Ahad, 8 April 2012

TEMPOH KEMPEN

TEMPOH KEMPEN PILIHANRAYA DI TAHAP LAMA

Salah satu tuntutan dalam Jawatankuasa Pilihan Parliamen (PSC) Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya ialah tempoh berkempen ditetapkan kepada 21 hari. Ini untuk cadangan penambahbaikan kepada tempoh kempen amalan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menjalankan pilihan raya di Malaysia semasa ialah tidak kurang dari 9 hari. Tempoh 9 hari dianggap sebagai tidak praktikal dan terlalu singkat, khususnya bagi parti-parti kecil dan parti di luar Barisan Nasional, kerana tarikh pilihan raya tidak dimaklumkan awal.

Tarikh pembubaran dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat serta tempoh berkempen, adalah tarikh yang terdedah kepada spekulasi, kadang-kadang misteri, khususnya selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Pilihan Raya Umum ke 3 (PRU3) pada 10 Mei 1969 memberikan tempoh berkempen yang paling panjang, 40 hari. Hari penamaan calon pada 30 Mac dan hari buang undi 10 Mei. Kesannya, prestasi parti pemerintah, Perikatan, masa itu, amat buruk, selepas merdeka.

Justeru itu, bermula dari PRU4 (1974) tempoh berkempen dipendekkan kepada 16 hari (penamaan calon: 8 Ogos dan mengundi: 24 Ogos), PRU5 (1978): 17 hari dan PRU6 (1982): 15 hari. Bermula dari PRU7 (1986) tempoh berkempen cuma 9 hari (penamaan calon 24 Julai dan mengundi 3 Ogos), menghasilkan keputusan yang amat cemerlang bagi Barisan Nasional di kawasan luar bandar, di mana BN cuma kalah 1 kerusi luar sahaja di Semenajung, iaitu di Pengkalan Chepa. Kesan jarak akses maklumat yang amat terhad dan pergerakan jentera kempen parti lawan di kawasan luar bandar yang serba terbatas oleh faktor geografis, menafikan keberkesanan jentera kempen parti lawan. Sebaliknya, tidak menjejaskan jentera kempen parti lawan di kawasan bandar, sebab itu Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencatat sejarah prestasi cemerlang, menang 24 kerusi Parlimen, paling banyak, sejak parti itu ditubuhkan dalam tahun 1966.

Krisis dalaman UMNO yang membawa kepada pengharaman UMNO 1988, yang memberi kesan kepada sokongan masyarakat Melayu kepada UMNO. Kekalahan calon UMNO/BN, Haji Mas'ud Abdul Rahman dalam Pilihan Raya kecil Parlimen Johor Bahru kepada calon Bebas (bekas UMNO) Dato' Shahrir Abdul Samad dengan majoriti besar, melebihi 6,000 undi. Di samping kemenangan tipis calon UMNO/BN, Dato' Yunus Sulaiman dengan 35 undi, mengatasi calon PSRM, Abdul Razak Ahmad, dalam pilihan raya kecil Tanjong Puteri dan kemenangan tipis calon UMNO/BN, Yassin Kumari dalam pilihan raya kecil Parit Raja, kubu kuat UMNO, yang beberapa kali menang tak bertanding, mengalahkan calon Bebas (bekas UMNO) Hamdan Yahya, dengan majoriti 450 undi saja.

Di luar kubu Johor, UMNO hilang kerusi dalam pilihan raya kecil Telok Pasu, Terengganu kepada Pas. Sungguhpun calon UMNO menang dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu: Tambatan (Johor), Sungai Besar (Selangor) dan Pantai Merdeka (Kedah), tetapi undi perolehan adalah merosot berbanding pencapaian di kerusi berkenaan dalam PRU7 (1986).

Senario yang merobek rekod UMNO Johor sebagai kubu kuat UMNO, yang sentiasa menghasilkan beberapa kerusi menang tak bertanding sejak PRU2 (1964), menantikan PRU8, sesuatu yang mendebarkan. Justeru itu, UMNO berhdapan ancaman dan krisis keyakinan, apabila sebahagian anggota UMNO menyertai Parti Semangat 46, setelah kegagalan menubuhkan UMNO 46 kerana telah dipintas oleh UMNO (Baru), mereka bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah bersama Pas, Berjasa dan Hamin, serta Gagasan Rakyat bersama DAP dan PBS.

Parlimen dan dewan-dewan perundangan negeri dibubarkan pada 4 Oktober 1990 dan dalam tempoh 7 hari diadakan hari penamaan calon. Tempoh yang paling pendek dalam sejarah dan 10 hari masa berkempen, bila hari mengundinya 21 Oktober 1990. Sungguhpun tempoh masa pembubaran Parlimen dengan hari penamaan calon dan hari mengundi, paling pendek, tetapi kesannya tidak memihak kepada parti pemerintah. Krisis kepimpinan UMNO, sejak 3 tahun bermula 1987, memindahkan pengundi luar bandar ke pihak pembangkang, di samping sektor bandar. UMNO hilang semua kerusi di Kelantan. UMNO gagal pertahan 14 kerusi Parlimen. DAP masih menguasai kerusi sektor bandar dengan 20 kerusi Parlimen, Projek Tanjong 2 hampir capai sasaran bila DAP dapat 14 kerusi negeri berbanding 19 BN. Sementara PBS perkukuh kedudukan di Sabah bila kuasai 14 kerusi Parlimen.

Tempoh kempen yang pendek 9 hari digunakan dalam PRU10; hari penamaan calon 20 November 1999 dan mengundi 29 November  1999. Parlimen dibubarkan pada 10 November 1999. Ledakan gelombang reformasi bermula September 1998, berjaya mencapai sasaran ke masyarakat massa di luar bandar. Pas yang memperolehi sokongan terasnya di luar bandar yang kurang terdedah akses maklmat media baru, berjaya menghantar perwakilan paling ramai ke Parlimen sejak menyertai pilihan raya di Malaysia, bila menguasai 27 kerusi Parlimen. Di samping itu, berjaya kuasai 2 kerajaan negeri serta berjaya memenagi beberapa kerusi buat kali pertama di beberapa negeri seperti Pahang dan Selangor(kecuali semasa Pas dalam BN dalam PRU4 dulu). Di samping kehilangan 27 kerusi UMNO kepada Pas, UMNO juga hilang 5 kerusi Parlimen kepada Parti Keadilan Nasional (KeAdilan).

Gelombang 1998-1999 kurang menonjol  di sektor bandar, prestasi BN tidak terjejas, cuma kalah 9 kerusi kepada DAP, yang mewakili undi masyarakat bukan Melayu. Hasil PRU10, menampakkan kejayaan BN menguasai kerajaan banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu, yang menghasilkan kejayaan cemerlang calon-calon MCA, Gerakan dan MIC. 

Tempoh kempen bagi PRU12, adalah paling panjang dalam tempoh 20 tahun, 12 hari. Penamaan calon 24 Februari 2008 dan mengundi 8 Mac 2008, sementara Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008, jarak 11 hari dengan penamaan calon. Perubahan tempoh kempen ini, tidak memberi natijah yang positif kepada BN. Walaupun tempoh kempen itu masih dalam lingkungan pendek, berikutan akses maklumat lebih merata dan lebih cepat ke sasaran, mencipta sejarah bila pembangkang berjaya menafikan kuasa majoriti 2/3 BN di Parlimen serta paling banyak kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang. Sesuatu yang di luar jangkaan orang awam kerana isu nasional tidaklah sehebat suasana era 1988-1990 dan gelombang 1998-1999.

Dari pembentangan laporan PSC di Parlimen 3 April 2012 lepas, tempoh kempen ditetapkan minima 10 hari berbanding 9 hari peraturan asal SPR. Tempoh minima 21 ditolak dengan alasan melibatkan kos yang besar. Tuntutan Himpunan Bersih 2.0 tempoh kempen 21 hari antara 8 tuntutan dikemukakan ke PSC ditolak bersama 7 tuntutan lain, kecuali penggunaan dakwat kekal. Soalnya, sseorang calon yang bertanding sama ada pilihan raya negeri atau Parlimen, sudah dihadkan pebelanjaan pilihanraya mengikut Seksyen 23 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Tempoh kempen sama 9 hari atau 21 hari, tidak mengubah had perbelanjaan pilihan raya seseorang calon.

Apa yang penting, lebih adil dan telus ialah peluang sama rata kepada calon mengakses maklmat, calon sempat mngunjungi setiap peti undi atau lokaliti, khusunya di kawasan luar bandar yang garisan geografisnya lebih besar. Lainlah, jika tarikh pilihan raya sudah ditetapkan awal dan tempoh yang panjang, seperti amalan negara-negara maju atau negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Hari mengundi sudah ditetapkan dalam Perlembagaan bagi pilihan raya Amerika Syarikat yang setiap 4 tahun itu, begitu juga hari mengundi bagi pilihan raya Dewan Orang Ramai (House of Commons) Great Britain. Tidakkah impian PM hendak menjadikan Malaysia negara Islam pertama capai status negara maju (kenyataan PM di Perhimpunan Perdana Warga Agama dan Kariah Wilayah Persekutuan, Jumaat 6 April 2012).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan