Rabu, 9 Julai 2014

Gangguan kebebasan suara

DI SEBALIK TAK SAMBUNG TUGASAN PROF REDZUAN

Permulaan Ramadhan tahun ini dikejutkan dengan tindakan diambil Universiti Malaya tidak menyambungkan jawatan Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Tambah lagi, perletakan jawatan Datuk Saifuddin Abdullah, mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, sebagai Felo Penyelidik Kanan, ekoran tindakan ke atas Prof Redzuan. 

Tidak menyambung kontrak atau lantikan adalah perkara biasa dalam mana-mana institusi atas faktor-faktor tersendiri: tindakan tatatertib, rekod perkhidmatan, giliran tugasan, malah lebih tidak tertibnya ialah campurtangan kuasa luar. Kebebasan akademik dan kebebasan suara yang terhad dengan berbagai batasan dalam bentuk tekanan dan imbuhan, mengganggu kemuliaan ilmu dan penghormatan masyarakat.

Tindakan ke atas Prof Redzuan, apa pun alasan diberi, akan memberikan pandangan negatif masyarakat ke atas institusi ilmu kerana populariti berkaitan dengan UMcedel (Pusat Kajian Politik dan Demokrasi Universiti Malaya). Prof Redzuan adalah Pengarah badan berkenaan yang turut digugurkan tugasan tersebut. UMcedel popular di kemuncak khalayak pengundi menunggu-nunggu dengan seribu teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum (PRU13) , tahun lepas. PRU13 akhirnya berlangsung beberapa hari tempoh  Parlimen luput tarikh. 

Tindakan ke atas Prof Redzuan dan tindakan Datuk Saifuddin secara langsung menggambarkan kurang mesranya dunia akademik di  negara ini.  Dapatan hasil kajian UMcedel pasca PRU12 menzahirkan impaks yang tidak begitu baik untuk parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Tambahan pula menjelang PRU13, dapatan kajiannya mempamerkan kemerosotan populariti kepimpinan secara langsung kerencatan sokongan BN dan komponennya.

Datuk Huan Chen Guan selaku Presiden Pusat Kesedaran Politik Malaysia dalam wawancara dengn media Berita Harian, 06/07/2014, memburukkan UMcedel dengan mengaitkannya dengan National Endowment for Democracy yang berpusat di Amerika Syarikat. UMcedel ada terima dana dari badan berkenaan. Tindakan ke atas Prof Redzuan secara langsung tindakan untuk UMcedel. Datuk Huan adalah calon Parti Cinta Malaysia (PCM), calon pembangkang yang dapat liputan istimewa dari media mesra BN dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor tempoh hari tetapi hilang wang pertaruhan.

Kajian UMcedel yang beri impaks negatif kepada persiapan parti pemerintahan menghadapi PRU13 serta kritikan pemimpin politik pembangkang mesra BN, ada kait-mengait antara satu sama lain. 

Sepatutnya kita raikan dapatan-dapatan kajian ilmiah sebagaimana yang diusahakan UMcedel itu walaupun pahit untuk ditelan, demi memperkayakan perbendaharaan maklumat. Soal terima dana asing, soal lain. Yang penting ialah ketepatan serta realiti dapatan terebut. Walaupun kajian terakhir menjelang PRU13 oleh UMcedel, mempersembahkan maklumat kepada khalayak pengundi Malaysia, populariti pemimpin Pakatan Rakyat mengatasi pemimpin yang sedang berkuasa, itu adalah sebuah kajian ilmiah untuk dikongsi bersama: orang awam, institusi pengajian tinggi, parti politik, kumpulan pendesak (pressure groups).

Kajian UMcedel membuktikannya, di mana undi popular BN dalam PRU13 cuma 47 peratus sahaja. Tidak perlu menafikan keabsahan kajian UMcedel dan mengapa pula tindakan dikenakan ke atas Prof Redzuan. Tindakan Datuk Saifuddin memang wajar demi meraikan prinsip demokrasi.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan