Sabtu, 23 Januari 2016

Ulasan Buku: Nasib Pas, Amanah & Najib dlm PRU14

ULASAN BUKU MSO: NASIB PAS, AMANAH & NAJIB DALAM PRU KE 14

Buku terbaru tulisan Mohd Sayuti Omar; NASIB PAS, AMANAH & NAJIB DALAM PRU KE 14, yang diterbitkan November 2015, adalah karya terbaru beliau. Buku yang dipaparkan dalam 331 halaman adalah sebuah perbicaraan menarik isu politik tanah air semasa yang didominasi oleh perkembangan serta lingkaran isu dalaman dua parti utama: Pas dan UMNO. 

Buku ini adalah buku ketiga terbitan anak kampung Gual Nibong, Rantau Panjang, selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah (terbitan September 2014) dan Tok Guru Dalam Mataku (Mei 2015), tidak kurang menarik dari sudut isu dan kupasan berbanding tulisan-tulisan beliau, yang saya mula ikuti sejak zaman Reformasi 1998.

Lebih menarik, buku ini sebagaimana hasil tulisan penulis dalam  puluhan buku beliau mengulas politik tanah air sebelum ini, menonjolkan keberanian, kepertanggungjawaban dan kejujuran penulis melontarkan idea untuk tatapan khalayak awam. Sungguhpun bahagian besar tulisan beliau sudahpun ditatap masyarakat lebih awal, daripada tulisan-tulisan beliau dalam blognya antara April hingga September 2015, namun cantuman rumusan beliau ini mampu memberi hidangan kupasan yang segar dan relevan sepanjang masa. 

Penulis mengolah kemelut dan perkembangan dua parti besar tersebut dengan memuatkan ulasan dalam 4 bab atau bahagian. 4 bab tersebut difokuskan kepada; kemelut dalaman Pas, peranan dan harapan Amanah, krisis keyakinan kepimpinan UMNO, dan ancaman dan cabaran di depan Pas. 

Dalam bab pertama, penulis menggodam habisan proses pemilihan kepimpinan tertinggi Pas dan peristiwa selepas muktamar, yang menggambarkan watak terbaru Pas. Penulis membuat kesimpulan pola pengundian pemilihan: jawatankuasa agung pusat dan ketiga-tiga dewan: pemuda, muslimat dan ulamak, sudah dirancang dengan sokongan corak pemilihan "cai". Perwakilan mengundi berpandukan senarai berbentuk kepuakan yang diedarkan sebagai panduan memangkah pilihan calon. 

Pas diwarnai dengan pertentangan dua kelompok; satu mahu kekal Pas memperjuangkan nilai-nilai Islam dan satu satu lagi disebut sebagai moden dan praktis memperjuangkan asas-asas politik realiti (halaman 21 dan 22). Dua pendekatan ini yang memisahkan dan mencorakkan bentuk pemilihan kepimpinan, menghasilkan kepimpinan dari satu aliran pemikiran, seolah-olah pemilihan bersandarkan senarai yang dicadangkan. Kumpulan yang mahu mengekalkan parti meneruskan perjuangan sedia ada menguasai jawatankuasa pusat dan ketiga-tiga dewan. 

Penulis lebih menumpukan kepada persaingan dua grup tersebut semasa dan selepas muktamar, dengan mempersoalkan rasionaliti perwakilan membuat pemilihan dan keputusan.  Masyarakat pembaca didedahkan sejauhmanakah kemampuan kumpulan agama yang menguasai jawatankuasa tertinggi bersama dewan pemuda dan muslimat membawa parti menuju ke PRU14. Peminggiran golongan profesional dan liberal yang sama-sama merangka strategi Pas membuahkan hasil dalam konteks politik baru yang berasaskan senario dan tuntutan realiti semasa. 

Penulis tidak memaparkan senario sebelum muktamar atau dalam tempoh Pas mengadakan mesyuarat agung peringkat cawangan dan kawasan seluruh negara. Penolakan akar umbi tokoh-tokoh parti dari kelompok profesional dan liberal sudah jelas memberikan gambaran awal, penolakan golongan tersebut bermula dari bawah dan sudah dibayangkan kelompok ini akan ditolak dalam muktamar pusat. Kegagalan DS Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak) mempertahankan kepimpinan parti di kawasan Kampar, Dr Rani Othman (bekas Pesuruhjaya Selangor) di Kapar, Adly Zahari (Pesuruhjaya Melaka) di Alor Gajah, sekadar contoh

Peranan DAP campurtangan urusan pemilihan kepimpinan Pas (ms 37) walaupun kurang ditekankan oleh penulis, tetapi banyak memberi kredit kepada golongan agama. Seolah-olah usaha untuk menjatuhkan kepimpinan serta menentukan saf kepimpinan dimainkan oleh orang bukan Islam. Usaha yang menghasilkan sensitiviti ahli dan penyokong Pas ini, tidak membantu golongan profesional. 

Bab kedua mengulas pembentukan Gerakan Harapan Baru (GHB),  yang bolehlah dianggap sebagai wadah politik serpihan dari Pas, yang dilancarkan selepas muktamar Pas pusat. Penulis menggambarkan kewajaran penubuhan wadah baru ini, sebagai landasan bagi golongan profesional dan liberal. Ulasan penulis lebih berkeyakinan GHB yang berakhir dengan pembentukan sebuah parti politik, Parti Amanah Negara (Amanah), menjadi satu harapan baru mengambil tempat Pas, yang ditafsirkan menuju ke arah mendekati UMNO. 

Sambutan awal majlis-majlis rapat perdana GHB, bermula di Bakri, Johor, kemudiannya di Kota Bharu,  digambarkan sebagai satu permulaan yang baik, memulakan gerakan menyamarakkan agenda utama sebagai sebuah parti serpihan. Sungguhpun penulis tidak mengambil pengalaman kejayaan dan kegagalan parti-parti serpihan, penulis berjaya mengheret pembaca mengenali harapan dan cita-cita politik Amanah, atau dengan lain perkataan memain peranan membantu mempromosikan wadah baru ini.

Bab tiga pula, mengajak pembaca mengikuti percaturan yang memcetus kepada krisis keyakinan dalam kepimpinan UMNO. Peranan TS Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu-isu besar nasional terutama isu 1MDB dan derma RM2.6 billion meletakkan UMNO melalui jalan-jalan sukar. Penulis menyebut 4 perkara yang menjadi asas teguran TS Muhyiddin selaku orang nombor dua: 1. beliau sudah menasihati DS Najib melepaskan jawatan, 2. bimbang UMNO akan kalah dalam PRU jika liabiliti 1MDB tidak diselesaikan, 3. mendesak DS Najib berterus terang, 4. TS Muhyiddin merasa tertekan dengan isu 1MDB sebagai pemimpin parti (halaman 175-176).

 Membaca bab khusus cabaran dihadapi DS Najib selaku pemimpin utama utama parti mengulangi cabaran dihadapi Tun Mahathir semasa menjawat Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun. 

Zaman Tun Mahathir krisis kepimpinan membawa kepada kebangkitan massa penyokong UMNO serta rakyat tidak berparti, melahirkan parti serpihan yang membantu merampas beberapa kerajaan negeri yang dikuasai BN. Zaman DS Najib belum nampak reaksi kepada kebangkitan rakyat sebagaimana krisis UMNO 1987/1988 dan 1998/1999. Kemuncak krisis kepimpinan diterjemahkan kepada Perhimpunan Agung Tahunan UMNO tahun lepas yang menyaksikan julong kalinya Timbalan Presiden tidak diberi peluang berucapa merasmikan mesyuarat agung sayap: pemuda, wanita dan puteri serta menggulung perbahasan di hari terakhir.  

Bab empat memuatkan beberapa isu menarik dengan mengumpulkan beberapa isu difokuskan kepada dalaman Pas dan faktor luaran iaitu hubungan Pas-DAP. Bab ini sekadar lampiran kepada pembicaraan serta kupasan situasi dalaman Pas dalam bab satu. 

Tulisan MSO menerusi bukunya yang ke 48 ini, lebih bersifat satu bacaan ringan sesuai untuk orang awam dengan pengolahan bersahaja dan non-akademik. Mudah difahami jalan penceritaan dan penggunaan istilah yang mudah difahami. Dari sudut menambah perbendaharaan pengetahuan am, MSO telah berjaya menyumbangkan masyarakat untuk celik maklumat, sensitif dan cakna isu semasa. 

Saya merasakan adalah lebih elok tulisan ini diterbitkan dalam dua buku berlainan: satu khusus mengenai pergolakan semasa dalam Pas serta kesan sampingannya terutama penubuhan Parti Amanah,  dan kedua, tulisan khusus krisis keyakinan dalam UMNO, sebagaimana tulisan-tulisan beliau sebelum ini. Rasionalnya, bab tiga tiada kaitan dengan bab lain, yang menggambarkan buku ini, lebih kepada isu-isu panas sepanjang tahun.  

  

  

 




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan