Rabu, 27 Januari 2016

RM 2.6 billion

MENGSENSASIKAN 2.6 BILLION

Semalam isu RM2.6 billion dalam akaun peribadi Perdana Menteri DS Mohd Najib, ditutup. Peguam Negara TS Mohd Apandi Ali mengumumkan tiada kes boleh dikenakan ke atas PM dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siatan. 

Menonton penjelasan Peguam Negara seperti menonton sebuah drama Melayu, awal-awal lagi dah boleh agak jalan ceritanya, apa akhirannya.  Tak ada yang suspens.  Bukanlah sebuah penantian yang mendebarkan. Memang sudah dijangka, akan meletakkan PM di tempat yang selesa.

Penjelasan jumlah wang berkenaan hasil sumbangan peribadi keluarga di raja Arab Saudi, tanpa mengharapkan balasan. PM telah pun mengembalikan RM2.03 billion kepada penyumbang asal dalam bulan Ogos 2013. 

Soalnya, peringkat awal bila ianya mula dibangkitkan oleh media asing dan TS Muhyiddin Yassin di dalam Majlis Tertinggi UMNO dan perjumpaan tertutup tahun lepas, PM menafikan dan mengancam akan saman The Wall Street Journal. Kemudian mengaku dan menjelaskan ianya sumbangan pihak tertentu dari Timur Tengah. Hinggakan mantan PM, Tun Dr Mahathir menyifatkan mungkin si Arab gila yang boleh beri derma dalam jumlah yang besar tanpa mengharapkan balasan.

Banyak masa dan tenaga digunakan berbagai pihak dalam dan luar negeri, dalam parti dan luar parti, berakhir dengan penjelasan dari AG, memperakukan sumbangan dari keluarga di raja Saudi dan bahagian besar telah dipulangkan balik kepada penderma asal. 

AG main peranan sebagai hakim, memutuskan penerima sumbangan tidak bersalah, kerana jumlah wang yang disensasikan berbentuk derma dan ianya sudah dikembalikan kepada penyumbang asal. AG tidak pula menyebut ke mana baki RM570 juta yang tidak dipulangkan. 

Persoalannya apakah sengaja dijadikan isu berpanjangan demi menutupi beberapa isu besar yang boleh menggugat kestabilan ekonomi dan mengheret kepada ketidakstabilan socio-politik.  Isu-isu kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan sokongan umum kepada kepimpinan nasional semasa, kekalutan 1MDB. Seolah isu derma RM2.6 juta sengaja dilanjutkan tempoh yang panjang atau sengaja disensasikan demi mengaut kembali prestasi sokongan umum, jika awal-awal lagi kejujuran, ketelusan dan keutuhan intergriti, keyakinan berbagai pihak khususnya pelaburan asing dan sokongan rakyat tempatan dapat dipertingkatkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan