Selasa, 1 Oktober 2013

Kerajaan Perpaduan

KEPERLUAN KERAJAAN PERPADUAN DALAM REALITI POLITIK MALAYSIA

Cetusan gagasan kerajaan perpaduan atau unity government (UG) yang  popular selepas PRU12 dulu, kedengaran semula dan antara isu menarik dalam masa terdekat. Sejauh mana agenda ini dapat direalitikan dalam konteks amalan demokrasi kepilihanrayaan negara kita, dapat disempurnakan.

Idea ini dicetuskan oleh kepimpinan utama UMNO atas alasan demi perpaduan Melayu dalam memperkukuhkan kerajaan yang sedia ada. Kebimbangan tergugatnya kuasa pemerintah sedia ada, seolah-olah satu ancaman yang akan merencatkan kedudukan orang Melayu. Sasaran ditumpukan kepada Pas supaya menyertai kerajaan atas nama kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan (UG) lebih popular dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan berasaskan undi popular. Perolehan kerusi di dewan legaslatif sesebuah parti diperuntukan berasaskan peratusan undi keseluruhan, sama ada di badan legislatif peringkat nasional, wilayah atau tempatan. Sistem ini amat popular dengan model Jerman Barat. Model Jerman meletakkan, sesebuah parti yang perolehi lebih 5 peratus undi popular keseluruah, layak untuk mendapat perwakilan di dewan legislatif. 

Keanggotaan dewan legislatif tertinggi atau parlimen Indonesia, Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) mengambil model di atas, dalam memperuntukan kerusi. Model ini adalah satu persaingan terbuka antara parti, di mana pengundi memilih parti. Sistem berbilang parti (multiparties) ini, mengemukakan senarai calon pilihan parti masing-masing. Jika satu parti perolehi 30 peratus undi popular, parti berkenaan layak mendapat 30 peratus kerusi dan calon dalam senarai parti di kedudukan 30 peratus teratas layak menjadi perwakilan dalam dewan legislatif. 

Inilah model sebenar pembentukan sebuah kerajaan perpaduan kerana komposisi perwakilan setiap parti adalah berasaskan kepada komposisi peratusan undi yang dipungut oleh parti itu. Andainya model ini diterimapakai dalam membentuk kerajaan perpaduan di Malaysia, berpandukan kepada keputusan PRU13 yang lalu, Barisan Nasional yang memperolehi 5.23 juta undi bahagian pilihan raya parlimen, adalah 46.48 peratus dari keseluruhan 84.84 peratus keluar mengundi dari jumlah 13.26 juta pengundi, boleh diperuntukan 106 kerusi di Parlimen, berbanding 133 kerusi dalam PRU13. 

Pakatan pembangkang sepatutnya berhak mendapat 116 kerusi. PKR yang dapat 2.25 juta undi adalah 20.00 peratus, menyamai 46 kerusi (berbanding 30 kerusi dalam PRU13). DAP, dengan perolehan 1.73 juta undi adalah 15.37 peratus, layak diperuntukan 36 kerusi, berbanding 38 kerusi dalam PRU13. Pas, yang dapat 1.63 juta undi adalah 14.48 peratus undi parlimen, patut diberi 34 kerusi parlimen (berbanding 21 kerusi hasil PRU13).

Kalau ikut model sebenar amalan kerajaan perpaduan, PKR dan Pas mendapat lebih banyak kerusi di Parlimen, berbanding dengan amalan demokrasi parlimen Westminster yang berasaskan perwakilan berkawasan "the first past the post". BN dan DAP lebih bermanfaat dengan amalan model Britain. 

Amalan demokrasi pilihanraya yang berasaskan perwakilan kawasan (constituency represantation) yang berlainan dengan model Britain, model yang dipopularkan oleh Peranchis. Model Peranchis yang mempastikan, parti atau calon yang menang adalah mewakili majoriti pengundi di sesuatu kawasan. Calon yang menang perlu perolehi lebih 50 peratus undi, jika gagal diadakan pilihan raya pusingan kedua, dengan memberi peluang kepada 2 calon undian tertinggi berentap secara satu lawan satu. Model Peranchis menggalakan persaingan berbilang parti, sementara model Britain, mirip kepada sistem dua parti, di mana model Peranchis lebih adil dan menepati "the first past the post". Justeru itu, amalan demokrasi ala Peranchis ini lebih popular hari ini dan dijadikan rujukan bagi negara-negara yang baru memperkenalkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Hasil keputusan PRU13 lepas menerusi model demokrasi berparlimen Britain, menghasilkan pembentukan kerajaan Persekutuan tidak mewakili taburan penduduk yang sebenar, majoriti kerusi dikuasai oleh BN menerusi UMNO, yang mewakili pengundi Melayu. Kaum Cina, kaum kedua terbesar tidak diwakili dalam kerajaan Persekutuan, lantaran kekalahan besar parti-parti komponen BN; MCA, Gerakan dan SUPP. Perwakilan sebenar dalam parlimen yang mewakili kaum ini yang menguasai pengundian di sektor bandar, adalah diwakili oleh DAP, menerusi 38 Ahli Parlimen. 

Amatlah wajar, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen model Britain, kerajaan perpaduan yang harus dibentuk di peringkat kerajaan Persekutuan, melibatkan BN dan DAP.  Penyertaan DAP, akan memberikan maksud sebenar "perpaduan" kerana DAP adalah parti kedua penguasaan kerusi selepas BN, dan semua kepentingan mewakili kepelbagaian kaum dapat dipertontonkan. 

Kerajaan perpaduan dengan BN menjemput penyertaan Pas, sebenarnya sebuah persepakatan yang menebalkan polarisasi kaum. Kerajaan perpaduan jenis ini meletakkan satu kaum utama di satu pihak dan satu kaum utama lagi di pihak yang bertentangan: kerajaan dan pembangkang. Tambahan pula, Pas masih gagal mempamirkan pengaruh merentasi sempadan demi intergrasi nasional, lantaran kegagalan Pas di Sabah dan Sarawak. UMNO dan DAP lebih terkedepan dalam menepati tafsiran ini,

Sebuah kerajaan yang menggabungkan sebuah parti yang menaja "satu Malaysia" dengan kelompok yang memperjuangkan "Malaysian Malaysia" sekian lama, akan dapat memperkukuhkan perpaduan kaum dan intergrasi nasional. Wajah-wajah rasialisme, ragionalisme dan pemikiran politik sempit akan terpinggir secara perlahan-lahan, seandainya kerajaan perpaduan menjadi kenyataan di negara kita, di peringkat kerajaan Persekutuan khususnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan