Khamis, 31 Julai 2014

Imej Jokowi

IMEJ JAKOWI SEBAGAI SATU STRATEGI

Pada 02/02/2013, saya sempat hadir di Konvensyen Mara Keberkataan Menuju Putrajaya di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. Konvensyen sehari bermatlamat mendedahkan persiapan jentera pilihan raya Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Antara pembentang kertas kerja ialah Gabnor Jakarta, Joko Widodo @ Jokowi.

Saya tertanya-tanya apakah kelebihan Jokowi diberikan keistimewaan membentang satu kertas kerja, lantaran sistem pilihan raya yang berbeza bagi Indonesia dan Malaysia. Di Indonesia, pemilihan anggota badan legislatif nasional, Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) adalah undi keseluruhan atau undi popular yang ditentukan dalam bentuk peratusan. Peratusan undi bagi sesebuah parti adalah peratusan kerusi atau perwakilan dari parti berkenaan dalam MPR. Begitu juga, bagi badan perundangan peringkat provinsi atau daerah. Wali Kota atau Datuk Bandar dipilih secara langsung dalam bentuk pilihan raya.

Di Malaysia, pemilihan anggota badan legislatif sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, menerusi perwakilan mengikut kawasan. Pentadbiran kerajaan tempatan adalah di bawah kakitangan pentadbiran awam.

Pembentangan Joko bersama pembantunya menonjolkan kejayaan strategi, pendekatan dan skema perancangan sosio-politik dan pasukannya mendekati pengundi kota raya. Joko didedahkan kejayaan seorang aktivis sosial mewakili masyarakat terbanyak, berjaya memecahkan penguasaan aristokrat dan elitis ketenteraan dalam politik Indonesia. Perwatakan Jokowi mendekati gambaran masyarakat kelas bawahan mewakili khalayak massa Indonesia, amat jauh bezanya dengan kelaziman elitis politik sebelum ini, yang rata-ratanya membawa budaya yang memisahkan antara rakyat dengan kelas elitis yang dikuasai tentera dan kaum pemodal. 

Konvensyen tersebut adalah kemuncak menjelang PRU13 di mana sebelumnya Himpunan Mega Kebangkitan Rakyat pada 12/01/2013 yang  berjaya menghidangkan himpunan raksaksa  kebanjiran rakyat di Stadium Merdeka. Himpunan aman yang menggambarkan satu ledakan sokongan rakyat menuntut perubahan Kerajaan Persekutuan telah berjaya menterjemahkan kehendak khalayak majoriti rakyat Malaysia. PRU13 menghasilkan terbentuk sebuah kerajaan minoriti 47 peratus yang memerintah negara, hasil agihan tak seimbang pengundi mengikut kawasan pilihan raya. Agihan yang tak seimbang ini memberikan lebihan kerusi kepada BN untuk terus memerintah.

Di Malaysia, kita dapat menonton latar belakang hidup Jokowi dipaparkan menerusi saluran Astro Bintang, sebagai antara bahan kempen beliau dalam pemilihan Presiden tahun ini. Kemudahan ini yang dinafikan dalam kempen pilihan raya di Malaysia, memisahkan perbandingan kebebasan bersuara, iaitu asas demokrasi.

Dalam pemilihan Presiden pada 09/07/2014 yang diumumkan minggu lepas, Jokowi bersama bergandingan dengan Yusuf Kalla selaku calon Wakil Presiden (Naib Presiden) memungut 70,633,576 undi atau 53.15 peratus undi, untuk mengatasi gandingan Gen (B) Probowo Subiarto dan Hatta Rajasa, yang perolehi 62,262,844 undi atau 46.85 peratus. 

Pemilihan Jokowi membuka satu lembaran baru kuasa rakyat di atas keberanian rakyat Indonesia meminggirkan struktur kuasa yang dikuasai oleh elitis tentera sejak sekian lama yang bermula dengan Gerakan Operasi 30 September 1965 (Gestapo). Setelah lebih setahun konvensyen di Seri Kembangan itu, bolehlah dibina analisis peranan, ketokohan dan strategi  dalam kerja-kerja jentera pilihan raya berasaskan pendekatan Jakowi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan