Selasa, 3 Mei 2016

PRN Sarawak 4

KE ARAH MENEMBUSI GARISAN PERKAUMAN

Percaturan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 11 (PRN11) menampakkan kegagalan sistem politik berbilang parti menghakis lagenda perkauman. Landasan perkauman lebih ketara menerusi apa yang dipertonjolkan oleh parti-parti tempatan. Justeru secara langsung pembentukan kawasan pilihan raya, bahagian pilihan raya negeri khususnya, lebih bersifat persempadanan berasaskan garisan perkauman. Justeru itu, parti-parti yang dibentuk adalah lebih bersifat mewakili kaum atau suku tertentu. Struktur geografis serta panorama demografinya memudahkan amalan kepentingan perkauman direncanakan.

Kawasan pilihan raya negeri semasa terdiri dari 19 kawasan majoriti Melayu, 9 majoriti Melanau, 21 kawasan majoriti Iban, 7 kawasan Bidayuh, 15 kawasan majoriti Cina, 6 kawasan Orang Ulu dan 2 kawasan campuran dengan Kedayan sebagai peratusan tertinggi iaitu Bekenu dan Lambir. Menjumlahkah kawasan majoriti Bumiputera Islam (Melayu-Melanau-Kedayan) sebanyak 30 kawasan atau kerusi. 

3 lagi kawasan campuran tetapi dengan peratusan tertinggi kaum tertentu: Senadin (Cina), Stakan (Iban) dan Bukit Semuja (Bidayuh). Keseluruhannya kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam (Iban-Bidayuh-Orang Ulu) ialah 26, dan kawasan majoriti Cina sebanyak 16.

Secara taburan penempatan, Bumiputera Islam berselerak di kawasan hiliran dari  Kuching ke Limbang. Orang Melayu menguasai bahagian selatan pesisir hiliran dan utara bersempadan dengan Brunei. Orang Melanau mendominasi bahagian tengah hiliran sementara Kadayan di sekitar kawasan Sibuti, antara Bintulu dan Miri.

Etnik Bumiputera bukan Islam menguasai kawasan  pertengahan dan pedalaman dari Mas Gading di selatan dan berakhir di kawasan Lawas, bersempadan dengan Sabah di utara. Masyarakat Bidayuh di kawasan selatan dan Iban di kawasan tengah dan utara. Orang Ulu di kawasan pedalaman tengah dan utara dengan kelompok terbesar Lun Bawang, Kelabit, Kayan dan Kenyah.

Kerusi-kerusi majoriti Cina adalah berpusat di bandar-bandar utama Kuching, Sibu dan Miri. 
  
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang asalnya gabungan Parti Bumiputera (mewakili Bumiputera Islam) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Bumiputera bukan Islam) dibentuk dalam tahun 1973. Parti Bumiputera adalah gabungan Barjasa (Barisan Rakyat Jati Sarawak) dan Parti Negara Sarawak (PANAS), dalam tahun 1968. Parti-parti ini asasnya dipelopori oleh Bumiputera Islam.  

Sarawak United People's Party (SUPP) adalah parti politik pertama ditubuhkan di Sarawak dalam tahun 1959. SUPP dipelopori oleh tenaga penggerak kepimpinan Cina, sebagai asas kesedaran keperluan keterlibatan politik. PANAS adalah parti politik kedua ditubuhkan yang mengumpulkan penggerak Melayu. Dalam tahun 1961, masyarakat dan kepimpinan Dayak merasai kepentingan keterlibatan massa demi masa depan masyarakat mereka, menubuhkan Sarawak National Party (SNAP). Di kalangan kepimpinan Dayak yang berlainan latar belakang sosial, terdiri dari pemimpin masyarakat tradisional Dayak, penghulu khususnya menubuhkan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka). 

Pemimpin Melayu yang tidak menyertai PANAS menubuhkan Barisan Jati Rakyat Sarawak (Barjasa), sementara kepimpinan Cina menubuhkan Sarawak Chinese Association (SCA) yang kemudiannya bergabung membentuk Perikatan Sarawak, untuk berdepan dengan pilihan raya kerajaan tempatan. Pemimpin-pemimpin dari parti politik berbagai ini yang secara langsung mewakili suku-suku kaum utama di Sarawak dipilih menganggotai Council Negeri (DUN) dalam tahun 1963. Pemimpin-pemimpin inilah yang mewakili rakyat Sarawak dalam rundingan memerdekakan Sarawak menerusi Malaysia pada 16/09/1963.  

Namun demikian keangotaan beberapa parti tidaklah terhad kepada suku kaum tertentu. Beberapa tokoh Cina dan Melayu terlibat sama dalam kepimpinan SNAP dan Pesaka.

Asasnya, dari awal lagi sejak zaman pra penubuhan Malaysia peranan parti-parti politik   di Sarawak lebih mudah dikenali identiti kerana semua parti fokus kepada suku kaum tertentu. Justeru itu, sungguhpun ada parti yang melangkau batasan suku kaum, tetapi asasnya menggambarkan perjuangan kepentingan kelompok atau kaum tertentu. 

Kepelbagaian parti yang menyukarkan pembentukan kerajaan. Sarawak mengadakan pilihan raya pertama, kedua-dua peringkat DUN dan Parlimen dalam tahun 1969. Oleh kerana pengistiharan darurat seluruh negara selepas Peristiwa 13 Mei 1969, pilihan raya yang sedang berlangsung ditangguhkan dan disambung pengundian selepas darurat ditarikh balik, setahun kemudian. Bagi DUN, Parti Perikatan Sarawak (Parti Bumiputera-SCA) memenangi 15 kerusi, SUPP 12, SNAP 12, Pesaka 8 dan seorang calon bebas.  

Ketua Menteri, Penghulu Tawi Sli dari Parti Pesaka gagal membentuk kerajaan, sedangkan kerajaan negeri Sarawak hasil gabungan Parti Perikatan dan Parti Pesaka. SNAP yang mengetuai kerajaan meninggalkan gabungan dengan Perikatan dalam tahun 1966, selepas perlucutan jawatan Ketua Menteri Stephent Kalong Ningkan. SUPP tidak menyertai kerajaan di bawah pimpinan SNAP (1963-1966) dan pimpinan Parti Pesaka (1966-1970). Tiada mana-mana parti boleh bentuk kerajaan tanpa gabungan atau sokongan parti lain. Hasil gabungan Perikatan dan SUPP, dengan 27 kerusi berjaya membentuk kerajaan pimpinan Abdul Rahman Yaacob. Gabungan ini diperkukuhkan lagi dengan menggabungkan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka sebagai PBB dalam tahun 1973, bersama SUPP menyertai konfederesi Barisan Nasional.

Dalam PRN11, BN meletakkan seramai 40 calon PBB. Calon PBB bertanding di 29 dari jumlah 30 kawasan majoriti Bumiputera Islam, dengan memberikan kerusi Bekenu kepada calon langsung BN dari Teras. PBB meletakkan 11 calon  daripada jumlah 36 kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam, iaitu 7 kawasan Iban, 3 Bidayuh dan satu kawasan Orang  Ulu.   

Parti Rakyat Sarawak yang mempusakai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibatal pendaftaran, fokus kepada suara Bumiputra bukan Islam, di mana dari 11 kerusi diperuntukan oleh BN, PRS bertanding di 9 kawasan majoriti Iban dan 2 kawasan Orang Ulu.  PBDS adalah serpihan SNAP, sebagaimana SPDP. SPDP yang semakin kecil kuasa politik, setelah perpecahan yang melahirkan serpihannya, Teras, cuma diberi 5 kawasan berbanding 8 dalam PRN10. SPDP tumpu ke kawasan Bumiputera bukan Islam: 3 kawasan Iban, satu Bidayuh dan satu Orang Ulu. Serpihannya, Teras,  yang bertanding sebagai calon langsung BN lebih terbuka dengan diberi agihan kawasan yang berbagai: masing-masing satu kawasan Iban, Bidayuh, Kadayan dan Cina, di samping 2 kawasan majoriti Orang Hulu. Percubaan Teras walaupun sebagai calon langsung, lebih mendekati kepelbagaian kaum dan agama serta penempatan, merangkumi semua 3 kelompok besar: Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina. 

SUPP yang senasib dengan SPDP, menerima kekurangan peruntukan kawasan ditandingi ekoran muncul serpihannya, UPP yang bertanding sebagai calon lansung BN. SUPP, parti yang paling kukuh sejak ditubuhkan 1959 dan sumbangan utama suara masyarakat Cina dan mendapat dokongan mantap dari masyarakat Cina dan Bidayuh, cuma menang 6 kerusi dari 19 kawasan yang ditandinginya dalam PRN10. Dalam DUN penggal lepas, kerusinya tinggal 2 sahaja setelah 4 ADUNnya sertai parti serpihan. Dalam PRN11, bertanding di 12 kawasan majoriti Cina dan satu kawasan Iban (Simanggang yang mempunyai 30% pengundi Cina). Serpihanya, UPP diberi 7 kawasan: 3 kawasan Cina, 3 kawasan Bidayuh dan satu kawasan Iban. 

DAP, parti nasional pertama melebarkan sayap ke Sarawak sejak awal 1980an yang berfokus kepada kawasan bandar, rata-rata dapat sokongan dari masyarakat pemilih Cina, dalam PRN11, meletakkan calon-calonnya di kawasan luar bandar dan pengundi dari etnik lain. Kalau dalam PRN10, DAP bertanding di 15 kawasan termasuk satu kawasan majoriti Iban (Simanggang) dan majoriti Melayu (Bukit Kota) dengan jumlah pemilih Cina lebih 30%, dan menang 12 kerusi, semuanya di kawasan majoriti Cina. Kali ini DAP membarisi: 16 calon di kawasan majoriti Cina, 8 kawasan majoriti Iban, 4 kawasan Bidayuh, 2 kawasan Orang Ulu dan satu di kawasan majoriti Melayu. DAP membuat percubaan meletakkan calon Melayu di kawasan Cina dan calon Cina di kawasan Melayu. 

PKR meneruskan agendanya sebagaimana beberapa PRN lepas dengan menandingi berbagai latar belakang kawasan dengan berbagai kolompak etnik yang berbeza. Taburan calon PKR; 8 di kawasan majoriti Melayu, 4 kawasan majoriti Melanau, 2 kawasan Kadayan, 14 kawasan Iban, 5 kawasan Bidayuh, 5 kawasan Orang Ulu dan 2 kawasan majoriti Cina. Dalam PRN10, PKR meletakkan 49 calon dan menang 3 kerusi iaitu masing-masing satu kawasan majoriti Cina, Iban dan Orang Ulu.

Pas dalam PRN10 bertanding dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP menerusi kerjasama pilihan raya bertanding di 11 kawasan kali ini. Dalam PRN9, Pas hanya meletakkan seorang calon iaitu di Beting Maro, dalam PRN10, 5 kawasan majoriti Melayu dengan pencapaian terbaik di Beting Maro (46.4% undi).   Kali ini Pas bertanding di 11 kawasan secara bersendirian: 6 kawasan majoriti Melayu, satu kawasan Melanau, satu kawasan Kadayan, 2 kawasan majoriti Iban dan satu kawasan majoriti Cina. 

Tanpa persefahaman pilihan raya dengan mana-mana pihak memberi ruang kepada Pas mempromosikan kuasa ketiga yang diagendakan dalam politik nasional. Mempertaruhkan seorang calon bukan Islam di kawasan majoriti Iban (Kukus), calon Islam di kawasan Iban (Samalaju) dan calon Islam di kawasan majoriti Cina (Pujuk). Pujuk dengan lebih 65% pemilihnya berbangsa Cina dimenangi DAP dalam PRN lepas. Langkah Pas ini jauh lebih berani berbanding parti-parti lain, sebagai parti yang dianggap terlalu tertutup dengan ideologi perjuangannya. 

Parti Amanah Negara (Amanah) serpihan Pas, rakan kerjasama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan, meletakkan 13 calon. Amanah sebagai serpihan Pas, bertanding menandingi Pas di 5 kawasan majoriti Melayu. Di samping itu turut meletakkan calon di 4 kawasan majoriti Melayu dan 4 kawasan Melanau, yang tidak ditandingi Pas. Parti ini juga meletakkan 2 orang calon bukan Islam di kawasan majoriti Melayu.

Cabaran dari pembangkang tempatan yang diwakili oleh State Reform Party (STAR), sebuah parti yang sudah lama bertapak, PBDS Baru dan 36 orang calon bebas. STAR parti berbilang kaum, meletakkan seramai 11 orang calon bertanding fokus ke kawasan bandar dan Bidayuh di luar bandar. STAR tidak meletak calon di kawasan Melayu dan Iban. PBDS Baru dengan 3 dari 5 calonnya bertanding di kawasan Bidayuh dan bertanding di kawasan Bumiputera Islam. Parti-parti tempatan ini dijangka tidak memberi ancaman kepada BN atau parti-parti nasional.

Ada 5 perkara yang harus diberi perhatian demi merangka masa depan politik terutama politik nasional daripada PRN11 ini.

Pertama: Teras sebagai pecahan dari SPDP, dari segi taburan calon dan kawasan tumpuan lebih terbuka dan liberal berbanding parti asal. Tumpuan Teras ke arah membuka jendela kepelbagaian keturunan sebagai memenuhi realiti politik masa depan berbanding dengan SPDP yang berfokus kepada Bumiputera bukan Islam. 

Kedua: UPP pecahan dari SUPP, kekalahan besar SUPP dalam PRN10 adalah faktor utama. UPP meletakkan calon yang seimbang antara orang Cina dengan etnik lain, khususnya Bidayuh, berbanding SUPP masih bertumpu kepada pengundi Cina. 

Ketiga: DAP yang sejak dulu lebih dikenali sebagai parti untuk orang Cina dan kawasan-kawasan yang dimenangi sejak sekian lama adalah kawasan bandar, sinonimnya sokongan pengundi Cina. Langkah DAP menyerbarluas pengaruh meletakkan calon seimbang antara kawasan bandar dengan luar bandar khususnya kawasan Bumiputera bukan Islam, menuju ke arah tuntutan politik baru yang sedang menghakis rasisme dan perkauman.

Keempat: Pas menghadapi PRN11 dengan pendekatan baru, merentasi kaum dan pegangan agama, bukan lagi bertumpu kepada kawasan majoriti Bumiputera Islam semata-mata. Sejauhmana penerima pengundi bukan Islam bila Pas bertanding di kawasan padat dengan orang bukan Islam.

Kelima: Mampukah BN di bawah pimpinan baru, TS Adenam Satem memperbaiki rekod pencapaian yang sentiasa menjunam dalam tiga PRN terakhir. Mampukah BN mengatasi 55% undi popular dalam PRN10, yang direkodkan sebagai pencapaian terburuk BN di Sarawak, dengan sekatan kehadiran pemimpin-pemimpin utama pembangkang nasional serta sekatan menyentuh isu nasional dalam kempen pilihan raya ini.      

 

  



 

  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan