Selasa, 22 Disember 2015

UMNO mempelawa Pas

HUBUNGAN UMNO-PAS; ANTARA MENASIHAT DENGAN BEKERJASAMA

Menarik juga bila Presiden UMNO, DS Mohd Najib Razak mengulangi pelawaannya kepada Pas untuk bekerjasama dengan UMNO, semasa merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia pada 17/12/2015 lalu. Terdahulu disebut semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO, dua minggu lepas. 

Tambahan pula antara resolusi Multaqa anjuran sebuah NGO yang dikatakan pro-UMNO, perlunya dua kelompok politik terbesar, Pas dan UMNO bekerjasama demi perpaduan dan kemajuan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Interpretasi awal dan spontan terutamanya media dan berbagai pihak pro-UMNO lebih menampakkan bukan sekadar kerjasama tetapi penyatuan dua entiti politik ini sebagai satu kuasa baru dalam politik tanah air. Dari tafsiran tersebut, mengheret kembali kita kepada pengalaman kerjasama yang pernah berlaku 40 tahun lalu serta sengaja mengelongkar kembali terputusnya kerjasama 5 tahun kemudiannya. 

Sebaliknya respons pihak yang bersimpati dengan Pas mengharapkan Pas berhati-hati mengambil tanggungjawab ini, berasaskan pengalaman masa silam dan sejarah yang mencetus idea pemuafakatan. Pengalaman Pas sebuah parti yang berusia 64 tahun melalui berbagai kejayaan dan kegagalan kerjasama dengan berbagai parti dan pertubuhan bermirip politik. 

Lontaran idea Presiden Pas, DS TG Abdul Hadi Awang, Pas sangat berminat untuk menjadi penasihat kepada kerajaan, atas sifatnya sebuah parti pembangkang. Tafsiran kerjasama dimaksudkan sebagai tawaran penasihat kepada kerajaan. Ada tafsiran menyifatkan tanggungjawab menasihat itu sebagai tawaran untuk bekerjasama dalam bentuk duduk semeja dalam urusan pentadbiran. Dengan kata lain, sahutan Pas untuk menerima tawaran kerjasama dari Presiden UMNO.

Tawaran kerjasama Presiden UMNO dan tawaran tanggungjawab penasihat oleh Presiden Pas sepatutnya dilihat dan ditafsirkan kepada tradisi ilmiah. Islam asasnya berpijak kepada rujukan-rujukan atau garisan panduan yang diturunkan Ilahi menerusi perutusan dan tafsiran pesuruhNya iaitu Al Quran dan al hadith. Pemikiran, tanggapan dan tafsiran manusia hendaklah berpandukan kepada dua sumber tersebut di samping ijmak dan qias. Tidak sepatutnya tafsiran demi kepentingan politik semasa untuk menghadapi cabaran dan kemelut.

Kisah bagaimana Allah perintah Nabi Musa a.s. dan saudaranya Nabi Harun a.s. menyampaikan perutusan Allah kepada Firaun, walaupun Allah yang lebih mengetahui Firaun yang mengaku Tuhan dan tidak akan tunduk sebarang nasihat, adalah satu tanggungjawab menjalankan amanah. Kunjungan dan perutusan Musa a.s. adalah satu tanggungjawab penasihat kepada sebuah kerajaan yang cukup kuat dan berkuasa pada zamannya. 

Firman Allah dalam Surah Toha: "Pergilah kamu serta saudaramu membawa ayat-ayatKu dan janganlah kamu berdua lalai dalam  menngingatiKu (42), Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas (43), Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut "(44). 

"Mereka berdua pun berkata: Ya Tuhan kami! Sesungguhnya kami khuatir kalau dia segera menyeksa kami atau bertambah melampau batas "(45). 

"Allah berfirma: janganlah kamu berdua khuatir, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku mendengar dan melihat" (46).

"Maka pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah: sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaslah Bani Israel bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. Sesungguhnya kami datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) daripada Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikut petunjuk" (47). 

Bukanlah sifat Firaun dimaksudkan kepada Presiden UMNO dan sifat Musa a.s. ditujukan kepada Presiden Pas, tetapi maksudnya tawaran penasihat itu adalah tanggungjawab khalifah di muka bumi ini dalam memenuhi tuntutan dan kehendak ajaran agama anutan kita. Bukanlah tujuan Musa a.s. temui Firaun untuk menawarkan kerjasama menyeksa umat Bani Israel tetapi menasihat Firaun tidak melampaui batas. 

Dalam konteks persekitaran politik semasa di Malaysia, tafsiran melampau batas merangkumi pencabulan hak demokrasi, pencabulan tatakelola good governance, pencabulan pengurusan harta dan aset negara, pencabulan pilihan raya adil dan bebas. Kerjasama dalam bentuk menasihati lebih menyakinkan kewibawaan usaha mengendurkan ragam-ragam melampaui batas.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan