Jumaat, 20 September 2013

Persempadanan semula 4: kurangkan kerusi

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA MEMERLUKAN AGENDA MENGECILKAN  KERUSI PARLIMEN

Semakan persempadanan kawasan pilihan raya (delineation) akan dilaksanakan akhir tahun ini mengikut janji SPR. Itupun seandainya rang undang-undang berkenaan diluluskan oleh Parlimen dengan suara majoriti dua pertiga. Semakan ini yang sepatutnya bermula 2 tahun lepas, mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan, iaitu genap 8 tahun selepas semakan persempadanan terakhir, 2003. 

Dalam 4 siri persempadanan semula kawasan pilihan raya peringkat nasional yang lepas, semakan ini menghasilkan pertambahan kawasan pilihan raya,  sama ada negeri atau parlimen. Secara kebetulan, semakan persempadanan yang menambahkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum akhir yang memberikan prestasi kurang baik buat parti pemerintah. Persempadanan pertama (1973) selepas PRU3 (1969), persempadanan ketiga (1995) selepas PRU8 (1990) dan persempadanan keempat (2003) selepas PRU10 (1999). Cuma persempadanan kedua (1983), selepas PRU6 (1982) yang memberikan  kemenangan besar kepada parti pemerintah, BN, sebagai mandat untuk PM baru, DS Dr Mahathir Mohamad.

Lantaran kemerosotan yang paling tinggi diperolehi parti pemerintah dalam sejarah, PRU12 (2008) sepatutnya semakan persempadanan kelima diadakan bermula 2011, untuk membolehkan ianya digunakan dalam PRU13. Kegagalan BN menguasai dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat hasil PRU12, rang undang-undang berkaitan tidak dibentangkan dalam tempoh Dewan Rakyat ke 12. 

Setelah 50 tahun usia Malaysia ditubuhkan serta 56 tahun kemerdekaan, berserta beberapa wawasan dan perencanaan ke arah negara yang lebih maju dan ketinggian tamadun semakan persempadanan kawasan pilihan raya, sewajarnya mengambil kira faktor globalisasi dan transformasi. Semakan persempadanan bukan semata-mata untuk menambah kerusi pilihan raya di samping mengukuhkan dan mempertahankan kuasa pemerintah.

Sebagai sebuah negara yang menerima warisan sistem pilihan raya "the first past the post", amalan sistem parlimen Great Britain, haruslah mengambil kira amalan yang dilaksanakan di negara tersebut. Rang undang-undang menerusi "Parliamentry Voting System and Constituencies Act 2011 Part 2", bertujuan meminda Parliamentary Cinstituencies Act 1986, berfungsi menyemak persempadanan kawasan pilihan raya. Salah satu cadangan dalam akta ialah mengurangkan bilangan kerusi Dewan Perwakilan (House of Commons) daripada 650 kerusi kepada 600 kerusi. Pengurangan kerusi parlimen Great Britain ini adalah dengan wajaran menjadikan wakil rakyat yang dipilih lebih berkesan dan bermutu. Kadar seorang wakil rakyat dengan bilangan pemilih yang semakin besar mendorong kepada cabaran yang lebih tinggi perkhidmatan seorang penggubal undang-undang.

Akta berkenaan juga menggariskan wajaran bilangan pemilih  bagi sesebuah kawasan pilihan raya parlimen. Sesebuah kawasan pilihan raya hendaklah mengandungi tidak melebihi atau kurang 5 peratus dari purata nasional. Di samping itu, keluasan sesebuah kawasan pilihan raya, tidak melebihi 13,000 km persegi. Bagi kawasan yang melebihi 12,000 km persegi, lantaran kekurangan penduduk, bilangan pemilih hendaklah tidak kurang 5 peratus dari purata nasional.

Dengan mengasingkan Sabah dan Sarawak, berbanding Semenanjung, yang lebih dulu mencapai kemerdekaan dan lebih terkedepan dari segi pembangunan ekonomi, kemudahan komunikasi dan tahap sosio-ekonomi penduduk, fokus semakan persempadanan kawasan pilihan raya di Semenanjung sewajarnya menerima panduan dan merujuk Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011 tersebut. Rujukan dan panduan berkenaan untuk merangka dan menggubal persempadanan kali kelima nanti. 

Di Great Britain, menggunakan angka 5 peratus sebagai had perbezaan bilangan pemilih sesebuah kawasan pilihan dengan purata nasional, di Malaysia, yang lebih terbelakang berbanding Great Britain dari segi pemakaian sistem pilihan raya serta tahap kemajuan, kita bolehlah letakkan 10 peratus sebagai had perbezaan. Puratanya setiap kawasan pilihan raya parlimen di Semenanjung ialah 67,700 pemilih, berdasarkan angka pemilih yang digunakan dalam PRU13 yang lalu. Purata 67,700 pemilih ini adalah berdasarkan jumlah 11,177,742 pemilih bagi 165 kerusi parlimen dari Semenanjung.  

Purata pengundi bagi setiap kawasan pilihan raya parlimen di Terengganu ialah 79,368 orang, sedangkan negeri yang lebih maju seperti Perak, puratanya cuma 58,613 pemilih, Johor memiliki purata 61,742 pemilih, Pulau Pinang berpurata 65,044 pemilih.

Jika angka 10 peratus atau 6,700 pemilih, maksima bilangan pemilih sepatutnya 73,700 pemilih dan paling kecil ialah 61,000 pemilih bagi satu kerusi parlimen di Semenanjung. Terdapat 69 kerusi parlimen di Semenanjung, memiliki pengundi kurang dari purata nasional. Tolak 2 kerusi: Putrajaya (15,355 pemilih) dan Langkawi (37,390 pemilih) kerana kedudukan sempadan pentadbiran eksklusif dan faktor geografis, 67 kerusi atau kawasan pilihan raya parlimen tersebut sepatutnya dikurangkan sebanyak 16 kerusi kepada 51 kerusi sahaja. Penguruangan 16 kerusi ini, untuk mempastikan setiap kawasan pilihan raya parlimen mengandungi tidak kurang dari 61,000 pengundi. 

Kawasan pilihan raya parlimen Lenggong (28,018 pemilih), Padang Rengas (28,572), Gerik (32,614), Parit (33,600), Kuala Kangsar (33,602), Larut (46,695) dan Beruas (49,314) adalah kawasan yang bersempadan antara satu sama lain, boleh dicantumkan dalam 4 kawasan pilihan raya sahaja dengan purata, 61,000 pengundi setiap kawasan. 7 kerusi parlimen berkenaan, memiliki kemudahan urbanisasi, kemudahan komunikasi darat dan prasarana yang jauh lebih baik berbanding dengan kerusi parlimen Hulu Terengganu 63,543 pemilih) dan Setiu (67,280pemilih).

Kawasan pilihan raya parlimen Cameron Highlands (28,043 pemilih) dan Kuala Lipis (32,404 pemilih) perlu digabungkan menjadi satu kawasan pilihan raya sahaja. Kawasan pilihan raya parlimen Sabak Bernam (37,390 pemilih), Sungai Besar (42,923 pemilih) dan Tanjong Karang (42,410 pemilih), boleh dicantumkan dalam dua kawasan pilihan sahaja, dengan mengambil satu atau dua daerah mengundi bersebelahan dari kawasan pilihan Hulu Selangor. 

Kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang (40,271 pemilih), Jeli (43,340 pemilih) dan Kuala Krai (63,221) sewajarnya membentuk 2 kawasan pilihan raya sahaja. Kawasan pilihan raya parlimen Labis (37,787 pemilih), Sekijang (43,129 pemilih) dan Segamat (47,115 pemilih) bolehlah digabungkan untuk mewujudkan 2 kawasan pilihan raya sahaja. 

Kiranya had pemilih sesuatu kawasan pilihan raya parlimen tidak melebihi 10 peratus purata nasional, maksima jumlah pemilih sesebuah kawasan ialah 73,700 orang. Terdapat 62 kerusi parlimen di Semenanjung, melebihi 73,700 atau 74,000 pemilih. Pemilih di 62 kawasan tersebut sepatutnya dipecahkan kepada 77 kawasan pilihan raya atau penambahan 15 kerusi baru. Rasionalnya setiap 60,000 atau 70,000 pemilih diwakili oleh seorang ahli parlimen. Sebab ahli parlimen mewakili suara pengundi, tidak boleh dinisbahkan dengan setiap 1 juta pokok kelapa sawit atau getah diwakili oleh seorang ahli parlimen. 

Oleh kerana, kawasan yang mengandungi bilangan pengundi yang besar, adalah kawasan perbandaran, pinggiran bandar, dan semi-urban, dengan kemudahan sistem komunikasi yang baik, mungkin bolehlah ditingkatan had bilangan pemilih kepada peratusan yang lebih tinggi. Jika angka 20 peratus diambil kira, had maksima pengundi ialah 82,000. Terdapat 46 kawasan pilihan raya parlimen di Semenanjung melebihi 82,000 pemilih, yang boleh diselaraskan semula untuk memaksimakan jumlah pengundi yang setara, kepada 54 kawasan iaitu pertambahan 8 kerusi baru. 

Terdapat 14 kawasan pilihan raya parlimen mempunyai lebih 100,000 pengundi. Amatlah tidak wajar  ahli parlimen Kapar mewakili 144,000 pengundi, berbanding dengan wakil rakyat parlimen Kuala Kangsar, bandar di-raja, dengan cuma 33,000 pengundi. Dari segi pemodenan kehidupan rakyat disertai kemudahan prasarana tiada jauh bezanya antara Kapar dengan Kuala Kangsar, kedua-duanya kawasan majoriti pengundi Melayu, walaupun peratus pengundi Melayu di Kuala Kangsar lebih tinggi. Logiknya, kawasan pilihan raya Kapar perlu dipecahkan kepada dua kawasan, sementara Kuala Kangsar, perlu digabungkan dengan kawasan bersebelahan.

Lebih munasabah tanpa pengaruh dan kepentingan mana-mana parti politik, kawasan pilihan raya parlimen di Semenanjung memerlukan pengurangan 16 kawasan pengundi di bawah 61,000 orang dan menambah 8 kerusi baru dengan memecahkan kawasan pilihan raya yang mengandungi lebih 81,000 pengundi. Ini bermakna kerusi parlimen di Semenanjung, sebanyak 165 kerusi sekarang, memadai dengan 157 kerusi sahaja. 

Sementara kawasan pilihan raya parlimen di Sabah, yang puratanya 39,000 pengundi dengan 25 kawasan perlu dikekalkan, kerana faktor tersendiri dimiliki Sabah berbanding purata di Semenanjung. Faktor Sabah termasuklah kemudahan sistem perhubungan, taburan penduduk, ketidakseimbangan saiz kawasan pentadbiran, serta keistimewaan Sabah, dengan Perjanjian 20 Perkara semasa menyertai Malaysia. Semakan persempadanan kawasan pilihan raya tidak melibatkan negeri Sarawak, kerana semakan sudah diadakan di negeri itu dalam tahun 2006. Jumlah kerusi parlimen, 222 sekarang, memadai dengan 214 sahaja, andainya cara semakan di negara yang lebih maju dan lebih tua mengamalkan demokrasi kepilihanrayaan "the first past the post", dijadikan panduan dan rujukan.

Semakan persempadanan adalah lebih adil dengan memberi fokus kepada keseimbangan pemilih walaupun kawasan terpaksa diperluaskan, kerana dengan kepesatan pembangunan dan kemudahan sistem perhubungan membolehkan seorang wakil rakyat mewakili manusia bukan mewakili kawasan, dengan lebih berkesan. Tugasan, tanggungjawab serta bidang perkhidmatan adalah tidak sama antara seorang wakil rakyat parlimen (Ahli Dewan Rakyat) dengan wakil rakyat negeri (Ahli Dewan Undangan Negeri).

Apakah perkembangan penduduk, semakin banyak kawasan penempatan baru diterokai, serta kepesatan pertumbuhan pembangunan, menjadikan tugasan dan tanggongjawab seseorang pembuat undang-undang atau wakil rakyat lebih sophisticated. Keperluan orang ramai kepada wakil rakyat sebagai tempat mengadu, meminta bantuan dan penyelesai masalah, adalah lebih kepada wakil rakyat negeri (ADUN) berbanding wakil rakyat parlimen. Tanggungjawab dalam kebajikan, bantuan pertanian, kecemasan, kemudahan asas, adalah bidang-bidang pentadbiran di bawah kuasa kerajaan negeri, yang menjadi tanggungjawab ADUN. Ahli parlimen bertanggungjawab kepada bidang kerajaan Persekutuan; pelajaran, keselamatan, dasar-dasar negara, yang tidak memerlukan hubungan langsung orang ramai dengan wakil rakyat.

Saranan mengurangkan kerusi parlimen, tidak bermakna akan mengurangkan wakil rakyat negeri (ADUN). Kawasan pilihan raya negeri (DUN) boleh ditambah, kerana tidak menjadi syarat ada nisbah tetap satu kerusi parlimen dengan berapa bilangan kerusi negeri. Satu kerusi parlimen di pusat bandar mungkin mengandungi 2 kerusi negeri, dan satu kerusi parlimen luar bandar, kerana keluasan kawasan, mungkin satu kerusi parlimen yang terdiri dari 4 atau 5 kerusi negeri. 

Persempadanan kawasan pilihan raya yang asal yang digunakan dalam PRU1 (1959), setiap negeri mempunyai kadar atau nisbah tetap; kerusi parlimen dan kerusi negeri. Contohnya; di Kelantan 1 parlimen:3 kerusi negeri, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang 1 parlimen:4 kerusi negeri, Johor, Kedah, Perak dan Selangor 1 parlimen: 2 kerusi negeri. Perlis 1 parlimen: 6 kerusi negeri, Melaka 1 parlimen: 5 kerusi negeri.

Dalam persempadanan semula pertama (1973) dan kedua (1983), kaedah ini dikekalkan. Tetapi bermula persempadanan semula ketiga (1993), nisbah ini tidak digunapakai dengan taburan nisbah yang berbagai. Justeru itu, contohnya di Negeri Sembilan, kerusi parlimen  Jelebu (4 kerusi negeri), Jempol (4 kerusi negeri), Seremban (6 kerusi negeri), Kuala Pilah (5 kerusi negeri), Rasah (5 kerusi negeri), Rembau (4 kerusi negeri), Telok Kemang (5 kerusi negeri) dan Tampin (3 kerusi negeri). 

Sungguhpun kerusi parlimen dikurangkan, kerusi untuk DUN boleh ditambah kerana keperluan rakyat adalah menepati tanggungjawab wakil kerajaan negeri iaitu ADUN. Wakil rakyat DUN mempunyai masa yang luas bersama rakyat kerana sidang DUN cuma 3 kali setahun, 2 atau 3 hari satu sidang dan paling lama satu minggu untuk sidang belanjawan, berbanding seorang ahli parlimen terpaksa menghadiri sidang parlimen, biasanya 3 kali setahun, memakan masa 2 minggu setiap sidang dan 2 bulan untuk sidang belanjawan.

 



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan