami kekalahan teruk dalam PRN10, bila cuma menangi 6 kerusi dari jumlah 19 kerusi yang diperuntukan BN. Prestasi buruk ini membawa kepada krisis keyakinan kepimpinan membawa kepada kemunculan serpihan; United People's Party (UPP). Dalam DUN penggal lepas, dari 6 ADUN asal SUPP, 4 daripadanya sertai UPP. 

SPDP adalah serpihan dari SNAP, setelah perbalahan dalam SNAP yang membawa kepada pembatalan pendaftaran SNAP  dalam tahun 2002. William Mawan dinasihatkan oleh Ketua Menteri menubuhkan parti baru. SPDP disahkan pendaftaran pada 9/11/2002.  SPDP alami krisis lagi sebagaimana krisis parti induknya SNAP dalam tahun 1983. William Mawan membawa keluar sebahagian kepimpinan SPDP, untuk menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dalam tahun 2014. Semua  6 orang ADUN SPDP sertai Teras. 

BN negeri mengambil pendekatan meletakkan calon langsung (direct candidates) sebagaimana pernah diamalkan apabila kegagalan BN meletakkan calon yang diterima oleh semua anggota komponen.  Dalam PRU 1990, Abit Joo, yang bertanding sebagai calon bebas memenangi kerusi Parlimen Julau mengalahkan calon BN. Dalam PRU 1995, di atas ketokohannya dan sebagai winnable candidate, Abit Joo diminta bertanding semula.  Oleh kerana kerusi tersebut adalah kerusi tradisi PBB, PBB meminta diletakkan calon dari PBB. Keputusannya BN meletakkan Abit Joo sebagai calon langsung BN, dan terpulang kepada beliau memasuki mana-mana parti sekiranya menang. Beliau sertai PBDS selepas menang PRU 1995. 

Justeru parti-parti serpihan UPP dan Teras secara langsung ditaja dan direstu penubuhan oleh kepimpinan BN negeri, maka diberi keistimewaan sebagai calon langsung BN kerana kedua-dua parti belum diterima sebagai anggota rasmi komponen BN. 7 kerusi diperuntukan untuk UPP dan 6 Teras. 

SUPP diberikan 13 kerusi sementara UPP menerusi calon langsung mendapat 7 kerusi, berbanding 19 kerusi dalam PRN10. Tambahan satu kerusi baru iaitu Bukit Semuja, kawasan majoriti Bidayuh. SUPP bertanding di 12 kerusi manjoriti Cina dan 1 campuran Iban dan Cina, sementara bagi UPP: 3 kerusi Bidayuh, 1 Iban dan 3 Cina. Daripada 12 kerusi yang dimenangi DAP dalam PRN10 lalu, 9 diperuntukkan kepada SUPP untuk ambil tanggungjawab. 

Bagi SPDP, 5 kerusi yang diperuntukan adalah 2 kerusi yang kalah kepada PKR dalam PRN lalu, merangkumi kawasan Bumiputera bukan Islam. Kerusi kepada Teras melalui calon langsung termasuk 3 dimenangi oleh calon SPDP dalam PRN lalu, bezanya Teras bertanding diberbagai kawasan termasuk kawasan Bumiputera Islam (Bekenu) dan kawasan majoriti Cina (Pelawan) di samping kawasan atau kerusi Bumiputera bukan Islam.   

Calon langsung mewakili BN yang terdiri dari pencalonan UPP dan Teras menampakkan usaha BN Sarawak mengaktifkan peranan serpihan serta membantu memecahbelahkan parti-parti komponen yang bermula dengan perpecahan dalam SNAP dalam tahun 1983. Pembentukan parti-parti serpihan yang akan diterima menyertai BN negeri selepas ini, akan mengecilkan perwakilan parti-parti komponen serta memperkukuhkan penguasaan PBB sebagai parti induk. 11 kerusi baru hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya terakhir diagihkan 5 untuk PBB, 2 kepada PRS. Sementara baki 4, 2 kepada Teras, masing-masing satu untuk SUPP dan serpihannya, UPP, manakala SPDP tidak diperuntukan. Sekali imbas peranan parti-parti serpihan mengatasi parti induk masing-masing. 

Politik "pecah dan perintah" menjadikan parti politik bukan lagi wadah untuk perjuangan ummah tetapi lebih memihak mempertontonkan parti politik adalah wadah untuk survival politik peribadi dan kelompok atau kroni. SUPP sebuah parti yang paling senior, lebih awal penubuhan dan gerakan politiknya dari PBB dan SNAP, yang sentiasa consistant dalam perjuangan "Chinese based" walaupun keahlian terbuka, sejak zaman belum penubuhan Malaysia. Hari ini semakin luntur kesemerbakkannya, pengundi setia beralih arah ke parti dari Semenanjung dan ianya berpecah hingga memunculkan serpihan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan