Khamis, 26 September 2013

Tahaluf Siasi

PASCA PRU13: KEPERLUAN KAJIAN TAHALUF SIASI PAS DENGAN PKR & DAP

 Cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato' Harun Taib, semasa menyampaikan ucaptama Multaqa Ulama Se Malaysia, pada 14/09/2013 lalu; penubuhan sebuah jawatankuasa khas oleh Pas Pusat untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada Pas serta pemerkasaan tahaluf siasi menerusi Pakatan Rakyat. 

Beliau mengambil data keputusan PRU13 yang memperlihatkan sokongan pengundi Melayu kepada Pas cuma 45.5 peratus berbanding 48.3 peratus dalam PRU12. Di samping itu, dari segi pungutan kerusi terutama kerusi parlimen, di mana Pas cuma dapat 21 kerusi berbanding 23 kerusi dalam PRU12. DAP melonjakkan kerusinya dari 28 ke 38 kerusi parlimen, sementara PKR 30 kerusi, berbanding 31 kerusi dalam PRU12.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, Pas cuma mampu menambah 1 kerusi saja: 84 kerusi dalam PRU12 kepada 85 kerusi dalam PRU13. DAP bertambah dari 73 kerusi kepada 95 kerusi, sementara PKR,  menambah 9 kerusi, 40 kepada 49. Data-data tersebut, memperlihatkan Pas ketinggalan berbanding DAP dan PKR dalam perwakilan legislatif. 

Adalah lebih adil kita memerhati prestasi PRU13, dengan melihat kepada pencapaian Pas serta rakan dalam Pakatan Rakyat, di samping pencapaian calon-calon BN menerusi UMNO dan rakan-rakan, dalam perebutan undi di kawasan majoriti Melayu dan campuran yang bermajoriti Melayu. Pendekatan ini wajar difokuskan kepada pencapaian undi untuk kerusi parlimen, kerana ianya lebih meluas dan umum dari segi persepsi pengundi, berbanding kerusi negeri yang lebih banyak cenderong kepada isu-isu negeri dan tempatan. Lantaran pencapaian atau sokongan yang tidak seragam antara negeri, lebih tepat diperhati kepada pencapaian untuk kerusi parlimen. 

Oleh kerana perbedaan dari segi latar demografi, taburan kaum, sejarah partisipasi politik kepartian, antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, pemerhatian yang berfokus kepada Pas, wajar meneliti pencapaian PRU13 di Semenanjung sahaja. 

Di Semenanjung, terdapat 165 kawasan pilihan raya atau kerusi parlimen: 43 kerusi mempunyai lebih 80 peratus pengundinya berbangsa Melayu dan 42 kerusi, mempunyai komposisi 60 hingga 79 peratus pengundi Melayu. 85 kerusi ini yang menguasai 51.5 peratus atau lebih separuh kerusi parlimen di Semenanjung, menyaksikan persaingan antara calon-calon Melayu dari UMNO mewakili BN dengan calon Melayu PKR dan Pas. Berbeza dengan PRU12, BN meletakkan calon bukan Melayu di Gerik, mewakili Gerakan.

Di 43 kawasan, majoriti mutlak pengundi Melayu (lebih 80 peratus), pencapaian BN menerusi calon UMNO lebih baik, di mana berjaya meningkatkan undinya dari 882,255 (PRU12) kepada 1,151,795 (PRU13), peningkatan 269,537 atau 30.55 peratus. Pakatan Rakyat menerusi 35 calon Pas dan 8 calon PKR, meningkatkan undinya dari 776,156 kepada 988,899 dalam PRU13, iaitu peningkatan 212,742 undi atau 27.41 peratus. 

Dari segi peratusan pungutan undi, dalam PRU12, BN memungut 52.12 peratus, meningkat kepada 53.11 peratus dalam PRU13. Sementara undi PR menurun peratusannya dari 46.73 peratus kepada 45.60 peratus. Justeru itu, PR telah hilang 7 kerusi parlimen majoriti mutlak Melayu; 4 ditandingi Pas (Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling) dan 3 ditandingi PKR (Ketereh, Tanah Merah dan Machang).

Jika dikhususkan kepada 35 kawasan yang ditandingi Pas, sebenarnya dari peratusan pungutan undi BN merosot. Dalam PRU12, undi BN di kawasan tersebut ialah 726,091 undi atau 52.27 peratus dari jumlah undi sah, sementara dalam PRU13, 911,129 undi atau 51.30 peratus. Undi dikumpul oleh calon Pas di 35 kawasan tersebut dalam PRU12 ialah 661,992 undi atau 47.66 peratus, sementara dalam PRU13, 838,171 undi atau 47.20 peratus dari jumlah undi sah. Berbanding kemerosotan peratusan undi, kemerosotan BN lebih besar berbanding kemerosotan peratusan undi Pas. Kemerosotan peratus dari jumlah undi sah ini dalam PRU13, kerana 1.50 peratus undi sah dipungut oleh calon-calon bebas atau parti pembangkang di luar PR.

Penurunan  peratusan undi dari undi sah di kawasan yang ditandingi, peratusan undi oleh calon-calon Pas lebih tinggi berbanding peratusan undi keseluruhan calon-calon PR. Di sudut ini, bolehkan faktor kerjasama dalam bentuk tahaluf siasi dijadikan alasan. 

Pertambahan undi Pas lebih besar pertambahan undi BN, dapat dikesan di 10 kerusi parlimen: Tumpat, Pengkalan Chepa, Rantau Panjang, Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Maran.

 Di kerusi Pas kalah: di Besut, undi Pas meningkat sebanyak 8,104 undi (naik 43.14%) berbanding BN, 5,856 undi (19.33%), Hulu Terengganu, undi Pas naik sebanyak 5,403 undi (naik 36.98%), BN 4,159 undi (naik 14.98%), di Maran, 3,547 undi (naik 38.44%), BN 3,381 undi (21.71%) dari PRU12 ke PRU13.   

Bagi kerusi parlimen yang mempunyai antara 60 hingga 79 peratus pengundi Melayu, iaitu 42 kerusi, undi BN menerusi calon-calon UMNO, telah meningkat dari 853,839 undi dalam PRU12 kepada 1,128,378 undi dalam PRU13, iaitu pertambahan 274,539 undi atau naik 32.15 peratus. Sementara PR menerusi 22 calon Pas dan 20 calon PKR, semuanya Melayu, memungut 709,578 undi dalam PRU12, meningkat kepada 986,884 undi atau pertambahan 277,366 undi iaitu peningkatan undi 39.09 peratus.  

Angka tersebut dari segi peratusan kepada jumlah undi sah, BN memungut 54.59 peratus undi dalam PRU12, merosot kepada 53.23 peratus dalam PRU13. PR perolehi 45.36 peratus undi sah, meningkat kepada 46.55 peratus dalam PRU13, walaupun kehilangan 6 kerusi parlimen yang ditandingi oleh 3 calon pas (Jerai, Kuala Selangor dan Titiwangsa) dan 3 PKR (Merbok, Kulim Bandar Baru dan Bagan Serai).

Jika difokuskan kepada kawasan yang ditandingi oleh calon Pas iaitu di 22 kerusi parlimen, undi Pas meningkat dengan kadar yang lebih tinggi berbanding undi BN. Jumlah undi BN di 22 kawasan berkenaan dalam PRU12 ialah 417,418 undi, dan dalam PRU13, 538,373 undi. Undi BN meningkat sebanyak 120,955 undi atau pertambahan 28.98 peratus. Undi Pas, meningkat dari 350,094 undi kepada 495,170 undi iaitu peningkatan 145,076 undi atau 41.44 peratus, walaupun hilang 3 kerusi parlimen kumpulan ini. 

Di 22 kawasan berkenaan, peratusan undi dari jumlah undi sah yang dipungut oleh BN ialah 54.32% (PRU12) menurun ke 51.95% (PRU13). Sebaliknya prestasi calon-calon Pas lebih baik, meningkat dari  45.56%  ke 47.78%. Paparan ini menjelaskan prestasi calon-calon Pas lebih baik berbanding calon PR yang lain yang bertanding di baki 20 kawasan pengundi Melayu antara 60% - 79%. 

Daripada 22 kawasan yang ditandingi Pas, peningkatan undi calon Pas mengatasi peningkatan undi calon Melayu dari BN, di 14 kerusi parlimen. 4 kerusi yang dimenangi: Kota Bharu, Temerloh, Parit Buntar dan Shah Alam. 10 kerusi tewas: Kepala Batas, Tasek Gelugor, Lenggong, Kuala Kangsar, Sungai Besar, Jelebu, Jempol, Tampin, Parit Sulong dan Lipis.

Terdapat 31 kerusi parlimen dengan komposisi pengundinya campuran tetapi pengundi Melayu merangkumi antara 50 hingga 59 peratus. BN dan PR meletakkan calon berbagai kaum. BN meletak 19 calon Melayu menerusi UMNO, baki 12 calon bukan Melayu dari MCA, MIC dan Gerakan, sementara PR meletakkan 25 calon Melayu (21 PKR dan 4 Pas), serta 6 calon bukan Melayu (PKR (4), DAP (1) dan Pas (1).

Di 31 kawasan campuran majoriti Melayu ini, BN perolehi 759,717 undi dalam PRU12 berbanding 952,482 dalam PRU13. Peningkatan undi sebanyak 192,765 undi atau  25.37 peratus. Sementara undi kepada PR, meningkat dari 640,914 undi kepada 1,046, 091 undi, iaitu pertambahan 405,177 undi atau 63.22 peratus. 

Dari segi peratusan undi, undi BN telah merosot peratusannya dari 54.22 peratus dalam PRU12 kepada 46.96 peratus dalam PRU13. Sebaliknya, PR memungut 45.74 peratus (PRU12) dan 51.58 peratus (PRU13) dari jumlah undi sah. Dalam PRU13, 1.46 peratus atau 29,659 berjaya dipungut oleh parti-parti lain dan calon-calon bebas.

Pas hanya bertanding di 5 kawasan. Di kawasan yang ditandingi Pas tersebut, BN memungut 135,470 undi atau 60.04 peratus dalam PRU12, dan 168,080 undi atau 49.50 peratus dalam PRU13. Berbanding undi Pas dalam PRU12 ialah 90,161 undi atau 39.96 peratus dan dalam PRU13, memungut 170,209 undi atau 50.12 peratus. Ini membolehkan Pas menang di kerusi parlimen Hulu Langat dan Sepang, berjaya meningkatkan undi mengtasi BN di Ayer Hitam (peningkatan undi: Pas:8414, BN:1815), Simpang Renggam (peningkatan undi Pas: 5451, BN: 3304), Pulai (peningkatan undi Pas: 22,938, BN: 5715).

Di kawasan campuran, komposisi Melayu antara 40 hingga 49 peratus, terdapat 19 kerusi parlimen. Pas bertanding di satu kerusi sahaja, parlimen Kota Raja. Calon Pas berjaya pertahan kerusi dengan memungut 64.62 peratus undi. 

Dari paparan data-data di atas, Pas gagal meningkatkan kerusi walaupun berjaya mengatasi BN dari segi pertambahan undi, kerana undi Pas yang jauh ketinggalan atau kekalahan dengan majoriti besar dalam PRU12. Potensi untuk prestasi yang lebih baik dalam PRU14 mempunyai peluang yang tinggi. Paparan di atas juga menjelaskan, kemerosotan prestasi Pas lebih bersifat eksklusif. Penampilan Pas di sebelah utara gagal dipengaruhi oleh kebangkitan rakyat keseluruhannya. Justeru itu, meletakkan beban kepada tahaluf siasi tidaklah boleh dijadikan satu sasaran tepat dalam menyediakan kerangka sebuah kajian. 

Tahaluf siasi yang lebih bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya antara Pas dengan PKR dan DAP memberi merit kepada Pas berasaskan pencapaian parti itu di kawasan yang berbeza peratusan pengundi Melayu dan pengundi bukan Melayu. Sungguhpun peratusan undi yang menurun di kawasan majoriti mutlak Melayu (80% Melayu), tetapi sebaliknya di kawasan lain, memberikan harapan baru buat Pas, di masa mendatang, seandainya semakan persempadanan kawasan pilihan raya secara telus, adil dan tidak memihak.

Tahaluf siasi dalam dua PRU terakhir, sebenarnya merintis ke arah sistem dua parti, yang lebih serasi dengan amalan demokrasi pilihan raya "the first past the post". Keperluan tahaluf lebih menepati agenda demokrasi dengan keperluan sistem dua parti  untuk diadaptasikan dengan sistem pilihan raya yang kita amalkan. Ianya harus diasingkan dengan sistem undi popular atau pilihan raya berbilang parti, di mana sukar untuk diuruskan tahaluf seumpama itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan