Rabu, 17 Julai 2013

PRK Kuala Besut 2

16:16 SEBUAH MANIFESTASI PENDEMOKRASIAN SEMPURNA

Pilihan Raya Kecil (PRK) N01 Kuala Besut memungkinkan satu elemen baru dalam politik demokrasi kepilihanrayaan. Andaian ini berasaskan kepada keunikan PRK ini yang sedia maklum memberikan 2 kebarangkalian hasil: status quo (di mana DUN Terengganu kekal dengan majoriti tipis) atau kedudukan DUN Terengganu "hung" kerana kedudukan sama banyak kerusi kerajaan dan pembangkang.

Kemungkinan kedudukan kerusi DUN 16:16, sedang menanti. Dengan kerancakan kempen; di lapangan, calon BN dianggap sebagai orang luar kerana didatangkan dan tinggal di Putrajaya, sementara di media, calon Pas sebagai orang luar kerana ada kegiatan perniagan di Kota Bharu walaupun bermastautin di sebuah daerah mengundi dalam kawasan PRK berkenaan hampir setengah abad. Di peringkat lokaliti, isu peribadi calon ditonjolkan dengan calon Pas mendahulu calon BN, sementara di media ditonjolkan usaha pembangunan di kawasan ini dengan memberi kelebihan kepada calon BN. Di peringkat akar rumput, lebih menampakkan persaingan personaliti antara calon bidan terjun bertaraf profesional, Tengku Azihan Che Ku Abdul Rahman (BN) dengan calon budak kampung mewakili golongan korporat, Azlan Yusof atau dikenali dengan nama kampungan "Che Long" (Pas).

Andaian kedudukan 16:16 hasil PRK ini, bukan sekadar mengubah lanskap politik Terengganu, malah menjadi satu elemen baru dalam amalan sistem demokrasi berparlimen di negara kita. Sungguhpun kedudukan seumpama ini berlaku kepada DUN Selangor dan Perak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 3 (PRU 1969) bila berkedudukan, 14:14 dan 19:21, tetapi ada kelainan dengan PRK Kuala Besut. Kelainannya, memandangkan keputusannya hasil dari sebuah PRK yang boleh menentukan sebuah kerajaan, yang belum pernah berlaku.

Sungguhpun BN menang dengan majoriti yang selesa 2,434 undi majoriti atau 16.03 peratus, daripada jumlah undi sah, 15,184 undi dalam PRU13 tempoh hari, berdasarkan pengalaman PRK lampau, angka kemenangan sebesar itu bukanlah satu jaminan atau kedudukan selamat. 

Mengambil contoh PRK yang melibatkan kawasan luar bandar, PRK Parlimen P03 Arau dalam tahun 1998. Dalam PRU9 (PRU 1995), calon BN, Kamaruddin Ahmad menang dengan majoriti 6,926 undi atau 27.06 peratus, untuk mengalahkan calon Semangat 46, Mohd Zain Hamzah (bekas ADUN UMNO). Dalam PRK tersebut, akibat kematian Ahli Parlimen berkenaan, calon Pas bertanding setelah Semangat 46 terbubar dan sebahagian besar ahlinya masuk UMNO berjaya merampas kerusi berkenaan. 

Calon Pas, Ustaz Hashim Jasin berjaya mengalahkan calon UMNO/BN, Ismail Kassim dengan majoriti 1,232 undi. Sepatutnya, kerusi ini selamat untuk UMNO, kerana mendapat sokongan bekas ahli Semangat 46 yang meninggalkan Angkatan Perpaduan Ummah untuk menyertai UMNO. Kemenangan majoriti besar, 27.06 peratus tidak menjanjikan kemenangan.

Di Terengganu, pengalaman Pas merampas kerusi UMNO/BN menerusi satu PRK, berlaku di kerusi Telok Pasu, dalam tahun 1989. PRK Telok Pasu diadakan setelah kematian ADUN Ismail Yusoff. Dalam PRU7 (PRU 1986), Ismail Yusoff mewakili BN mengalahkan calon Pas, Mahmood Sulaiman dengan majoriti 726 undi atau 12.13 peratus, di mana terjumlah 6,398 undi sah. 

Dalam PRK Telok Pasu, calon Pas Ustaz Harun Taib berjaya mengalahkan calon UMNO/BN, Dato' Abdul Rahman Mohamad, dengan majoriti 141 undi. Kerusi Telok Pasu sebuah kerusi tradisi UMNO, yang telah memenanginya selama 4 PRU berturut-turut. 

Sementara di kawasan bandar, Terengganu mengalami satu episod Pas merampas kerusi UMNO/BN. Dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu, 2009, calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut berjaya mengalahkan calon BN, Wan Mohd Farid Wan Salleh, dengan majoriti 2,631 undi. Dalam PRU12, calon BN, Dato' Razali Ismail mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dengan 628 undi atau 0.96 peratus. 

Tiga kes ini, yang memaparkan kejayaan calon Pas merampas kerusi UMNO, sama ada di kawasan luar bandar atau kawasan bandar, telah disimpulkan faktor utama adalah ketiga-tiganya atas faktor batang tubuh calon. Saiz majoriti undi yang diperolehi oleh calon yang menang dalam PRU sebelumnya tidak menjanjikan atau menjaminkan kemenangan. Walaupun secara kebetulan isu hangat di peringkat nasional; gelombang reformasi (1998) dan krisis kepimpinan UMNO (1988/89) sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi di peringkat tempatan. 

Namun begitu, kes Kuala Terengganu ada kelainan dengan latar kes Arau dan kes Telok Pasu. PRK Kuala Terengganu, jaraknya cuma 9 bulan dengan PRU sebelumnya. Tiada isu nasional semasa. Isu tempatan dan isu calon lebih mendominasi iklim kempen.

Justeru itu, BN menang dengan majoriti 16.03 peratus menerusi Dr A.Rahman Mokhtar dalam PRU13, dalam jarak 2 bulan, membuka ruang terbuka siapa yang akan menguasai pilihan pengundi dalam PRK pada 24/07/2013 nanti. Isu calon lebih menjadi faktor dominan di samping isu tempatan, khususnya isu pemilikan tanah.

Seandainya Pas menang dalam PRK ini, menjadikan kedudukan 16:16, akan memperkukuhkan maksud asas demokrasi, iaitu untuk mengikis pembolotan kuasa di kalangan segelintir anggota masyarakat yang berkuasa. Kedudukan 16:16 menjamin kesamarataan, keseimbangan kuasa dan kematangan berpolitik akan tercapai di situ. Tiada pihak yang dominan, memberikan kesamarataan demi memperkukuhkan keadilan sosial. 

Kedudukan 16:16 amatlah disanjungi oleh pendokong masyarakat adil menerusi amalan demokrasi kerana keseimbangan ini akan mewujudkan perfect democraticization atau pendemokrsian sempurna. Kedudukan 16:16 ini secara langsung menjadikan gerakkerja masyarakat yang menjurus kepada persaingan yang sempurna (perfect compitition), dalam membentuk masyarakat adil, kesamaan dan peluang yang seimbang. Ini akan mematangkan agenda politik dan pembangunan fizikal dan roh, kerana akan menjuruskan semua orang kepada memberikan perkhidmatan terbaik, berintergriti, tidak rasuah serta telus. Sebarang kesilapan moral akan terus dihukum oleh pengundi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan