Sabtu, 30 Januari 2016

PRN Sarawak 1

SARAWAK MENCABAR KERAJAAN PUSAT

Ketua Menteri Sarawak, TS Adenan Satem semalam membuat satu pengumuman dalam bentuk cadangan Pilihan Raya Negeri ke 11 diadakan pada 30 April 2016 dan penamaan calon 18 April 2016. Sungguhpun pengumuman tersebut sudah dijangkakan lantaran tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak ke 10, akan terbubar dengan sendirinya pertengahan tahun ini, menariknya TS Adenan yang baru mengambil alih mengepalai kerajaan tahun lepas membuat satu kejutan. Kejutan kerana lazimnya tarikh pilihan raya di Malaysia sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri, pengumuman tarikh pilihan raya dibuat secara mengejut atau dalam tempoh yang dekat. 

TS Adenan melakukan satu tindakan luar kelaziman atau amalan demokrasi berparlimen ala Malaysia di mana tarikh pilihan raya disembunyikan dari pengetahuan awam sebagai satu taktik mengkucar-kacirkan persiapan pihak parti lawan. Lazimnya amalan seperti cerita "the rat and the cat", pemangsa intai cari peluang manakala mangsa cuba elak dapat dikesan. Parti pemerintah yang dikepalai UMNO cari peluang terbaik untuk bubar dewan perundangan, di masa pihak lawan leka.
 
Zaman Tunku dan zaman Tun Razak, tempoh berkempen yang panjang memberi ruang dan keadilan kepada semua pihak membuat persiapkan. Contohnya, dalam PRU 1969, dewan-dewan perundangan negeri  dan Dewan Rakyat dibubarkan dalam bulan Mac dan hari mengundi pada 10 Mei.  Tempoh berkempen 40 hari, berbanding 11 atau 12 hari sejak beberapa PRU terakhir. 

Justeru Parti Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengepalai Barisan Nasional di Sarawak, keputusan diambil TS Adenan mengatasi kerajaan pusat yang dikepalai UMNO dari sudut ketelusan dan keterbukaan. Walaupun beberapa negeri dikuasai oleh parti lawan, keputusan membubar dewan perundangan negeri adalah menurut atau selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, untuk mengelakkan pilihan raya berasingan.  

Dua hari lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi pengerusinya DS Mohd Hashim Abdullah berkata SPR mungkin mengurangkan peruntukan  RM181 juta  untuk PRN Sarawak sebanyak 10 hingga 15 peratus susulan pengubahsuaian bajet 2016. Hari ini, kecuali Sarawak, semua negeri mengadakan pilihan raya serentak DUN dan Dewan Rakyat. Dalam 3 PRU terakhir, pilihan raya untuk DUN Sabah diserentakkan dengan Dewan Rakyat, demi mengelakkan SPR berbelanja berganda untuk mengadakan pilihan raya berasingan.

Keberanian dan kejantanan PBB sebagai parti tulang belakang BN Sarawak mencabar UMNO yang mengetuai BN di peringkat Persekutuan. Bermula PRU 1978, dewan perundangan negeri dan Persekutuan tidak merapati tempoh badan perundangan tersebut iaitu 5 tahun, peruntukan Perlembagaan. Biasanya pembubaran Parlimen dibuat dengan mengejut justeru tempohnya belum masuk tahun kelima. Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan menyebut; Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari mesyuarat pertamanya dan selepas itu terbubar. 

Sungguhpun DUN Sarawak belum diputuskan bila hendak dibubar untuk dimaklumkan kepada SPR untuk menguruskan pilihan raya. Teorinya SPR menentukan tarikh keluar writ pilihan raya, hari penamaaan calon dan tarikh pengundian, amalan tersiratnya semuanya diputuskan oleh penguasa yang meneraju kerajaan.  

Justeru Sarawak dikuasai oleh PBB, langkah mengumumkan cadangan tarikh pilihan raya lebih menampakkan kejujuran seorang pemimpin, yang tidak berpaut kepada tektik-tektik kotor menguasai pengundi. Ianya membuka mata kepada kepimpinan pusat khususnya yang dikuasai UMNO, jujur dan telus dalam amalan demokrasi. 

Sungguhpun tempoh berkempen yang pendek sebagaimana beberapa PRN dan PRU lepas, tetapi keberanian memberikan tarikh pilihan raya adalah sangat terpuji mengikut landasan demokrasi. PRN Sarawak ke 9 (2006), DUN dibubar pada 24/4/2006, penamaan calon 9/5/2006 dan mengundi 20/5/2006,  PRN 10 (2011) pembubaran DUN 23/3/2011, penamaan calon 6/4/2011 dan hari pengundian 16/4/2011. Pemakluman awal 3 bulan tarikh pilihan raya di tahun tahun terakhir tempoh DUN, sudah membuka satu lambaran baru memakmurkan demokrasi, ketelusan berpolitik dan kejujuran seorang pemimpin. 

Tambahan pula, dengan pertambahan 11 kerusi baru dalam persempadanan baru, yang biasanya memberi kelebihan kepada pihak parti pemerintah. Masakan tidak, peranan parti memerintah menonjol dalam bentuk persempadanan yang berpandukan kepada kekuatan dan kelebihan parti. TS Adenan cukup berani memberikan cadangan dengan sokongan persempadanan kawasan pilihan raya yang baru diluluskan.



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan