Selasa, 21 Oktober 2014

Cukai Untuk Semua

BAJET 2015:  CUKAI UNTUK SEMUA

Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Oktober lepas mendapat reaksi yang positif bagi pembayar cukai. Bajet yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat mencerminkan bajet bersifat mesra pengguna dengan menawarkan beberapa langkah untuk meningkatkan kuasa beli. 

Langkah-langkah memperkukuhkan dasar fiskal yang dibentangkan dalam Bajet 2015 menjawab soalan untuk mengabsahkan negara mengalami masalah kemelesetan ekonomi. Bajet 2015 mewarisi tradisi langkah-langkah menerusi dasar fiskal dan dasar kewangan menghadapi kemelesetan ekonomi. Lebihan penawaran agregat yang tinggi, dengan lambakan barangan tempatan; sektor pertanian dan sektor pembuatan, secara langsung menghimpit kehidupan rakyat yang bergantung kepada sektor berkenaan. Kesukaran dan kesempitan hidup dalam sektor berkenaan yang memberikan kejatuhan kuasa beli pengguna memberi sumbangan besar kepada kemelesetan ekonomi yang berlanjutan semenjak zaman Reformasi. 

Suntikan dalam berbagai bentuk untuk meningkatkan kuasa beli pengguna, ada sedikit kesan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Lingkaran ekonomi yang saling bergantungan antara pengguna dengan pengeluar, antara petani dengan peniaga, antara buruh dengan korporat, saling membantu antara satu sama lain untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi. Saling bergantungan ini masih mengekalkan ketidakadilan dan ketaksamaan ekonomi yang menampakkan kelompok dalam sektor utama menjadi mangsa kepada kemelesetan ekonomi.

Bajet 2015 membentangkan berita baik untuk pembayar cukai. Struktur cukai pendapatan ditambahbaik dengan penurunan kadar cukai berasaskan pendapatan bercukai. Berdasarkan kaedah pencukaian dalam tahun taksiran 2013, individu yang berpendapatan boleh cukai di bawah RM29,725.00, atau pendapatan bulanan di bawah RM2,480.00 umumnya dikecualikan dari membayar cukai pendapatan. Ianya bergantung kepada pelepasan yang ditanggung oleh individu berkenaan. Individu yang memiliki tanggungan yang kecil serta pembayaran yang dibenarkan, membayar cukai pendapatan yang relatifnya rendah.

Bajet 2015 mengurangkan kadar cukai pendapatan dari 2 peratus kepada 1 peratus bagi mereka yang mempunyai pendapatan bercukai dalam lingkungan RM5,000.00 hingga RM20,000.00. Pendapatan bercukai adalah pendapatan agregat atau pendapatan tahunan ditolak pelepasan. Kelompok seterusnya, pendapatan bercukai RM20,000.00 hingga RM35,000.00, dikurangkan dari 6 peratus kepada 5 peratus. Begitulah seterus, pengurangan antara 1 hingga 3 peratus, untuk pendapatan bercukai yang lebih tinggi.

Pelepasan yang tergolong dalam pemotongan cukai berkala (PCB) adalah tanggungan pembayar cukai; diri, isteri, dan insurans, terhad kepada RM15,000.00, disamping pelepasan RM1,000.00 setiap anak bawah 18 tahun.  Pembayaran bukan melali PCB untuk diri seperti faedah pembelian rumah, yuran pendidikan sendiri, pembelian buku dan seumpamanya yang terhad kepada nilai ditetapkan dengan jumlah RM26,300.00. Di samping itu, pembayaran untuk tanggungan ahli keluarga seperti individu kurang upaya, perubatan ibu bapa dan sebagainya terhad kepada RM3,500.00.

Bajet 2015 memberi kelegaan kepada 300,000 pembayar cukai sedia ada kerana pengurangan kadar cukai pendapatan menyebabkan mereka dikecualikan cukai pendapatan. Disimpulkan individu yang berpendapatan di bawah RM4,000.00 sebulan tidak akan terlibat dengan cukai pendapatan. Peningkatan kuasa beli pengguna dijangka naik dengan tindakan fiskal ini. 

Apakah dengan perubahan kadar cukai pendapatan, memberikan 80 peratus isu rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000.00 sebulan tidak terlibat sebagai pembayar cukai. Justeru dengan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 Mei 2015, secara langsung semua rakyat tanpa mengira lingkungan atau garisan pendapatan bulanan, akan menjadi pembayar cukai yang aktif. Dengan kuasa beli pengguna yang meningkat dengan pengurangan kadar cukai pendapatan, pemberian bonus kepada kakitangan awam, BR1M kepada rakyat berpendapatan bawah RM4,000.00 sebulan dan lain-lain insentif, akan meningkatkan permintaan agregat. Peningkatan permintaan agregat ini secara langsung meningkatkan pulangan kepada kerajaan menerusi pembayaran cukai, khususnya cukai tak langsung, cukai jualan dalam bentuk GST. Bajet 2015 adalah satu langkah meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan demi menjayakan GST, satu pengorbanan rakyat membantu negara. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan