Sabtu, 26 Julai 2014

Kabinet 1Malaysia

KABINET 1MALAYSIA BERSAIZ ALA KABINET GESTAPO

Di ambang Ramadhan tahun ini, antara segmen menarik ialah rombakan kecil kabinet kerana kemasukan kepimpinan MCA dan Gerakan yang mewakili masyarakat Cina. Tempoh bertenang selama setahun, ekoran penolakan pengundi Cina kepada BN dalam PRU13, parti-parti komponen BN mewakili masyarakat Cina menarik diri dari kabinet Kerajaan Persekutuan sudah berakhir, setelah kemenangan BN dalam PRK Telok Intan baru-baru ini. Ianya semata-mata penambahan keanggotaan kabinet yang saiznya sudah cukup besar, dalam konteks negara moden.

Kabinet terkini Kerajaan Persekutuan dengan penambahan anggota pada 25/06/2014 ialah seramai 35 anggota. Paling ramai dalam sejarah sejak 1957. Berbanding dengan kabinet dalam dunia moden hari ini, negara China dengan rakyatnya seramai 1.3 billion adalah 20 orang menteri. Kabinet kerajaan Persekutuan India yang mengamalkan demokrasi federalisme seperti Malaysia, mempunyai seramai 32 ahli dengan penduduk 1.2 billion. Amerika Syarikat yang mempunyai 317 juta penduduk dengan cuma 18 orang ahli kabinet. Jepun hanya 16 orang menteri dengan 127 juta rakyat dan Britain, 23 menteri kabinet pusat dengan rakyatnya seramai 65 juta orang. Malaysia hanya mempunyai 30 juta penduduk sahaja.

Keanggotaan ahli kabinet Malaysia terakhir ini dan terbesar relatifnya dengan negara-negara maju, adalah satu pendekatan undur ke belakang. Indonesia yang membentuk kabinet pertama selepas peristiwa 30 September 1965 yang dikenali dengan kabinet Gestapo (gerakan tiga puluh september) mengandungi seramai 100 orang ahli. Tetapi hari ini, semakin moden politik Indonesia, bilangan anggota kabinet semakin berkurangan.

Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kabinet selepas PRU11 (PRU 1999) yang menyaksikan pencapaian terburuk BN di bawah kepimpinan beliau, membentuk kabinet seramai 28 menteri dengan 23 kementerian, pada 10/12/1999. Kabinetnya lebih kecil berbanding sebelum PRU11. Pengurangan kerusi Parlimen membawa kepada pengecilan jumlah keanggotaan kabinet Kerajaan Persekutuan. 

Kabinet terakhir Tun Dr Mahathir ialah kabinet yang dirombak pada 17/01/2001, dengan tambahan 1 bilangan menteri dan sebuah kementerian baru. Bila Tun Abdullah Badawi mengambil alih kepimpinan Kerajaan Persekutuan dalam bulan Oktober 2003, beliau mengekalkan barisan kabinet yang sedia ada.

Kabinet pertama Abdullah Badawi dibentuk pada 07/01/2004, dengan jumlah keahlian dan bilangan kementeriaan kekal sebagaimana kabinet yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir, 29 menteri dan 24 kementerian.

  BN di bawah pimpinan Abdullah Badawi mencapai kemenangan cemerlang dalam PRU 2004, apabila memenangi 199 dari jumlah 219 kerusi Parlimen atau menguasai 90.9 peratus kerusi dan perolehi sokongan paling besar, 63.8 peratus undi popular. Pencapaian BN dalam PRU 2004 adalah paling cemerlang mengatasi kemenangan cemerlang BN bawah kepimpinan Tun Razak dalam PRU 1974.

Kabinet yang dibentuk Abdullah Badawi pada 27/03/2004 dianggotai 33 orang menteri dengan memecahkan beberapa kementerian, menjadikan jumlah 27 kementerian. Kabinet zaman Dr Mahathir (1981 hingga 2003) tidak pernah melebihi 30 orang ahli. Pembesaran saiz kabinet oleh Tun Abdullah seiringan dengan peningkatan penguasaan keanggotaan Dewan Rakyat, hasil kecemerlangan BN dalam PRU 2004. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan dibarisi 6 orang, paling ramai berbanding kabinet sebelum ini. Dalam kabinet zaman Tunku, Tun Razak dan Tun Hussien, Menteri di JPM, ada disebut sebagai Menteri Tugas-tugas Khas atau Menteri Tak Berfolio. 

Tun Abdullah membuat rombakan kabinet pada 14/02/2006, selepas dua tahun PRU, dengan mengekalkan jumlah anggota dan bilangan kementerian. 

PRU 2008 yang membuat satu kejutan dan perubahan besar dari sudut keputusan pilihan raya, kerana kelaziman sejak terbentuknya negara ini, keputusan pilihan raya sekadar mengukur prestasi Parti Perikatan atau BN. PRU sekadar mengabsahkan mandat untuk BN terus memerintah. PRU 2008 menyaksikan BN cuma memungut 63.06 peratus kerusi Parlimen atau 140 dari 222 kerusi, iaitu buat pertama kalinya parti pemerintah gagal menguasai suara  dua pertiga di badan legislatif Persekutuan. Dari segi undi popular, BN hanya memungut 51.4 peratus undi sahaja. Sebelum ini, dalam PRU 1969, sungguhpun Perikatan capai keputusan merudum, tetapi cukup-cukup untuk mandat dua pertiga di Parlimen.

Dengan pencapaian PRU 2008 sedemikian, Tun Abdullah mengekalkan kekuatan kabinet dengan 32 anggota dan memaksa beliau melantik 3 orang senator untuk melayakkan menyertai kabinet. Bilangan kementerian dikurangkan kepada 26 dan mengekalkan seramai 5 orang menteri di JPM. Secara dinamiknya, pembentukan kabinet tanpa relatif dengan prestasi PRU, menggambarkan memberi kelebihan kepada satu pihak. Justeru calon dari parti utama:UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan, memberi ruang kepada wakil-wakil parti dari Sabah dan Sarawak.

Bila Tun Abdullah berundur, DS Najib membentuk kebinet pertamanya pada 09/04/2009. Kabinet pertama Najib, dengan sedikit perubahan: bilangan menteri dikurangkan kepada 30 orang, bilangan menteri di JPM dikurangkan kepada 4 orang, bilangan kementerian dikecilkan kepada 22. Seramai 5 menteri dilantik menerusi keahlian Dewan Negara atau senator. 

PRU 2013, sekali lagi menampilkan kelunturan BN, di mana BN hanya menang di 133 kerusi atau menguasai 59.9 peratus kedudukan di Parlimen, semakin jauh untuk mendapat mandat dua pertiga. Lebih malang lagi, BN hanya memungut 47 peratus undi popular, secara langsung mewarnai sebuah kerajaan minoriti, tanpa suara dua pertiga dan bukan disokongan oleh kumpulan majoriti. 

Anehnya, ekoran prestasi yang semakin buruk membolehkan BN menebus kekecewaan dengan meramaikan jumlah anggota Kabinet Persekutuan, sungguhpun beberapa kementerian diperkecilkan dan digabungkan untuk menjumlah hanya 23 kementerian, sebagaimana kabinet pertama pasca PRU 2013, yang dibentuk pada 15/05/2013. Dengan pengecilan kementerian, menambahkan tugasan di JPM, seramai 8 Menteri di JPM dilantik, satu rekod baru cipta, dengan 3 senator menyertai 29 Ahli Dewan Rakyat menganggotai jemaah menteri. 

Najib membentuk kabinet baru dengan jumlah anggota paling ramai memecahkan rekod yang diciptanya sendiri, iaitu penambahan ahli kabinet yang diumumkan pada 25/06/2014. Tambahan 3 ahli mewakili masyarakat Cina ekoran perkembangan terbaru dalam MCA dan Gerakan. Kabinet baru ini dianggotai 35 orang menteri penuh,  dengan mengekalkan 23 kementerian. Untuk meraikan perlantikan tambahan, mewujudkan 10 orang Menteri di JPM, satu lagi rekod baru. 

Trend keanggotaan kabinet zaman Najib adalah keanggotaan berasaskan perwakilan dalam komponen BN, bukan perwakilan berasaskan kepentingan nasional. Parti Gerakan dengan yang memiliki 2 kerusi Parlimen diberi satu kerusi menteri, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan SUPP dengan masing-masing satu kerusi Parlimen diberi satu kerusi menteri. Kekuatan BN semakin lemah di Parlimen diperkuatkan dengan pertambahan jawatan menteri, agar semua parti komponen ada perwakilan dalam kabinet Persekutuan. 

Bagi political opportunists dan pemimpin yang ditolak oleh parti memperolehi peluang untuk menyambung hayat politik dengan menubuhkan parti baru. Parti baru yang belum diuji menerusi pungutan suara rakyat, yang secara kebetulan dirancang dan direstui oleh "Putrajaya", diberi layanan istimewa; mudah dan cepat proses perdaftaran dan diterima menjadi ahli komponen BN atau sekurang-kurangnya "mesra BN". Kepimpinan parti diberi kerusi menteri atau timbalan menteri, walaupun parti cuma menang satu kerusi tunggal. Ataupun, dilayan pemberian kerusi Ahli Dewan Negara, untuk membolehkan atau layak menyertai kabinet. Sejarah kita menyaksikan parti-parti kecil atau serpihan, membantu menyambung hayat pemimpin tertentu. 

Jokowi yang baru diistiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya Presiden Indonesia, yang disokong oleh 53 peratus suara rakyat, memberi ruang kepada khalayak ramai melalui media sosial mencadangkan bakal anggota kabinetnya, yang akan dibentuk dalam bulan Oktober nanti. Malaysia dengan kerajaan yang disokong suara minoriti 47 peratus pula kabinetnya berasaskan perwakilan anggota komponen parti pemerintah, walaupun parti-parti kecil yang tak berpengaruh.

 


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan