Khamis, 12 September 2013

Persempadanan semula 3: perlunya roh demokrasi

PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHNRAYA MEMERLUKAN KEIKHLASAN MERAIKAN ROH DEMOKRASI PERWAKILAN

DS Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab dalam pengurusan parlimen dan pilihan raya, menyifatkan usaha untuk menyekat persempadanan semula kawasan pilihan raya, sebagai satu tindakan menzalimi rakyat (Berita Harian 01/09/13, halaman 4). 

Beliau mengambil sikap menyerang pihak yang tidak menyokong proses persempadanan, yang sepatutnya sudah bermula 2 tahun lalu, kerana Kerajaan Persekutuan yang gagal perolehi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, amat mengharapkan sokongan pembangkang (Pakatan Rakyat) untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan yang akan dibentangkan, paling lewat hujung tahun ini. 

Ketua Pembangkang Parlimen, DS Anwar Ibrahim, sudahpun menegaskan Pakatan Rakyat akan menetang rang undang-undang berkenaan selagi pucuk kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletak jawatan. Penegasan ini ditujukan kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR. Penipuan penggunaan dakwat kekal, pengundian awal melebihi jarak 3 antara hari mengundi awal dengan hari mengundi sebenar, senarai pemilih yang diragui dalam PRU13 tempoh hari, menciptakan krisis keyakinan masyarakat awam terhadap intergriti SPR. Masyarakat awam yang mewakili 53 peratus rakyat yang menolak BN dalam PRU13 tidak boleh dipandang ringan dan dipinggirkan oleh kerajaan minoriti 47 peratus.

TS Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR, mempertahankan persempadanan pilihan raya yang dibuat dalam tahun 2002, dengan memberi alasan keupayaan Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. PR mempunyai strategi mempertahankan kuasa dengan persempadanan yang ada (temubual beliau dengan Malaysiakini, 07/09/13).

Apa yang penting bagi TS Rashid, setiap parti politik perlu mencari strategi politik yang boleh disesuaikan dengan realiti garisan geografi dan kaum di negara ini. Persempadanan kawasan pilihan raya tidaklah boleh dipersalahkan atas kegagalan untuk menarik pengundi dalam persekiatran berbeza untuk memenangi kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Persoalannya dalam sistem "first past the post", penyusunan sempadanan kawasan pilihan raya yang berbentuk taburan pengundi yang amat jauh berbeza antara kawasan, walaupun faktor geografi diambil kira, seolah-olah menampakkan satu perancangan strategik untuk membantu parti tertentu menguasai majoriti kerusi. Mengambil asas perbicaraan tanpa mengasingkan kerusi negeri (Dewan Undangan Negeri) dengan kerusi parlimen, adalah suatu fakta yang tidak tepat dan terlalu umum kerana kedua-duanya dilingkungi oleh persekitaran yang berbeza. Bilangan kerusi negeri dalam sesebuah kawasan parlimen adalah berbeza antara negeri. Atas asas perbezaan ini, adalah tidak tepat menyamakan kejayaan BN mempertahankan kuasa kerajaan Persekutuan dengan kemampuan PR mempertahankan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. 

Kejayaan PR mempertahankan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, dengan memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN, tidak mencerminkan kejayaan berasaskan persempadanan memberi advantage kepada PR. Berbanding dengan pencapaian di kerusi parlimen, dengan purata 67,700 pengundi setiap kawasan parlimen, 5 kerusi parlimen di Kelantan memiliki bawah 60,000 pengundi, 4 di menangi BN (Jeli, Gua Musang, Machang dan Tanah Merah) dan satu dimenangi Pas (Rantau Panjang). 5 kerusi parlimen mengandungi lebih 70,000 pengundi, semuanya dimenangi Pas (Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas). 

Di Selangor dan Pulau Pinang sungguhpun PR memenangi kerusi majoriti kerusi DUN, dan memenangi lebih banyak kerusi parlimen berbanding BN, tidak dapat membantu menguasai lebih banyak kerusi parlimen keseluruhannya. Di Selangor, ada 7 kerusi parlimen melebihi bilangan 100,000 pengundi, semuanya dimenangi calon-calon PR. Sebaliknya, BN memenangi semua kerusi bilangan pengundi kecil, kurang 45,000 seperti kawasan parlimen: Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang, yang sepatutnya boleh digabungkan sebagai satu kerusi parlimen sahaja, untuk menyamai bilangan pemilih di Hulu Langat atau Kota Raja.

Dalam PRU13 lepas, purata pemilih setiap kawasan parlimen di Semenanjung ialah 67,700 orang, sementara di Sabah, 39,000 dan 35,500 orang di Sarawak. Di Semenanjung, daripada 165 kerusi parlimen, 67 kerusi atau 40.6 peratus mempunyai bilangan pengundi kurang dari 60,000 di mana 57 dimenangi oleh BN, cuma 10 kerusi sahaja dimenangi calon-calon pembangkang: DAP (5), PKR (3) dan Pas (2). Kawasan berkenaan tidak terbatas kepada kawasan pedalaman tetapi merangkumi berbagai latar ruang: luar bandar, pinggir bandar dan pusat bandar. Memberikan satu panorama corak memihak kepada parti yang dominan di kawasan berkenaan untuk terus kekal.  

Rasionalliti di sebalik tiada kesungguhan PR untuk menyokong kerja buat SPR dalam persempadanan kawasan pilihan raya dipengaruhi keperitan kerja-kerja berkenaan di masa lampau. Kejayaan Sabah dan Sarawak mempertahankan jenama fixed deposit BN dalam PRU13, walaupun berlaku kemerosotan, membimbangi PR, akan berlaku pertambahan lebih banyak kerusi parlimen di negeri berkenaan.

Kerja-kerja pendafatran pemilih dimanipulasi untuk memindahkan pengundi ke kawasan yang dimenangi UMNO/BN akan berterusan, di samping meramaikan pengundi Melayu di kawasan yang gagal dimenangi UMNO/BN. Strategi ini dibantu dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya, demi mewujudkan kawasan baru sama ada menambah bilangan kerusi yang mampu dimenangi BN atau memecahkan kawasan dimenangi PR, untuk memastikan wujud kawasan baru berpotensi untuk BN menang. 

Di samping itu, persempadanan semula akan memberi peluang untuk mengelakkan tsunami Cina, dengan menghimpunkan pengundi Cina dalam satu kawasan, walaupun bilangan pengundinya tidak menggambarkan kawasan bandar yang bilangan pengundinya besar. Pengalaman SPR mewujudkan kerusi negeri Kota Darul Aman, membuktikan aliran berkenaan. Di kawasan parlimen Puchong, yang terdiri dari 2 kerusi negeri: Seri Serdang dan Kinrara.  Kinrara, kawasan majoriti Cina, dengan hanya 34,241 pengundi, sementara Seri Serdang, majoriti Melayu dengan 72,769 pengundi (kerusi negeri paling tinggi pengundi di Selangor dalam PRU13), asalnya semata-mata untuk mempastikan kemenangan UMNO/BN di Seri Serdang, dalam PRU11. Dikhuatiri, jika pengundi dalam parlimen Puchong, diagihkan sama rata dalam dua kerusi negeri berkenaan, kerusi Seri Serdang tidak selamat buat UMNO/BN. 

Ada kemunasabahan, andainya cadangan rang undang- undang persempadanan kawasan pilihan raya gagal mendapat undian dua pertiga di Parlimen. Kerja buat persempadanan lampau, jelas mempertontonkan kerja-kerja tidak profesional badan ekskutif seperti SPR, yang sepatutnya melindungi kepentingan awam bukan untuk memenuhi agenda pihak tertentu yang berkepentingan. 



 

 ,

 



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan