Selasa, 22 September 2015

Tanpa Pas, hilang fokus

HIMPUNAN BERTUKAR FOKUS TANPA PENYERTAAN PAS

Dalam tempoh dua minggu kita dihidangkan dengan dua himpunan massa; baju merah dan baju kuning. Asasnya tujuan baju kuning untuk tuntutan satu pilihan raya yang adil dan bebas, sementara baju merah membawa mesej memantapkan tuntutan orang Melayu.

Himpunan yang asalnya hendak diadakan serentak untuk menguji kekuatan sebenar di medan. Himpunan baju merah sebagai menyahut kekuatan gabungan tenaga parti-parti politik dan NGO Melayu untuk berdepan himpunan baju kuning yang seolah-olah satu usaha mencabar kerajaan yang sedia ada. Himpunan baju merah mensasarkan himpunan satu juta umat Melayu, himpunan mega orang Melayu akhirnya mengalah, mengadakan himpunan berasingan 2 minggu kemudian. 

Himpunan baju kuning, sebagai siri keempat himpunan Bersih, justeru tanpa penyertaan rasmi Pas, menjadikan ianya satu himpunan satu kaum; didominasi oleh orang Cina yang menguasai 90% penyertaan. Dengan penampilan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama kemunculan beberapa kumpulan pendesak atau NGO, mesej pilihan raya adil dan bebas tenggelam oleh desakan supaya PM DS Mohd Najib mengundurkan diri. 

Himpunan baju kuning, Bersih 4.0 tanpa Pas menjadikan "Undur Najib" fokus utama dan lebih berwajah himpunan orang Cina. 

Awal-awal lagi, bila pakatan pembangkang bersatu membuat kenyataan meminta PM berundur selepas timbulnya isu hutang 1MDB serta cadangan undi tak percaya, Pas melalui kenyataan Presiden dan Mursyidul Am, Pas menolak usaha undi tak percaya terhadap PM serta tuntutan PM undur. Justeru fokus Bersih 4.0 lebih kepada "Undur Najib", Pas mengambil keputusan berkecuali.

Himpunan baju merah, yang secara tidak langsung dianjurkan oleh UMNO, melihat kepada latar belakang NGO yang menyertainya. Himpunan baju merah terang-terangan mendakwa satu himpunan umat Melayu dan Pas sebagai parti terbesar bersama UMNO mewakili orang Melayu diajak ikut sama. Pas menolak pelawaan atas bacaannya himpunan ini adalah satu himpunan bersifat perkauman, sementelahan himpunan mempertahankan kuasa Melayu, sebenarnya untuk mempertahankan DS Najib sebagai PM dan Pas dengan pendirian asal, berkecuali dalam isu "Undur Najib". 

Himpunan sama ada baju merah atau baju kuning, kedua-duanya hilang fokus.  Himpunan baju kuning lebih berfokus kepada desakan PM berundur, sementara himpunan baju merah berfokus kepada mempertahankan kedudukan PM. 

Justeru Pas mengambil keputusan berkecuali dalam isu undi tak percaya atau meminta PM berundur, amat tepat Pas tidak terlibat dalam kedua-dua himpunan. Lebih-lebih lagi, himpunan baju kuning, isu PM lebih mendepani isu pilihan raya,  dan himpunan baju merah lebih menjelaskan satu pesta rasis, seolah-olah menafikan hak dan suara semua kaum dan agama. 

Satu lagi alasan dihujahkan kepimpinan Pas, Bersih 4.0 yang diadakan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dan Himpunan Rakyat Bersatu pada Hari Malaysia. Sepatutnya kedua-dua peristiwa besar ini disambut semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, yang menjadi asas pembentukan kemerdekaan dan pembentukan gagasan Malaysia.

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan