Rabu, 24 Februari 2016

UMNO Kedah

MENUNGGU UMNO KEDAH MENGURUS KONFLIK

Sejauhmanakah krisis UMNO Kedah bermula dengan usaha menyingkirkan Menteri Besar secara langsung menukar kepimpinan parti sehinggalah angkat sumpah Jemaah Exco baru semalam, dapat meredakan konflik dan menenangkan kekecohan. Tempoh yang agak lama juga, hampir tiga minggu antara Menteri Besar baru angkat sumpah dengan pembentukan kabinet negeri, sudah menunjukkan krisis berpanjangan. Kebiasaannya kabinet dibentuk sama ada peringkat Persekutuan atau negeri, dalam tempoh terdekat selepas ketua kerajaan terima perlantikan rasmi.

Kemelut Menteri Besar Kedah tidak selesai setelah MB baru mengangkat sumpah terima dan kemudiannya dilantik mengetuai UMNO Kedah.  Beberapa peristiwa walaupun kecil di awal  penyingkiran Datuk Mukhriz Mahathir seolah menggambarkan ledakan merintis kepada bukan sekadar krisis dalaman, malah boleh membawa kepada penglibatan khalayak masyarakat awam. Maksudnya menzahirkan cetusan konflik dan tanggapan negatif umum terhadap kepimpinan baru kerajaan negeri.

Pemasangan bendera lambang dacing secara terbalik di laluan utama di Jitra, walaupun pihak lain menurunkan pada hari yang sama, pemasangan bendera parti  megah berkibar di beberapa premis sahaja, antaranya Pusat Khidmat ADUN Bakar Batu dan Pejabat Perhubungan UMNO negeri, memberikan persepsi kurang elok rakyat terbanyak. Biasanya bila berlaku perlantikan dan pertukaran baru MB atau PM, disambutkan hebat dengan kibaran bendera secara meriah menandakan rakyat bersyukur dan bermegah menerima kepimpinan baru. Rakyat dan penyokong parti khususnya mengalu-alukan pertukaran pemimpin. 

Percaturan bermula, bila seorang Ketua Pemuda UMNO cawangan dalam bahagian Jerlun letak jawatan dan serentak istihar masuk Pas. Itu sekadar sebuah berita dari media cetak nasional, berapa ramai pula yang akan ambil kesempatan mencabar UMNO khususnya kepimpinan negeri, sama-samalah kita tunggu episod seterusnya. 

UMNO Kedah berpengalaman berdepan beberapa krisis yang membawa kepada pertukaran kepimpinan negeri. Pertukaran MB kali ini disambut dengan protes walaupun berskala kecil, tetapi sudah cukup menggambarkan UMNO Kedah sedang bermasalah. Masalah yang dihadapi Kedah yang pernah mengalami kejatuhan sebuah kerajaan buat julong kalinya dalam PRU12 (PRU 2008), walaupun pulih dalam tempoh pendek, satu penggal sahaja, berjaya merebut kembali kuasa, yang mengembalikan reputasi menyakinkan rakyat. 

Krisis UMNO paling parah ialah lanjutan persaingan kepimpinan pusat 1987, yang menyaksikan perpecahan parti membawa kepada kehilangan kuasa sebuah kerajaan dan kejatuhan prestasi UMNO di beberapa negeri, dalam beberapa pilihan raya kecil 1988-1989 dan berakhir dengan PRU8 (PRU 1990). Di Kedah, prestasi UMNO bertahan, tidak sebagaimana di negeri-negeri majoriti Melayu di kawasan Pantai Timur, walaupun sebahagian ahli UMNO menyertai serpihan;  Parti Melayu Semangat 46. 

Di kerusi Parlimen Kubang Pasu, dalam PRU7 (PRU 1986), DS Dr Mahathir memperolehi 25,452 undi berbanding calon Pas, 10,154 undi membolehkan Dr Mahathir mempertahankan kerusi dengan majoriti 15,298 undi. Dalam PRU8, undi Dr Mahathir meningkat kepada 30,681 undi, sementara undi calon Semangat 46 yang diwakili pemimpin Hamim, Dato' Sudin Wahab yang perolehi cuma 8,619 undi, memberikan Dr Mahathir menang dengan majoriti lebih besar 22,062 undi. Undi Dr Mahathir meningkat sebanyak 20.54% , sementara undi calon Semangat 46 merosot sebanyak 15.11% berbanding undi calon Pas dalam PRU7. Sepatutnya dengan perpecahan UMNO, undi calon BN yang diwakili Dr Mahathir merosot dan memberikan calon gabungan Angkatan Perpeduan Ummah (APU) yang mewakili Pas dan Semangat 46 di samping parti kecil; Berjasa dan Hamim, akan meningkat berbanding undi Pas semasa bersendirian dalam PRU7.

Pemimpin Semangat 46 Kedah, Dato' Zainal Abidin Johari gagal pertahan kerusi di Parlimen Sik, lantaran kerjasama Pas-Semangat 46 tidak berkesan. Semasa beliau menang beli bertanding atas tiket BN dalam PRU7, beliau perolehi 18,741 undi berbanding 11,310 undi calon Pas. Beliau menang dengan 7,431 undi. Bila beliau bertanding atas nama Semangat 46 dalam PRU8, beliau cuma dapat 12,719 undi, 8,329 undi di belakang calon BN yang menang bila perolehi 21,048 undi. Hasil kerjasama serpihan UMNO dengan Pas, undi beliau cuma bertambah 1,409 undi sahaja berbanding undi calon Pas dalam PRU7. Malah calon BN menang lebih besar, berbanding kemenangan beliau masa menang atas tiket BN dalam PRU7. 

Di Parlimen Pendang, kubu Pas paling kuat di Kedah, undi Pas cuma bertambah sebanyak 1,453 undi sahaja atau 9.14%, dari 15,896 undi dalam PRU7 kepada 17,349 undi dalam PRU8. Sebaliknya, undi BN meningkat lebih tinggi walaupun UMNO berpecah, dari  16,886 undi kepada 20,554 undi atau 21.72%. Dalam PRU7, BN cuma menang 900 undi sahaja berbanding 3,205 undi dalam PRU8, sungguhpun Pas meletakkan Presidennya, Dato' Fadzil Noor.

Berbanding dengan apa yang berlaku di Kelantan. Di Parlimen Kota Bharu, pemimpin kanan UMNO dan menteri Persekutuan, Tengku Ahmad Rithaudeen, menang dengan majoriti 5,033 undi, setelah perolehi 20,310 undi dalam PRU7 berbanding undi calon Pas; 15,277 undi, merupakan kemenangan kali ke 5 berturut-turut. Parlimen Kota Bharu dikira sebagai kawasan selamat untuk UMNO/BN. Dalam PRU8, beliau cuma mampu pungut 12,106 undi sahaja atau kejatuhan sebanyak 43.39%. Lawannya calon Semangat 46 mewakili APU perolehi 27,566 undi atau peningkatan sebanyak 80.44%, daripada undi diperolehi calon Pas dalam PRU7. 

Parlimen Pengkalan Chepa, kubu Pas dan kerusi tunggal dimenangi Pas dalam PRU7, dengan kerjasama bersama Semangat 46 telah menggandakan undi Pas. Dalam PRU7, calon Pas perolehi 17,501 undi, meningkat sebanyak 56.11% kepada 27,321 undi. Ustaz Abdullah Arshad menang dengan majoriti 4,175 undi dalam PRU7 mengatasi calon BN, berbanding majoriti 17,447 undi dalam PRU8 mengalahkan calon BN, Mohd Apandi Ali (Peguam Negara kini). Undi BN turun sebanyak 25.87% dari 13,326 kepada 9,878 undi. 

Di Parlimen Gua Musang, Presiden Semangat 46 dan bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah memperolehi undi sebanyak 18,973 undi dalam PRU8, meningkat sebanyak 263.52% daripada 5,219 undi dicapai oleh calon Pas dalam PRU7. Undi BN yang dulunya semasa ditandingi Tengku Razaleigh, sebanyak 12,538 turun sebanyak 54.34% kepada cuma 5,724 undi sahaja. Kesan yang jelas bila undi serpihan UMNO dicampur undi rakan dalam APU, memberikan kemenangan lebih besar kepada Semangat 46. 

Di Terengganu, walaupun prestasi gabungan serpihan UMNO dan Pas tidak menunjukkan kesan besar sebagaimana di Kelantan, namun berjaya meningkatkan undi menentang UMNO atau BN. Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Marang terlepas ke tangan Semangat 46 dan Pas. 

Sungguhpun undi BN meningkat tetapi kadar peningkatan undi gabungan Semangat 46-Pas lebih besar, menyebabkan undi majoriti kerusi dimenangi BN semakin mengecut, di Parlimen Besut, BN menang dengan 4,953 undi dalam PRU7, menurun ke 904 undi sahaja dalam PRU8, bila undi BN cuma meningkat sebanyak 5.9% sahaja berbanding peningkatan 43.7% undi pakatan pembangkang.  Di Parlimen Kuala Nerus, undi BN cuma meningkat 9.75% sahaja berbanding undi menentang BN yang naik sebanyak 61.24%, dalam dua PRU tersebut. Dato' Zakaria Ab Rahman dan Ibrahim Azmi Hassan bertanding sebagai calon BN dalam PRU7 di kerusi berkenaan dan bertanding sebagai calon Semangat 46 dalam PRU8.

Di Perak, contohnya di Parlimen Bagan Serai, undi BN merosot dari 16,508 undi dalam PRU7 kepada 14,824 undi dalam PRU8, atau penurunan 1,684 undi atau 10.2%, yang mengayung ke undi menentang BN, membolehkan calon Semangat 46 meningkatkan undi sebanyak 23.8%. Di Parlimen Padang Rengas, berlaku kemerosotan undi BN, berbanding peningkatan sokongan kepada calon pembangkang yang diwakili Semangat 46. Dato' Zainal Abidin Zain dan Dato' Saidin Mat Piah adalah calon BN di kedua-dua kerusi ini dalam PRU7 dan berpindah sebagai calon Semangat 46 dalam PRU8.

Di Negeri Sembilan,  undi BN merosot dengan kadar yang tinggi bila Dato' Rais Yatim, yang memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam PRU7 bertanding mewakili Semangat 46 di kawasan sama. dalam PRU8. Undi BN merosot sebanyak dari 16,137 undi ke 13,175 undi atau kejatuhan 18.35%, sementara undi menentang UMNO meningkat dari undi calon Pas dalam PRU7, 4,705 undi ke 12,780 undi diperolehi Dato' Rais atau pertambahan 171.6%. 

PRU8 yang merupakan ujian kepada UMNO pasca pemilihan kepimpinan 1987 menyaksikan UMNO Kedah tidak terjejas berbanding dengan negeri-negeri lain. Di negeri lain, sama ada berlaku swinging undi UMNO yang tinggi ke pembangkang yang turut dianggotai serpihan UMNO atau pertambahan undi BN lebih kecil berbanding pertambahan undi pembangkang. Di Kedah, undi UMNO bertambah dengan kadar yang lebih tinggi berbanding pembangkang. UMNO Kedah terus kukuh secara langsung berdiri teguh di belakang Dr Mahathir, berbanding keretakan di negeri-negeri lain.

Jika dilihat kepada pencapaian di peringkat DUN, dalam PRU7, UMNO kalah 3 kerusi kepada Pas: Langgar, Bukit Raya dan Sala, tetapi dalam PRU8, Pas cuma menang di Bukit Raya sahaja, dengan majoriti berkurangan. Kerjasama serpihan UMNO dengan Pas dalam APU tidak berkesan langsung. Di Kelantan, BN kalah semua kerusi Dun dalam PRU8, berbanding memenangi 26 dari jumlah 36 kerusi Dun dalam PRU7. Di Terengganu, dalam PRU7, BN cuma kalah di 2 kerusi Dun sahaja, tetapi kalah 10 kerusi Dun dalam PRU8. 

Gambaran di atas meletakkan pemilih di Kedah mempunyai pendirian dan sikap tersendiri, terasing dari arus politik perdana. Kemunculan serpihan UMNO yang sepatutnya menambahkan kekuatan dan prestasi Pas, tetapi serpihan UMNO gagal memberi impaks menerusi politik kepilihanrayaan atau menerusi undi protes terhadap UMNO dan BN.

Apakah kemelut UMNO Kedah semasa masih bertahan dengan legasi Dr Mahathir. Jika masa pertembungan Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh, pengaruh dan kekuatan UMNO tidak tergugat di Kedah.  Krisis Dr Mahathir-Anwar Ibrahim, sudah menampakkan pemilih di Kedah beralih arah kepada bersama arus politik nasional. Kehilangan 9 kerusi Parlimen kawasan majoriti Melayu dalam PRU10 (PRU 1999) mempamirkan pengaruh Dr Mahathir serta sentimen kenegerian  yang mula mengendur. Tanpa Dr Mahathir, UMNO hilang kerajaan dalam PRU12 (PRU 2008). Secara langsung pengaruh, sokongan dan legasi Dr Mahathir semakin surut. 

Usaha mengembalikan pengaruh dan keterlibatan Dr Mahathir sebagai perencana UMNO, direalisasikan dengan kejayaan meletakkan Datuk Mukhriz di pentas utama dalam UMNO Kedah. Sejauhmanakah pula, penyingkiran Mukhriz meletakkan lanskap UMNO Kedah. Kemampuan barisan kepimpinan baru parti dan kerajaan Kedah akan diuji berasaskan keupayaan mengatasi kelemahan yang dilontarkan untuk menyingkirkan Mukhriz tempoh hari. 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan