Ahad, 24 April 2016

PRN Sarawak 2

KEUPAYAAN BN MENYEKAT KECENDERUNGAN TEMPIAS POLITIK ARUS PERDANA

Sejauhmana keupayaan BN mempertahankan kuasa di Sarawak selepas era Tun Abdul Taib Mahmud adalah ukuran sebenar pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri ke 11 (PRN11). Lantaran kecenderungan pengundian di Sarawak sejak 10 tahun terakhir meletakkan pencapaian BN berterusan menurun. Kecenderungan dan corak keputusan membuat pilihan sedikit demi sedikit ke arah pengaruh politik arus perdana nasional. Sebelum ini, pemilih Sarawak agak terasing dari gelombang nasional lantaran ianya lebih didominasi oleh isu-isu tempatan atau kenegerian dan peranan parti-parti tempatan lebih menonjol.

Sungguhpun telahan dan ramalan awam, BN tidak menghadapi masalah mempertahankan kerajaan negeri Sarawak, perhatian ditumpukan kepada prestasi BN yang berdepan dengan trend penolakan rakyat secara beransur, sama ada dalam PRN ataupun PRU, dalam tempoh 10 tahun terakhir. Sarawak sebagai antara kubu kuat BN selain Sabah dan Johor berdepan dengan hakisan lagenda kubu kuat. Ada kaitan yang erat hasil keputusan pilihan raya peringkat DUN dan Parlimen dalam tempoh tersebut, walaupun Sarawak mengadakan pilihan raya terasing dari pilihan raya nasional atau PRU. 

Dalam PRN8 (PRN 2001), BN memperolehi 71.11% undi popular dengan memenangi 60 dari jumlah 62 kerusi DUN. DAP, parti nasional yang sudah lama bertapak di Sarawak yang meletakkan 13 calon cuma memnangi 1 kerusi sahaja. Parti Keadilan Nasional (kemudiannya Parti Keadilan Rakyat) dan Pas, yang baru menyertai politik Sarawak, gagal memenangi sebarang kerusi. 

PRN9 (PRN 2006) yang diadakan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak, termasuk bahagian pilihan raya Parlimen, dalam tahun 2004, bolehlah disifatkan satu kegagalan bagi BN, yang berkuasa. Persempadanan tidak memberi manfaat besar kepada BN.  Undi popular BN cuma 61.8%, dan dengan pertambahan 9 kerusi baru DUN, BN cuma dapat menambah dari 60 ke 62 kerusi sahaja. Dalam PRN8, BN hilang hanya 2 kerusi sahaja tetapi dalam PRN9, BN kalah 9 kerusi DUN. 

PRN10 (PRN 2011) memberikan prestasi BN paling buruk selepas PRN5 (PRN 1986) yang diadakan selepas peristiwa Ming Court. BN cuma perolehi 55.36% undi popular dan BN cuma pungut 56 kerusi DUN, sementara parti-parti nasional, DAP dan PKR memungut 15 kerusi. 

Umumnya prestasi yang merudum dari tahun ke tahun ini dikaitkan dengan kepimpinan Tun Abdul Taib Mahmud. Apakah pengunduran Taib Mahmud akan membuka ruang dan peluang memulihkan imej BN menerusi kepimpinan baru, TS Adenam Satem. Tugas utama BN bukan sekadar mempertahan kuasa tetapi memperbaiki sokongan popular rakyat yang diukur menerusi pendekatan undi popular. 

Di samping itu, dengan pertambahan 11 kerusi baru hasil persempadanan kawasan pilihan raya 2014, sepatutnya BN dengan mudah boleh memperolehi 10 kerusi luar bandar baru tersebut. Seandainya BN gagal melepasi 66 kerusi dalam PRN11, pengunduran kepimpinan lama dan persempadanan semula kawasan pilihan raya, menggambarkan kegagalan BN mempertahankan legasi kubu kuat dan faktor penentu kuasa masa akan datang. 

Prestasi tidak  memberangsang BN dalam PRN10, lima tahun lepas, bukan kebergantungan kepada isu tempatan atau kepimpinan setempat, ianya lebih menyerlahkan penyebarluasan politik arus perdana. Apa yang berlaku di Semenanjung turut tempiasnya ke kepulauan Borneo. Pencapaian BN dalam PRN10 sebanyak 55.36% undi popular, tidak jauh beza dengan pencapaian BN di kerusi DUN Sabah sebanyak 55.67% dan 53.98% undi popular kerusi-kerusi DUN Johor dalam PRU13 (PRU 2013), di mana Sarawak, Sabah dan Johor adalah medan pergantungan BN selepas PRU 1999. Justeru itu, pecahan dan pertambahan kerusi pilihan raya lebih diperbanyakkan di negeri-negeri tersebut dalam kerja-kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas 1999. 

Isu nasional seperti kekurangan bekalan barangan disertai kenaikan harga lebih menguasai pola pemilihan pengundi dalam PRN10. Kali ini, isu yang lebih dominan ialah GST, yang berkaitan dengan kehidupan harian masyarakat sebagai pengguna akan menghiasi paparan dan tanggapan rakyat. PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh memberikan impaks besar kepada prestasi BN. 

Tidak dapat dinafikan rekod dan kewibawaan kepimpinan Adenam Satem akan banyak membantu pencapaian dan tanggapan pemilih terhadap BN, tetapi isu arus perdana seperti GST di samping 1MDB, akan turut  berperanan mengendurkan kerancakan BN mengetengahkan kepimpinan baru dan agenda pembangunan fizikal yang dijanjikan. Hari ini Adenam Satem menasihatkan pengundi Sarawak, PRN ini ialah untuk mempertahankan Adenam sebagai memimpin kerajaan Sarawak  bukan untuk memilih seorang Perdana Menteri. Apakah tersiratnya bahawa sepatutnya isu-isu tempatan dijadikan keutamaan bukannya isu nasional diperbesarkan.

 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan