Jumaat, 5 Februari 2016

Kemelut MB Kedah

MASIH SAYANG UMNO

Kemelut jawatan Menteri Besar Kedah berakhir semalam dengan Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru. Kemelut MB Kedah bermula dua minggu lepas dalam usaha menyingkirkan Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Umum mengetahui usaha mempastikan Mukhriz meninggalkan kerusi MB dah lama kedengaran. Kelantangan Mukhriz mengkritik GST membawa kepada isu derma RM2.6 billion dan 1MDB, mempercepatkan usaha menyingkirkan beliau. 

Lantaran kegugatan kedudukan beberapa pemimpin kanan UMNO; TS Muhyiddin Mohd Yassin dan DS Shafie Apdal tahun lepas, ditambahan kritikan berterusan negarawan mantan PM, Tun Dr Mahathir terhadap kepimpinan UMNO, menjejaskan populariti dan moral PM terutamanya, antara faktor mendesak dan menonjolkan padangan melawan arus MB Kedah. 

Sungguhpun Mukhriz gagal dalam cubaan pertamanya merebut salah satu kerusi Naib Presiden UMNO. Beliau hampir menyingkirkan pemegang jawatan Datuk Hishamuddin Tun Hussien. Mukhriz dapat 93 undi bahagian atau undi electoral college dan 57,189 undi perwakilan berbanding Hishamuddin yang perolehi 101 undi bahagian dan 56,604 undi perwakilan.   Justeru pemilihan perjawatan dalam UMNO berasaskan kepada sistem electoral college yang sebahagiannya amalan demokrasi Amerika Syarikat, Hishamuddin mengatasi Mukhriz. 

Electoral college mengagihkan mata undi berbeza mengikut saiz pengundi dalam sesuatu kawasan, kawasan yang ramai pemilih diberi mata lebih besar berbanding sebaliknya. Sistem amalan UMNO, meletakkan mata sama walaupun bilangan pemilih atau anggota yang tak setara. Jika calon A menguasai undi popular di Bahagian UMNO kurang ahli, maka undi satu undi bahagian berkenaan akan diberikan kepada beliau, sebaliknya calon B menang undi popular di Bahagian UMNO yang ahli ramai, juga mendapat satu undi bahagian. 

 Ikut roh demokrasi berasaskan prinsip satu orang satu undi, amalan undi popular yang memberi ruang kepada semua orang atau setiap ahli dalam sesebuah organisasi, Mukhriz adalah berhak dianggap sebagai calon pilihan ramai. Ada negara yang amalkan sistem ini, juga dalam pemilihan jawatan dalam organisasi dan parti politik di Malaysia. Secara langsung, setiap pemilih atau setiap ahli terlibat dalam pemilihan pemimpin mereka.

Kedah adalah antara negeri yang paling kerap bertukar kepala atau ketua kerajaan semenjak Merdeka. Sejak Merdeka, Kedah sudah memiliki 8 orang Menteri Besar (tidak termasuk MB baru yang dilantik semalam). Sepatutnya MB bertukar selepas pembentukan kerajaan baru atau selesai pilihan raya umum. Dato' Syed Omar Abdullah Shahabuddin, ADUN Baling Barat,  memulakan tugasan MB selepas PRU 1959 bila UMNO mengetuai Perikatan memenangi pilihan raya pertama itu. Beliau dilantik semula selepas Perikatan mempertahankan kerajaan dalam PRU 1964. Beliau tidak sempat menghabiskan penggal DUN Kedua, beliau meninggal dunia pada 7/12/1967.

Exco Kanan, Dato' Syed Ahmad Mahmud Shahabuddin mengambil alih jawatan MB sehingga PRU 1969. Sungguhpun Syed Ahmad gagal mempertahankan legasi Perikatan menjadikan Kedah kubu kuat UMNO dengan kemenangan cemerlangan manafikan kemunculan pembangkang dalam DUN dalam 2 PRU terawal, di mana dalam PRU 1969, Perikatan hilang 10 kerusi DUN kepada Pas dan Gerakan dan gagal menguasai majoriti dua pertiga, Syed Ahmad diberi tugas meneruskan mengetuai kerajaan Perikatan.  

Syed Ahmad mengetuai BN Kedah yang dianggotai UMNO, Pas, MCA, MIC dan Gerakan dalam PRU 1974, dengan menang cemerlang cuma kalah dua kerusi DUN kepada DAP di Alor Star dan calon bebas di Baling. Dalam PRU 1978, beliau tidak bertanding kerusi DUN dan bertanding untuk kerusi Parlimen. 

Dato' Syed Nahar Syed Seth Shahabuddin mengambil alih jawatan MB selepas PRU 1978. Beliau juga berjaya mempertahankan kerajaan pimpinannya dalam PRU 1982. Syed Nahar meletak jawatan pada 24/01/1985, setelah kekecohan isu "Manalito Montoya", yang cukup popular masa itu. Tersebar luas video tape peristiwa di kelam malam itu, memaksa beliau berundur demi maruah keluarga dan parti. Tambahan pula, beliau dari keluarga di raja. 

TS Osman Aroff, ADUN Jitra, pemimpin kanan UMNO mengambil alih jawatan MB. Beliau memimpin parti menguasai PRU 1986, PRU 1990 dan PRU 1995. Beliau meletak jawatan dan menyaman dakwaan Syed Mansor bin Syed Salim berhubung beberapa isu rasuah dalam beberapa projek kerajaan negeri. Antara isu popular masa itu ialah projek ladang udang di Kerpan. Parti meminta beliau berundur. Awalnya Osman mendapat sokongan majoriti ADUN BN mempertahankan jawatan, dan ADUN UMNO sepakat menolak ADUN Kuah TS Sanusi Junid sebagai MB baru. Akhirnya akur kepada kepimpinan parti, jawatan MB diserahkan kepada TS Sanusi Junid pada 16/6/1996. 

Sanusi Junid selaku MB ditolak dalam kepimpinan UMNO Bahagian Langkawi dan hanya dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira sahaja.   PRU 1999 mencatat sejarah terburuk BN khususnya UMNO bila hilang 6 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN. Sungguhpun Sanusi berjaya pertahan kerusi Kuah, tetapi kerusi MB dialihkan kepada Dato' Syed Abdul Razak Syed Zain Barakhbah, ADUN Kubang Rotan. 

Atas alasan kesihatan, Syed Razak mengundurkan diri dari jawatan MB dalam tahun 2005. ADUN Pedu, bekas pegawai kanan PM Tun Abdullah Badawi, Dato' Mahadzir Khalid dilantik sebagai MB baru. Hayat jawatan Mahadzir tidak lama bila BN kalah dalam PRU 2008. 

TS Azizan Abdul Razak adalah MB bukan UMNO pertama di Kedah. Kekalahan BN memberi ruang Azizan mengetuai pakatan Pas bersama PKR dan DAP membentuk kerajaan selepas PRU 2008. Hayat kerajaan pakatan 3 parti atau disebut "Kerajaan Pembangkang" oleh UMNO yang gila talak, tidak panjang, cuma bertahan sepenggal sahaja. PRU 2013, BN berjaya merampas kerajaan negeri Kedah bila dapat menambahkan dari 14 kerusi ke 21 kerusi, meninggalkan pakatan parti-parti pembangkang menurun dari 22 ke 15 kerusi DUN. 

Mantan Ahli Parlimen Jerlun dan seorang Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, Datuk Mukhriz Mahathir, yang sengaja diturunkan dari kerusi ke kerusi DUN Air Hitam, untuk membolehkan beliau jadi MB andainya BN menang. Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Bashah, walaupun seorang ADUN dilantik Senator untuk membolehkan dilantik Timbalan Menteri, sebagai tukaran jawatan MB. Lazimnya Ketua Perhubungan Negeri dilantik MB, kecuali beliau tidak bertanding peringkat DUN. Ahmad Bashah diturunkan sebagai Timbalan Ketua Perhubungan.

Awal-awal lagi sudah ada tanda-tanda yang memungkinkan menjurus kepada krisis keyakinan dan kepercayaan di kalangan kepimpinan negeri. Usaha menolak Mukhriz sebagai MB merangkap Ketua Perhubungan baru dapat dikesan sejak 3 tahun lalu. Tambahan dengan perkembangan-perkembangan dalam UMNO tahun lepas, telah mempercepatkan usaha meminggirkan Mukhriz. 

Kemelut berakhir dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah mendapatkan mandat mempastikan tahap sokongan ADUN kepada MB. Justeru pertemuan pertama, 19 dari 21 ADUN BN menyatakan ketidakpercayaan kepada MB dan angka itu sudah dikira sokongan majoriti dari jumlah jumlah 36 ADUN. Ekoran 2 ADUN UMNO dikatakan menyebelahi puak Mukhriz, menjadikan baki 17 ADUN BN sahaja yang hendak tukar MB, iaitu bukan suara majoriti. Lantaran itu, Jemaah Pemangku Raja memanggil 15 ADUN pembangkang untuk nyatakan pendirian. Akhirnya 2 ADUN UMNO yang dikatakan berpaling tadah balik semula ke kelompok asal menjadikan 19 ADUN yang mahukan MB baru. 

Tindakan 2 ADUN UMNO yang juga Exco, yang bersama 4 EXCO termasuk Mukhriz yang hadir mesyuarat mingguan EXCO dua minggu lepas, yang menerima berbagai reaksi kritikan khususnya dari parti dan orang awam, balik semula beri sokongan kumpulan 17 untuk dapat majoriti mudah.   

Kemelut MB Kedah kali ini secara langsung menguji doktrin politik matang  kepimpinan  wanita. 2 orang Exco iaitu Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Nur Sabrina Mohd Noor bersama seorang lagi Exco, Datuk Aminuddin Omar hadir dalam mesyuarat Exco bersama MB Mukhriz, dengan membelakangkan rakan-rakan yang lain yang menandatangani surat akuan menolak kepimpinan Mukhriz. Aminuddin adalah satu-satunya YB yang tidak terlibat menandatangani akaun tersebut. 

Kegagalan Ahli Exco hadiri mesyuarat rasmi mingguan tanpa sebab adalah tidak menghormati dan mengkhianati amanah Baginda Sultan yang melantik mereka memegang tanggungjawab. Tindakan 2 Exco wanita berkenaan hadir mesyuarat dan tandatangani akuan bersumpah, yang menimbulkan tandatanya pendirian mereka. Akibatnya Jemaah Pemangku Sultan Kedah terpaksa memanggil YB pembangkang untuk mencari pendirian majoriti ADUN dalam mempastikan seorang MB mendapat sokongan majoriti.

Tindakan 2 YB Exco berkenaan bagi UMNO yang berkecamuk dengan krisis kepimpinan peringkat pusat, satu tindakan hidup mati. Kemungkinan satu undi tidak percaya akan dibawa ke sidang DUN, berkemungkinan juga DUN akan dibubar. Kemelut dalam UMNO hari ini tidak mengizinkan berlakunya pembubaran DUN dan satu pilihan raya perlu dipanggil atau jalan mudah untuk selamatkan UMNO; istihar darurat. Situasi ekonomi yang merudum hari ini, akan menambahkan parahnya parti dan kerajaan.

Gembar gembur Pas akan sertai UMNO dalam kerajaan perpaduan (UG), amat meleset dengan kemelut Kedah. Umum menunggu dan memerhati apa peranan Pas, khususnya 9 ADUNnya, sama ada menyelamatkan kerajaan Kedah di bawah kepimpinan UMNO, atau turut membantu meranapkan UMNO menerusi pembubaran DUN. Pendokong dan propagandis agenda Pas bekerjasama UMNO, amat kecewa seandainya Pas menyokong masalah MB Kedah di bawah untuk pengadilan rakyat. 

Dengan berjayanya usaha singkir Mukhriz, kemelut ini gagal menempatkan dan memperkukuhkan agenda Pas bersama UMNO yang semakin luntur dan semakin reda. Kemelut MB Kedah sedikit sebanyak dapat membaca dan menjawab beberapa soalan mengenai kemelut politik nasional khususnya UMNO selaku peneraju dan penentu segala masalah. 


  



   

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan