Sabtu, 19 September 2015

Himpunan Merah Kuning

SEKILAS PANDANG HIMPUNAN BAJU KUNING DAN BAJU MERAH

Himpunan Bersih 4.0 selama dua hari menjelang sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 58, yang disertai 90% warga kaum Cina membanjiri pusat bandar ibukota, mendapat reaksi terancang, Himpunan Rakyat Bersatu, rata-ratanya didominasi orang Melayu. Himpunan Bersih ditonjolkan dengan penyertaan besar anak-anak muda, sebaliknya Himpunan Rakyat Bersatu lebih mempertontonkan peranan mereka yang dah masuk alam dewasa, dan lanjut usia.

Himpunan Bersih 4.0 asasnya lanjutan dari 3 siri himpunan seumpamanya sejak 2007, yang menghimpunkan rakyat yang mahukan satu pilihan raya adil dan bebas. Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 menampakkan rakyat dari kelompok Melayu yang menguasai medan, yang mempertontonkan kesedaran wujudnya manipulasi dan tipu daya dalam pengurusan pilihan raya. Bersih 3.0 yang diadakan semasa semua pihak bersiapsiaga menghadapi PRU13, penyertaan orang bukan Melayu, khususnya anak-anak muda Cina, menggambarkan gerakan tuntutan pilihan raya bersih dan adil melibatkan semua kaum. Anak-anak muda dalam kelompok first time voters tanpa berselindung keluar ke program massa anjuran parti politik dan NGO.

Sebaliknya Bersih 4.0 dengan matlamat sama tetapi ada dua kelainan; tanpa penyertaan penyokong Pas yang menguasai medan, dan penyertaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tanpa penyertaan Pas, partisipasi demonstran dari kaum Melayu adalah minoriti, tidak menjelaskan himpunan baju kuning sebagai satu untuk rasa seluruh rakyat. Penyertaan sama Tun Mahathir, dua hari berturut-turut seolah-olah himpunan ini satu himpunan mendesak sang Menteri Perdana DS Mohd Najib berundur. Malah realitinya, yang diperbesarkan ialah desakan PM berundur, mengatasi soal intergriti pilihan raya.

Himpunan baju merah, Himpunan Rakyat Bersatu lebih membesarkan menjawab cabaran orang bukan Melayu, Himpunan baju merah, himpunan membela nasib orang Melayu yang merumuskan 14 resolusi. Dengan lain perkataan,  himpunan baju merah adalah reaksi terancang menjawab himpunan baju kuning, secara beradab, bukan secara bertentang muka, secara berdepan dada, iaitu pada masa yang sama, sebagaimana perancangan asal.

Tanpa penglibatan Pas, himpunan baju kuning bertukar tema jadi himpunan mendesak PM undur dan lebih merupakan himpunan majoriti orang Cina sementara himpunan baju merah menjadi agenda medan rasis, dipelopori Melayu.

Himpunan baju merah seolah-olah meletakkan orang Melayu terpinggir dan terabai, menghasiljan resolusi 14 perkara yang sepatutnya dijadikan agenda utama masa depan orang Melayu. Ianya meletakkan orang Melayu tiada perlindungan dan jaminan hak, sedangkan kuasa pemerintahan dan eksekutif berada dalam tangan orang Melayu. 

Unjuk rasa baju merah sepatutnya memperkukuh kedudukan orang Melayu terutama mempertahankan PM. Mempertahan PM adalah mempertahan dasar dan program yang dipelopori oleh PM iaitu "1Malaysia"; BR1M, KR1M, 1MDB. 1Malaysia adalah agenda pemerintah demi memperkukuhkan perpaduan rakyat demi menghakis rasisme dan penindasan kaum. Himpunan baju merah seolah merungkai hasrat kerajaan dalam memupuk perpaduan.

Demi masa depan negara, janganlah hendaknya sebagaimana baju kuning bersaing di medan terbuka dengan puak merah di kota Bangkok, lima tahun lalu. Cukuplah sekadar resolusi menceritakan matlamat dan niat. Begitulah juga biarlah gerakan baju kuning menguasai kota Manila, hampir 30 tahun lalu, sekadar satu lipatan sejarah negara jiran. Bukanya hendak dijadikan model kebangkitan baju kuning. 1Malaysia dari segi rohnya tiada beza dengan Malaysian Malaysia. Cuma nama saja berbeza. Apalah ada pada nama, pokoknya perpaduan ummah,  keharmonian dan kesejahteraan rakyat berkekalan, sosial kontrak jaminan Kemerdekaan dulu harus diakuri semua pihak.
Salam 1Malaysia.


Catatan di Taman Padang Behor,
Kangar.
19.09.2015







?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan