Khamis, 17 Disember 2015

kerjasama antara kerajaan bukan parti

KERJASAMA  KERAJAAN NEGERI-PERSEKUTUAN BUKAN KERJASAMA PAS-UMNO

Ucapan dasar Presiden UMNO, DS Mohd Najib Tun Ab Razak, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari menonjolkan dua isu utama. Isu dalaman berkisar krisis keyakinan kepimpinan yang menfokuskan kepada serangan isu peribadi Presiden.  Isu luaran melontarkan gagasan perpaduan Melayu yang berpaut kepada kerjasama UMNO dan Pas. 

Isu perpaduan Melayu dengan fokus kepada dua pelakon utama; UMNO dan Pas, seolah-olah satu isu ciptaan yang sengaja dijulang yang berperanan mangalihkan isu dalaman parti. Persidangan selama tiga hari, dengan perhimpunan 3 sayap parti: wanita, pemuda dan puteri, sehari sebelum, ucapan perwakilan yang berkisar kepada perpaduan dalam kepimpinan parti lebih mendominasi perhimpunan berbanding saranan agar keperluan perpaduan Melayu yang tertumpu kepada UMNO dan Pas. 

Ajakan supaya Pas bersama UMNO secara umum yang mengundang berbagai tafsiran. Apakah ianya menjurus kepada pakatan politik demi mempertahankan status quo UMNO menguasai tampuk utama kuasa legislatif secara langsung mewakili orang Melayu, ataupun sekadar pendidiran bersama isu-isu bersama kepentingan Melayu secara terbuka tanpa ikatan kepentingan politik mana-mana pihak. 

Jika cetusan idea mengundang Pas duduk semeja dengan UMNO lantaran dua isu besar dikenalpasti; pertama ialah manifestasi keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang menyaksikan BN cuma memungut 47% undi popular, walaupun menguasai lebih 60% penguasaan kerusi Parlimen, dan kedua ialah cabaran dalaman UMNO lantaran isu-isu ketidaktelusan yang mempamirkan krisis keyakinan kepimpinan parti. Kedua-dua isu ini adalah masalah yang dihadapi UMNO, apakah pula alasannya cuba mempalitkan pihak luar iaitu Pas sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan kedudukan Melayu menguasai kelompok elit berkuasa.

Keputusan PRU13 memanglah pencapaian terburuk pernah dicapai oleh parti pemerintah yang dikepalai UMNO, buat pertama kalinya parti yang disokong minoriti rakyat membentuk kerajaan. Dengan lain perkataan, Malaysia diperintah oleh sebuah kerajaan minoriti. Tambahan pula, ada komen yang menyebut UMNO sedang berdepan dengan pengalaman yang paling mencabar, dengan sokongan rakyat yang akan merosot dan tahap ketidakpuas hati rakyat semakin meningkat. Krisis UMNO 1987/1988 dan krisis 1998/1999 yang lebih amat ketara dengan kelibat massa rakyat, tetapi krisis hari ini berbentuk senyap dan tertutup. Tenang tetapi bergelegak. Peranan dan bantuan media sosial dalam berbagai bentuk menyemarakkan penyebarluasan maklumat secara senyap dan tertutup.

Apakah usaha mengajak Pas lebih bersifat langkah-langkah strategi menghadapi PRU14. Atau matlamat berpaksikan perpaduan Melayu sekadar menutup kelemahan dan kemelut yang melanda UMNO. Senario kemelut UMNO semasa, khususnya pasca PRU13, lebih bersifat masalah UMNO itu sendiri dari persepsi khalayak umum. Kemerosotan sokongan khususnya di medan utama, masyarakat luar bandar dan kumuniti Melayu, berpanjangan, yang mempamirkan kegelisahan parti itu sendiri untuk hadapi PRU14. Ini disokongan dengan perlanjutan tempoh mesyuarat agung parti semua peringkat untuk pemilihan kepimpinan parti, hingga selesai PRU14. 

Suasana dalam UMNO pasca PRU13 lebih bersifat masalah dalaman parti berbanding UMNO pasca PRU3 (PRU 1969). UMNO sebagai peneraju utama parti yang membentuk kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas ketidakstabilan politik kesan keputusan PRU3. Usaha UMNO mengajak parti-parti pembangkang bersama main peranan menyelamatkan negara yang sedang menuju krisis perkauman dan pertentangan kelas. Suasana pasca PRU3, mengancam keselamatan negara, mengorbankan jiwa dan memaksa dharurat diistiharkan.

Justeru itu, jika Pas boleh terima pelawaan UMNO selepas PRU3, tidak boleh disimpulkan mengapa Pas tidak boleh terima ajakan UMNO sebagaimana disentuh dalam ucapan dasar Presiden UMNO semasa PAU minggu lepas.  Penjelasan seorang Naib Presiden Pas, Dato' Mohd Amar Abdullah kelmarin, yang dimaksudkan kerjasama UMNO-Pas adalah kerjasama antara kerajaan negeri-kerajaan Persekutuan bukan kerjasama antara parti. 

Oleh kerana UMNO yang mengetuai kerajaan Persekutuan mencerobohi konsep pengasingan kuasa: legislatif, eksekutif dan judicial atau kehakiman, menjadikan orang politik mencampuri dan menguasai pentadbiran. Seolah-olah bila UMNO memerintah maka jentera pentadbiran mestilah menjadi penyokong UMNO.  Politik dan pentadbiran tidak boleh dipisahkan yang didoktrinasikan untuk membentuk budaya berfikir rakyat. 

Penegasan Dato' Mohd Amar sebagai menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Mat selepas media memainkan isu kerjasama Pas-UMNO; Pas tidak mahu memikul biawak hidup. Pas yang dibebani dengan masalah munculnya serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah), cuba dibebankan pula memikul beban yang ditanggung UMNO kini. Bagaimana dengan kuasa legislatif mengatasi dan menguasai eksekutif sejak sekian lama; petani Pas dinafikan kemudahan, penjawat awam khususnya guru dibuang daerah dan dinafikan kenaikan pangkat, kenaikan pangkat guru perlu sokongan Ketua UMNO Bahagian, pembinaan jalan kampung dipendekkan untuk elakkan kemudahan kepada penyokong Pas. 

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang merupakan sebahagian kerajaan Persekutuan kerjasama sudah termaktub dalam Perlembagaan. Perlunya kerajaan negeri mencari jalan mendekatkannya dengan kerajaan pusat atas keperluan eksekutif.  Masalahnya politik didahulukan, kepentingan politik kepartian diutamakan,  tidak menghormati semangat federalisme. Perasaan irihati, dengki dan bodoh sombong mengatasi peraturan bertulis semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru itu, ada beberapa institusi aneh; Jabatan Pembangunan Persekutuan, JKKK Persekutuan, Pentadbir Mukim, Penyelia Pembangunan Mukim, Pengarah Dun. 

 
 

 












 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan