Ahad, 29 Jun 2014

Persempadanan semula 7: kembali ke asas

SEPATUTNYA KEMBALI KEPADA ROH KEPERLUAN PERSEMPADANAN SEMULA

 Persempadanan kawasan pilihanraya sebagaimana termaktub dalam Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan, sudah menjadi satu tanda aras, ruang diambil kesempatan pihak yang menguasai Kerajaan Persekutuan mengambil kesempatan memperkukuhkan kedudukan. Itulah senario pengalaman Malaysia mengendalikan proses persempadan kawasan pilihan raya sejak 1958. 

Persempadanan semula yang pertama,  1958, lebih berasaskan kepada keperluan pembentukan dewan legislatif selepas merdeka. Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu yang mengadakan pilihan raya pertama dalam tahun 1955 diperuntukan 52 kawasan pilihan raya, untuk memilih seramai 52 anggota yang dipilih menerusi kaedah demokrasi pilihan raya Westminster, "the first past the post" dengan kaedah perwakilan kawasan, satu wakil rakyat satu kawasan. Perkara 116 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap satu kawasan pilihan raya diwakili oleh seorang wakil rakyat.

Persempadanan  1958 menetapkan persamaan nisbah iaitu membentuk 104 kawasan pilihan raya untuk Dewan Rakyat iaitu setiap kawasan pilihan raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dipecahkan kepada dua kawasan, untuk memilih 104 Ahli Dewan Rakyat. Kawasan Kelantan Utara kepada kerusi Parlimen Tumpat dan Kelantan Hilir. Pasir Mas; Parlimen Pasir Mas Hulu dan Pasir Mas Hilir,  Trengganu Utara; Parlimen Besut dan Kuala Trengganu Utara, Pahang Timur; Parlimen Kuantan dan Pekan, Gergetown membentuk Parlimen Tanjung dan Datuk Keramat. Kawasan tunggal dimenangi pembangkang iaitu menerusi Pas, Krian membentuk Parlimen Krian Darat dan Krian Laut.

Bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam pilihan raya pertama 1955, kawasan pilihan raya yang dibentuk adalah 16 kawasan, di mana kawasan pilihan raya DUN adalah tidak seragam mengikut kawasan Dewan Perundangan Persekutuan. Kerusi Persekutuan Kelantan Timur terdiri dari 4 kerusi DUN; Bachok Utara, Bachok Selatan, Pasir Puteh Utara dan Pasir Puteh Selatan. Kelantan Selatan terdiri dari kerusi DUN Ulu Kelantan, Machang dan Tanah Merah.

Pembentukan kawasan pilihan raya DUN dalam persempadanan 1958, mengambil kira asas nisbah kerusi Persekutuan: Dun. Asasnya peruntukan nisbah kerusi Parlimen:DUN, mengikut keperluan kependudukan, faktor geografi dan infrastruktur. Kelantan dan Pulai Pinang dengan nisbah 1:3, satu kerusi Parlimen mengandungi 3 kerusi DUN, Kedah, Perak, Selangor dan Johor, nisbah 1:2,  Terengganu, Pahang dan Negri Sembilan, nisbah 1:4. Negeri yang keluasannya kecil Perlis dan Melaka, membentuk nisbah yang lebih besar 1:6 dan 1:5. 

Bagi negeri yang diperuntukan ikut nisbah satu kawasan Parlimen dan 4 kawasan DUN, nisbah ini disesuaikan ikut keperluan dan latar geografis. Parlimen Besut terdiri dari 5 kawasan DUN, sementara Parlimen Dungun terdiri dari 3 kawasan DUN. Di Pahang, Parlimen Pekan terdiri dari 3 kawasan DUN, sementara Parlimen Temerloh diperuntukan 5 kerusi DUN. Di Negeri Sembilan, Parlimen Seremban Timur dan Seremban Barat, kawasan bandar, diberikan 3 kawasan DUN. Kawasan luar bandar, Parlimen Port Dickson dan Jelebu-Jempol, masing-masing diperuntukan 5 kerusi.

Taburan penduduk di Pulau Pinang, menjadikan kerusi Parlimen Bagan dan Seberang Selatan diperuntukkan 2 kerusi DUN, sebaliknya Parlimen Penang Utara dan Penang Selatan diberikan 4 kerusi DUN, sementara kerusi-kerusi parlimen lain di Pulau Pinang diberikan nisbah 1:3.

Asas pengwujudan kawasan pilihan raya di Semenanjung menjadikan persempadanan 1958 sebagai asas semakan semula persempadanan kawasan pilihan raya apabila genap 8 tahun persempadanan terakhir yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai gagasan Malaysia, seramai 40 perwakilan iaitu 16 untuk Sabah dan 24 dari Sarawak, menduduki kerusi Ahli Dewan Rakyat. Peruntukan kerusi ini menjadi asas pengwujudan kawasan pilihan raya di negeri-negeri tersebut. Persempadanan kawasan pilihan raya dibuat di Sabah dalam tahun 1966, mewujudkan 16 kawasan pilihan raya Parlimen dan 32 kawasan DUN atau nisbah 1:2. Sementara bagi Sarawak, persempadanan kawasan dibuat dalam tahun 1968 juga dengan nisbah 1:2, setiap kawasan pilihan raya Parlimen dipecahkan kepada 2 kawasan pilihan raya DUN, mewujudkan 48 kerusi DUN. 

Persempadanan kawasan pilihan raya ini digunakan untuk pilihan raya pertama bagi DUN Sabah 1967. Sementara bagi DUN Sarawak serta kerusi-kerusi Parlimen bersama Pilihan Raya Umum 1969.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diberi tanggungjawab menyempurnakan persempadanan kawasan pilihan raya (delineation of electoral boundary) berdasarkan rasionaliti:

i. Jumlah penduduk: keseragaman bilangan pemilih mengikut kawasan, di samping pertumbuhan penempatan yang meningkatkan jumlah pemipih.

ii. Keluasan: keseragaman bilangan pemilih mengatasi keluasan kawasan, di mana gambaran kepadatan penduduk menentukan keluasan sesebuah kawasan pilihan raya;

iii. Sempadan: sempadan kawasan ditentukan oleh faktor fizikal geografis dan kawasan pentadbiran tempatan;

iv. Tahap ketersampaian wakil rakyat: bergantung kepada kemudahan-kemudahan asas dan komunikasi di samping tahap pembangunan

v. Kemampuan kerajaan (negeri dan Persekutuan) menampung kos terlibat dengan pertambahan kerusi dewan legislatif: bukan sekadar elaun dan ganjaran wakil rakyat juga melibatkan kos pentadbiran.

Berdasarkan faktor-faktor asas pembentukan kawasan pilihan raya di atas, menjadi panduan pembentukan kawasan pilihan raya yang tidak sama antara negeri. Di samping itu, faktor tersebut juga menghasilkan ketidaksamaan nisbah kerusi Parlimen dan DUN antara negeri.

Proses persempadanan kawasan pilihan raya pasca 13 Mei iaitu persempadanan 1974, 1983, 1992 dan 2003 mempunyai kecenderungan beragenda demi kepentingan politik parti pemerintah Kerajaan Persekutuan (sila rujuk tulisan dalam blog saya: Agenda Dalam Persempadanan Kawasan Pilihan Raya, 10/12/2013).

Agenda tersebut merupakan peluang yang diambil oleh parti pemerintah menerusi agensi SPR dengan amalan gerrymandering. Gerrymandering adalah  satu tindakan manipulasi atau tindakan secara sengaja pihak yang mempunyai kuasa politik dalam sesuatu wilayah atau tempat dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang. 

Kaedah ini diasaskan oleh Elbridge Gerry, Gabnor Massachusett, sebuah negeri dalam kesatuan Amerika Syarikat, dalam tahun 1812. Tujuannya untuk mengurangkan undi parti lawan dan membolehkan parti pemerintah perolehi lebih banyak undi.  Kejayaan pendekatan digunakan Gerry menjamin pencapaian partinya dalam pilihan raya gabnor di negeri Massachusetts, di Amerika Syarikat, telah dijadikan sebagai satu teknik mempertahankan kuasa.

Bagi parti yang memerintah, yang berjaya menjadikan agensi yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya yang tidak bebas dan terkawal, peluang persempadanan kawasan pilihan raya kerana perubahan saiz penduduk, prasarana dan institusi birokrasi, sebagai satu peluang yang tidak wajar dipersiakan.

Proses gerrymandering mempertontonkan kerja-kerja berat sebelah birokrasi mengikut telunjuk parti pemerintah, yang terpesong dari asas-asas pembentukan sesuatu kawasan pilihan raya. Persempadanan kawasan pilihan raya Parlimen Baling 2003, telah melebarkan saiz pemilih dan keluasan kawasan. Bertentangan dengan roh persempadanan, kawasan baru biasanya lebih sempit dari kawasan lama. Tambahan pula Baling adalah kawasan luar bandar. 

SPR telah meminda peraturan pengurusan pilihan raya, yang mula dikuatkasakan dalam Pilihan Raya Umum 1990. Pengiraan undi dilakukan di pusat pengundian, asalnya ianya dilakukan secara berpusat, di pusat pengiraan undi bagi kawasan pilihan raya Parlimen, merangkumi semua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan. Rasional yang diberikan SPR ialah mempercepatkan proses pengiraan dan pengumuman keputusan sesuatu bahagian pilihan raya.

Yang tersirat dari pindaan peraturan pengiraan undi tersebut ialah memudahkan parti yang bertanding menganalisis prestasi undi setiap saluran pengundian dan daerah mengundi.  Kawasan marginal maksudnya kerusi yang dimenangi atau kalah dengan majoriti kecil terbuka untuk terlibat dengan persempadanan semula. Daerah mengundi atau lokaliti yang bersempadanan dengan kawasan pilihan raya lain, akan dipindah untuk mengukuhkan kedudukan parti pemerintah dalam pilihan raya akan datang. 

Di samping itu, bukan sahaja perubahan daerah mengundi dan lokaliti, malah lebih melampau ialah perubahan bilangan kawasan pilihan raya DUN dalam satu kawasan pilihan raya Parlimen. Dalam persempadanan 2003, tiada pertambahan kerusi atau kawasan pilihan raya, sama ada DUN atau Parlimen, tetapi persempadanan semula dilakukan. Kerusi DUN Kuala Ketil dari Parlimen Padang Serai diletakkan di dalam Parlimen Baling, menyebabkan perbezaan bilangan pengundi yang sangat besar antara Baling dengan Padang Serai, sedangkan jumlah pengundi sebelum persempadanan adalah seimbangan antara kedua-dua kawasan berkenaan. Faktornya Baling dimenangi Pas dalam PRU 1999, Padang Serai pula kubu BN sejak Merdeka dan begitu juga kerusi negeri Kuala Ketil.

Demi kemurnian roh demokrasi yang diterima umum saentero dunia sebagai mekanisme terbaik dan praktikal mengurus manusia, asas-asas yang dibina membentuk persempadanan semula harus dihormati, dipelihara dan dipertahankan. Tujuan tersirat yang melanggar prinsip demokrasi untuk keadilan, kesamaan dan kebebasan suara, sepatutnya tidak menjadi agenda parti pemerintahan merebut peluang mengukuhkan kuasa. 

 

 

 

 

 

 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan