Selasa, 10 April 2012

DAP TERAJUI KERAJAAN

MELAYU KALAH DAP AKAN PERINTAH MALAYSIA

Ungkapan yang paling popular: pemimpin UMNO beritahu orang Melayu kalau mereka kalah DAP akan memerintah Malaysia. Ingatan ini menjadi penyataan yang amat popular dilontarkan oleh pemimpin dan penyokong UMNO, selepas PRU12. Ingatan yang lebih bersifat politik akan menambahkan kegusaran di kalangan orang Melayu yang menjadikan media arus perdana dan majlis rasmi kerajaan, sebagai sumber rujukan utama serta menjadikan sumber maklumat tanpa prejudis.

Diinterpretasikankan penguasaan DAP bererti penguasaan orang Cina, DAP cuma menang di kawasan yang majoritinya pengundi Cina. Secara tidak langsung, DAP kuasai pengundi sektor bandar yang dikuasai oleh pengundi Cina, sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya, komposisi kaum mengikut 222 kerusi di seluruh negara semasa; ada 30 kawasan Parlimen di Semenanjung di mana 60 peratus pengundi adalah Cina, 6 di Sarawak dan 2 di Sabah. Jumlahnya 38, kawasan majoriti Cina, berdasarkan angka 60 peratus. Di Semenajung, ada 19 kawasan Parlimen campuran, di mana pengundi Melayu antara 40 hingga 50 peratus. Di samping itu 116 kerusi Parlimen di Semenanjung atau 70.3 peratus, merupakan kawasan majoriti Melayu: 42 kerusi (lebih 80 peratus Melayu), 47 kerusi (60 - 80 peratus Melayu) dan 27 (50 - 60 peratus Melayu).

Di Sabah, dari 25 kerusi Parlimen, 12 kerusi adalah mengandungi pengundi Bumiputera Islam melebihi 60 peratus. Sementara di Sarawak, 8 dari jumlah 31 kerusi Parlimen, adalah melebihi 60 peratus pengundinya dari kelompok Bumiputera Islam. Dari 222 kerusi Parlimen; 107 atau 48.2 peratus mengandungi pengundi Melayu dan Bumiputera Islam.

Dalam PRU12, DAP bertanding di 47 kawasan Parlimen, dalam kesefahaman pembahagian kerusi, untuk memboleh perlawanan satu lawan satu di seluruh negara. Maklumat terkini dari sumber Pakatan Rakyat, formula agihan kerusi PRU12, tak banyak berubah, terutamanya di Semenanjung. Jika faktor ini dijadikan asas analisis, kerusi yang akan ditandingi oleh DAP dalam PRU13, tak banyak berubah, kalau berubah pun tak lah sampai 60 kerusi, itupun diandaikan DAP akan bertanding di kawasan campuran. 

Di seluruh negara terdapat 17 kerusi Parlimen, mempunyai lebih 80 peratus pengundi Cina: 15 di Semenajung, 1 di Sabah dan 1 di Sarawak. Semuanya dimenangi oleh calon DAP dalam PRU12. Semuanya kawasan bandar. Di samping itu terdapat 21 kawasan Parlimen, di mana pengundi Cina antara 60 - 80 peratus dari jumlah pemilih: 15 Semenanjung, 1 Sabah dan 5 Sarawak, DAP menang 10 kerusi, semuanya di Semenanjung.   

Adalah amat nakal menyatakan, DAP akan perintah Malaysia. Kalau DAP menang semua kerusi yang ditandinginya, masih tidak melayakkan DAP mengepalai kerajaan, walaupun Perlembagaan tidak mensyaratkan: Melayu, Islam dan Bermazhab Shafie, sebagaimana syarat untuk Menteri Besar  di negeri-negeri yang diketuai oleh Raja Melayu.

Mungkin maksud pencacai UMNO berpegang kepada kenyataan di atas di samping memperlembukan rakyat, kerusi milikan orang Melayu di Parlimen akan berpecah. Dari 128 kerusi, orang Melayu dan Bumiputera Islam adalah melebihi 60 peratus di Semenanjung dan Sabah (Sarawak dikecualikan kerana UMNO tidak bertanding di negeri itu), kalau andaikan UMNO kalah separuh, yang separuh lagi tu, calon Melayu dan Bumiputera Islam dari Pas dan PKR. DAP masih lagi minoriti.

Ini berbeza dengan kes Perak selepas PRU12, sebab hakikatnya UMNO tidak kalah secara total. UMNO kehilangan beberapa kerusi sahaja. Yang kalah ialah MCA, Gerakan dan MIC. Situasinya keanggotaan penyokong kerajaan dengan pembangkang tak seimbang: kerajaan 31, pembangkang 28: Kerajaan: Melayu 9 : Bukan Melayu 22,  Pembangkan: Melayu 27 : Bukan Melayu 1. Kerajaan akan lebih stabil andainya Pas dan PKR menang lebih banyak kerusi dari DAP. Sepatutnya, pengundi Melayu lebih adil, jika orang bukan Melayu beralih ke DAP, mereka sepatutnya memberikan lebih kerusi kepada Pas berbanding UMNO.

Pengundi Melayu dan luar bandar, sepatutnya melihat kecenderungan dan ayungan pengundi bukan Melayu, khususnya orang Cina, untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, adil dan memenuhi inspirasi realiti politik semasa. Politik adalah percubaan dan andaian serta hipotesis menerusi pelbagai infrastruktur yang disediakan, utamanya instrumen pilihan raya. Berfikirlah demi masa depan negara dan ummah, bukan kerana kepentingan peribadi, yang lebih bersifat sementara. Berhujjahlah berdasarkan facts and figures. Galilah seberapa banyak maklumat, sumber dan asas fakta. Hindarilah pemikiran serta mentaliti dunia ketiga yang semakin kendur.

Sekadar renungan dari pandangan peribadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan