Ahad, 31 Disember 2023

Cabaran UMNO 2024

 

 CABARAN GETIR UMNO TAHUN 2024

Tahun 2024 lebih mendedahkan cabaran getir UMNO menghadapi kemelut dan isu panas tahun pertama keberadaan UMNO dalam kerajaan Madani. Tahun 2024 akan mempertontonkan ruang UMNO mengisi sokongan orang Melayu kepada kerajaan Madani, yang dibentuk menerusi persepakatan yang dipelopori oleh Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN), dengan parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak sebagai pelengkap. 
 
UMNO mewakili segmen Melayu dalam kerajaan Madani lebih tercabar berbanding tugasan UMNO sebagai blok dominasi dalam kerajaan Perikatan/BN lebih 60 tahun. Tugasan UMNO dulu lebih senang lantaran UMNO menguasai kelompok terbesar dikelilingi parti-parti komponen yang mewakili kelompok kecil, yang membentuk kuasa mutlak kepimpinan dominasi Melayu yang diwakili UMNO. Keputusan pentadbiran kerajaan pusat adalah keputusan UMNO, malah UMNO menentukan arah tuju parti-parti komponen. Justeru itu, BN menerusi UMNO mendapat sokongan besar di kalangan pengundi Melayu, di mana BN dianggap pelindung kuasa dan kepentingan orang Melayu. Sedikit perubahan di peringkat kepimpinan UMNO, memberikan impaks besar kepada sokongan untuk BN sebagaimana diperlihatkan oleh keputusan PRU8 (PRU 1990) dan PRU10 (PRU 1999), yang menyaksikan BN hilang banyak undi di sektor desa dan pinggiran bandar, yang rata-ratanya mewakili pengundi Melayu. 

Pendekatan diambil kepimpinan kerajaan Madani cuba mengetengahkan gambaran pemerintahan perpaduan merentasi etnik, keturunan, kepercayaan dan batasan geografis, diperteguhkan larangan menyentuh dan membangkitkan isu 3R (race, religion & royalty) dalam apa juga aktiviti, secara langsung memberi kesan besar kepada UMNO. Zaman pra Merdeka dan 60 tahun menguasai sebuah kerajaan Persekutuan, perjuangan UMNO adalah untuk kepentingan bangsa Melayu. Pengundi menyokong UMNO bersama BN lebih separuh abad berpaut kepada landasan perjuangan bangsa, dan diselitkan dengan perjuangan menegakkan agama, beberapa tahun lepas. 
 
Ada 4 isu besar yang mencabar kedudukan UMNO sebagai salah satu komponen utama dalam kerajaan Madani, yang dicetuskan dalam tahun pertama kerajaan Madani.
 
1. Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya (Delineation)
Kejayaan kerajaan Madani menguasai dua pertiga sokongan di kalangan Ahli Dewan Rakyat membuka jalan kepada pelaksanaan delineation exercises iaitu persempadanan semua kawasan pilihanraya yang sepatutnya dilakukan selepas 8 tahun, persempadanan semula terdahulu dilaksanakan. Persempadanan semula yang terakhir diadakan dalam tahun 2003, lantaran kegagalan kerajaan BN memperolehi suara dua pertiga di Dewan Rakyat, perkara ini diabaikan dalam tahun 2011 atau sebelum PRU13 (PRU13). Ini berlanjutan kepada PRU14 dan PRU15, masih menggunakan jumlah kawasan pilihanraya atau kerusi legislatif sama ada di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. 
 
Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan membolehkan kajian semula persempadanan kawasan pilihanraya, setelah setelah genap 8 tahun kajian semula dilaksanakan dan memerlukan sokongan suara dua pertiga ahli Dewan Rakyat mencadangkan pertambahan bahagian pilihanraya atau kerusi dewan legislatif.  Kerajaan Madani disokong oleh 148 ahli ditambah sokongan 5 ahli Dewan Rakyat dari pembangkang, sudah melebihi kecukupan suara majoriti dua pertiga. 
 
Setakat hari ini, sudah terlaksana 4 kali kajian persempadanan di mana setiap kali proses ini terlaksana ianya lebih bertatar belakang situasi dan impaks kepada politik yang memihak kepada kerajaan semasa. Kajian pertama, 1973 berlatar belakang situasi pasca 13 Mei serta prestasi parti Perikatan dalam PRU3 (PRU 1969) yang membawa kepada pembentukan BN. Kajian ini menambah 10 kerusi Parlimen; 9 kerusi luar bandar dan 1 kerusi bandar. 9 kerusi luar bandar di kawasan majoriti Melayu berlatarbelakang kawasan penguasaan UMNO; Hulu Muda (Kedah), Machang dan Kuala Krai (Kelantan), Hulu Nerus (Terengganu), Permatang Pauh (Pulau PinangDalam), Matang (Perak), Maran dan Jerantut (Pahang), Tanjong Karang (Selangor). Satu kerusi bandar ialah Petaling (Selangor). 

Kajian ini telah menjumlahkan kerusi Dewan Rakyat dari 144 kerusi (104 Malaya, 16 Sabah, 24 Sarawak) kepada 154 kerusi dan pertama kali digunakan dalam PRU4 (PRU 1974). Dalam PRU4, BN mengagihkan kerusi luar bandar; 7 kepada UMNO dan 2 kepada Pas, dan satu kerusi bandar kepada MCA. BN menang cemerlang dalam PRU4, di Malaya (Semenanjung Malaysia) UMNO berjaya menambah kerusinya di Parlimen, 52 yang dimenangi dalam PRU3 kepada 61 kerusi, Pas menambah dari 12 kerusi kepada 14 kerusi. BN hanya kalah di kawasan bandar yang diperuntukkan kepada MCA dan Gerakan, iaitu 9 kerusi Parlimen kepada DAP. Secara langsung kajian semula persempadanan 1973, menepati agenda untuk menambah perwakilan luar bandar menerusi UMNO dan Pas, 9 kerusi tambahan tersebut telah dimenangi mudah  oleh BN, sementara 1 kerusi bandar tambahan, dimenangi DAP, mewakili pembangkang.

Di peringkat bahagian pilihanraya negeri, kajian tersebut tertumpu menambahkan kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan luar bandar atau kawasan pengundi Melayu; 8 kerusi kepada DUN Pahang, Kelantan 6, Terengganu 4, Selangor 5, Pulau Pinang 3, Kedah 2, Perak 2. Tiada tambahan untuk kerusi DUN Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, yang merupakan kubu kuat UMNO.  Dalam PRU4, semua calon Melayu BN yang diperturunkan oleh UMNO dan Pas menang kecuali kerusi Batu Burok (Terengganu) dan Bayu (Kedah). Di Batu Burok, calon Pas mewakili BN, iaitu bekas ADUN Bukit Besar, menimbulkan rasa tidak hati di kalangan penyokong UMNO dan memberikan kemenangan kepada bekas ADUN UMNO kerusi tersebut yang bertanding sebagai calon bebas dan di Bayu, calon UMNO ditewaskan oleh calon bebas. 

Semakan persempadanan kawasan pilihanraya kedua yang dilaksanakan dalam tahun 1983, telah menghasilkan pertambahan 23 kerusi Parlimen: 18 di Semenanjung, 4 di Sabah dan satu kerusi Wilayah Persekutuan Labuan serta 39 kerusi DUN di Semenanjung. Dari jumlah 18 kerusi di Semenanjung, 8 kawasan majoriti Melayu; Sik, Kok Lanas, Marang, Tasik Gelugor, Mentakab, Rompin, Jempol dan Selandar. 5 kerusi campuran; Bayan Lepas, Gopeng, Kapar, Ampang Jaya dan Tebrau, 5 kerusi majoriti bukan Melayu; Kampar, Pucong, Batu, Seputeh dan Bakri. 
 
Persempadanan 1983 menampakkan semakan bukan berasaskan  memecahkan kawasan luar bandar untuk menambah kerusi majoriti Melayu tetapi lebih menyeluruh kepada kepentingan semua kaum, merangkumi keseimbangan sektor desa dan bandar. 

Kesan semakan persempadanan 1983 dapat disaksi pencapaian BN dalam PRU7 (PRU 1986). Jika mengukur impaks semakan persempadanan 1974, dianalisis berdasarkan pencapaian UMNO dan Pas dalam PRU4 di kawasan luar bandar, dengan penyingkiran Pas dari BN dalam 1977, bermula PRU5 (PRU 1978), ukuran pencapaian sokongan pengundi Melayu terhadap BN hanya dilihat kepada pencapaian UMNO sahaja. 

Dalam PRU7, BN mengagihkan semua kerusi baru majoriti Melayu kepada UMNO kecuali Selandar kepada MCA, sementara 10 kerusi campuran dan bandar yang baru diagihkan kepada Gerakan (Pucong dan Batu), MIC (Kapar) dan MCA mengambil baki 7 kerusi. BN menang 16 kerusi dan 2 dimenangi DAP. 

Kesan dari semakan persempadanan semula kawasan pilihan raya memberikan dua kesan berbeza. Pas yang bersaing dengan UMNO di kawasan luar hanya menang satu kerusi tunggal untuk Parlimen dan 15 kerusi DUN sahaja. Pencapaian yang paling rendah dicapai Pas dalam 7 PRU. DAP mencipta pencapaian terbaik dalam 7 ka;i PRU dengan memungut 14 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN di kawasan bandar. 
 
Semakan persempadanan kali ketiga, semakan 1993/1994, menambah 12 kawasan Parlimen baru dan 43 kawasan pilihanraya DUN. Bagi 12 kawasan Parlimen; 6 kawasan majoriti Melayu; Padang Besar, Langkawi, Jeli, Tenggara,  Paya Besar dan Gombak, 2 kawasan campuran; Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, 4 kawasan majoriti bukan Melayu; Petaling Jaya Selatan, Subang, Gelang Patah dan Segambut. 

Dalam PRU9 (PRU 1995), semua 12 kerusi tambahan dimenangi oleh BN menerusi calon UMNO (7), MCA (3), Gerakan (1) dan MIC (1) menjadikan pencapaian keseluruhan BN meningkat kepada kemenangan 162 kerusi berbanding 127 kerusi dalam PRU8 (PRU 1990). Semakan persempadanan 1993/1994 yang digunakan PRU9 membantu memulihkan kedudukan BN sebagai parti pemerintahan setelah kehilangan 53 kerusi Parlimen dan sebuah kerajaan negeri dalam PRU8. 

Kemenangan besar dalam PRU9 gagal dipertahankan BN dalam PRU10, apabila BN menerusi UMNO hilang banyak kerusi luar bandar dan kerusi majoriti pengundi Melayu. Alihan sokongan kepada Pas memberikan kemenangan besar Pas menduduki 27 kerusi Parlimen, di samping menguasai 2 kerajaan negeri, peningkatan sokongan Pas berlaku di semua negeri di Semenanjung kecuali sektor selatan; Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kerjasama dengan Pas, memberikan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) memperolehi 5 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar. Sebaliknya, di sektor bandar dan kawasan majoriti pengundi bukan Melayu banyak membantu BN pertahan kerajaan Persekutuan, dengan memberikan hanya 5 kerusi Parlimen kepada DAP. 
 
Semakan persempadanan kawasan pilihanraya kali keempat pada tahun 2003 bolehlah disifatkan sebagai natijah dari keputusan PRU10 yang mempamerkan BN menerusi UMNO kehilangan sokongan di kawasan luar bandar yang rata-ratanya dihuni pengundi Melayu di Semenanjung. Walaubagaimana pun, teras sokongan kepada BN; pengundi Bumiputera Sabah dan Sarawak serta penempatan rancangan pembangunan tanah FELDA terus menyokong BN bersama pengundi bukan Melayu di sektor kota, terus memihak kepada BN. 

Pelaksanaan semakan dan persempadanan 2003, menghasilkan 26 kawasan pilihanraya Parlimen baru. Lantaran kemerosotan sokongan orang Melayu di Semenanjung, UMNO khususnyam sebagaimana dipamirkan hasil PRU8 dan PRU10, semakan persempadanan diabaikan di negeri-negei majoriti Melayu; Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kecuali pertambahan 2 kerusi DUN di Kelantan; Bukit Bunga dan Nenggiri.
 
Fokus tambahan kerusi Parlimen adalah ditumpukan ke negeri yang tidak terjejas dengan gelombang Reformasi 1998, seperti Johor dan Sabah. Lebih banyak diwujudkan kawasan campuran gabungan pengundi Melayu di penempatan rancangan tanah FELDA dengan pengundi bukan Melayu di sektor kota. 
 
26 kerusi Parlimen tersebut taburannya; Perak (1), Pahang (3), Pulau Pinang (2), Selangor (5), Wilayah Persekutuan (2), Negeri Sembilan (1), Melaka (1), Johor (6) dan Sabah (5). Tiada semakan persempadanan di Sarawak, kerana kurang tempoh 8 tahun. 
 
Di Semenanjung, cuma 8 kawasan majoriti Melayu ; Lenggong, Indera Mahkota, Bera, Sungai Besar, Putrajaya, Rembau, Masjid Tanah dan Pengerang. 3 kerusi majoriti bukan Melayu; Cameron Highlands, Batu Kawan dan Bukit Gelugor. Baki 10 adalah kawasan campuran; Pandan, Puchong. Kelana Jaya, Kota Raja, Setiawangsa, Sekijang, Ayer Hitam. Sembrong, Pasir Gudang dan Tanjong Piai. 
 
BN menang besar dalam PRU11, menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Perlis, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Blok pembangkang hanya perolehi 20 kerusi sahaja (DAP (12), Pas (6), Keadilan (1) dan calon bebas (1) berbanding 45 kerusi dalam PRU10. Di peringkat DUN, BN merampas balik Terengganu dan hampir rampas Kelantan. 

Sepatutnya semakan persempadanan boleh diadakan dalam tahun 2011, tambahan pula kejayaan pembangkang menguasai 5 kerajaan negeri dan kemerosotan kerusi BN di Parlimen, memerlukan kerajaan BN yang menguasai kerajaan Persekutuan untuk berdepan dengan PRU13 (PRU 2013). Oleh kerana kegagalan BN memperolehi suara majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan untuk melaksanakan semakan persempadanan untuk menambah bilang kerusi. Kegagalan mewujudkan semakan persempadanan ini turut memerosotkan pencapaian BN hingga hilang kusa dalam PRU14 (PRU 2018).
 
Lantaran kerajaan Madani memiliki suara cukup meminda Perlembagaan untuk satu semakan persempadanan dan perubahan kerusi dewan legislatif, pastinya satu semakan persempadanan perlu sebelum PRU16. Sungguhpun Pengerusi DAP Nasional menafikan perubahan sempadan pilihanraya akan diakur ikut kehendak pemerintah dan menjelaskan kerajaan tidak akan campur tangan urusan SPR tetapi berlandaskan semakan-semakan terdakulu tidak dapat lari dari telunjuk dan keperluan pemerintah. 

Persoalannya sejauhmanakah peranan UMNO atau BN memain peranan hasil semakan ini tidak mengubah status quo agihan kerusi pada wajaran bandar-desa. UMNO sebagai kelompok mewakili segmen Melayu dalam kerajaan mengambil bahagian membuat keputusan yang menjamin kepentingan Melayu dalam membuat keputusan. Apakah pula pendekatan dan fokus yang akan digunakan oleh kerajaan Madani dalam semakan persempadanan ini, yang sudah tentu kepentingan dan kelebihan memihak kepada kerajaan Madani, di mana UMNO adalah sebahagian darinya. 

2. Pilihanraya Kerajaan Tempatan
Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Hwa telah menyarankan  pilihanraya kerajaan tempatan untuk memilih badan pentadbiran kerajaan tempatan dipraktikkan dengan pemilihan pentadbiran ibu negara, Kuala Lumpur sebagai printis. Saranan ini bukan baru cetusan kepimpinan DAP untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan yang telah dimansuhkan dalam tahun 1966. 
 
Keputusan DUN Pulau Pinang meluluskan enakmen mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan untuk membolehkan keanggotaan dua buah majlis temapatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya dipilih secara langsung telah diwartakan pada 05/07/2012.  

Ekorannya, Jab\'atan Peguam Negara mengulas enakmen teresebut batal dan tidak sah kerana Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menghalang sebarang pilihanraya kerajaan tempatan, mengatasi Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960. Justeru itu, kes ini diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 14/08/2014, yang menolak penguatkuasaan enakmen tersebut, fakta paling asas ialah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

Apabila kekuasaan kerajaan Persekutuan pimpinan kerajaan Madani, isu ini muncul semula, mungkin dengan kedudukan DAP yang semakin kukuh dan disegani berbanding semasa DUN Pulau Pinang pimpinan DAP meluluskan enakmen  pilihanraya tempatan dulu. 

Sejauhmanakah komitmen dan pendirian UMNO berhubung dengan pilihanraya kerajaan tempatan dengan fokus utama menguasai pentadbiran bandar-bandar utama, yang rata-ratanya bahagian besar berwakilrakyatkan Pakatan Harapan hasil PRU15. UMNO yang mengagendakan perjuangan utama untuk kepentingan Melayu akan diuji dengan cabaran lebih besar kesan pilihanraya tempatan kepada UMNO. 

3. Perdana Menteri Bukan Melayu
Veteran DAP, TS Lim Kit Siang mencetuskan idea orang bukan Melayu untuk jawatan Perdana Menteri akan datang. Pandangan Kit Siang mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menentu dan menetapkan syarat untuk jawatan PM selain sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat. 

Berbanding dengan syarat untuk jawatan ketua kerajaan atau Menteri Besar di negeri-negeri yang diperintah Raja-raja Melayu iaitu seroang ADUN yang dipilih, berbangsa Melayu, menganut Agama Islam dan mengamalkan Mazhab Shafie, kecuali Perlis tidak ikat dengan satu mazhab. Negeri-negeri tidak beraja, kepala kerajaan iaitu Ketua Menteri atau Premier, tiada syarat bangsa dan anutan agama. 

Pandangan Kit Siang lebih menepati gambaran sebuah kerajaan perpaduan yang cuba meletakkan persamaan taraf atau lebih terbuka, atau sebuah impian dan gambaran  masa akan datang bagi bangsa Malaysia. 

Sungguhpun jawatan PM terbuka di masa akan datang, peranan dan keterlibatan UMNO dalam menentukan dasar dalam masa terdekat menjelang PRU16, akan diperhatikan khususnya saingan  dalam segmen Melayu dengan parti-parti Melayu khususnya Pas dan Bersatu. 

Sebenarnya, kedudukan UMNO dengan memenangi 26 kerusi Parlimen  dalam PRU15, tetapi suara sebenar mewakili kepentingan Melayu diukur kepada pilihan yang dibuat oleh pengundi Semenanjung. Hanya 20 kerusi UMNO dari Semenanjung, sementara 6 kerusi dari UMNO Sabah. Sungguhpun UMNO Sabah adalah antara  memiliki jumlah ahli paling ramai, tetapi keanggotaannya termasuk bukan Islam, ada Ketua Bahagian UMNO dari etnik Bumiputera Bukan Islam. 
 
4. Campurtangan Bukan Islam Dalam Urusan Orang Islam
TindakanPengerusi DAP Perak merangkap Ahli Parlimen Beruas, Dato' Ngeh Koo Ham mencadangkan supaya orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, antara contoh usaha campurtangan dalam urusan orang Islam. Sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur memetik terjemahan ayat Al Quran bertujuan memperlekeh pendirian politik parti lawan beragama Islam. 

Tindakan-tindakan serta pendirian yang dimainkan oleh kepimpinan politik bukan Islam lebih merupakan usaha untuk mencabar jaminan-jaminan termaksud dalam perundangan berhubung kedudukan orang Melayu dan agama Islam. Tindakan ini boleh menjejaskan kedudukan parti-parti tertentu dalam kerajaan Madani khususnya UMNO. Apakah usaha UMNO agar tindakan-tindakan dan perkembangan yang tidak menguntungkan orang Melayu dapat dielakkan tempiasnya kepada prestasi UMNO menjelang PRU16. 
 
Apakah batasan penggunaan 3R sekadar untuk melindungi kelompok tertentu dan pilihan, yang memungkinkan UMNO yang memperjuangan Alif Ba Ta (agama, bangsa, tanahair) terhalang untuk bangkit dan pertahan diri.  Di manakah tatakelola yang telus dalam rangka intergriti yang murni, andainya segmen tertentu tidak diambil tindakan dalam cabaran terhadap kepentingan orang Melayu, institusi Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Pentas politik nasional 2024 dijangka lebih panas kesan dari isu-isu yang dibangkitkan dalam tahun 2023, sebagai tahun pertama dan tahun pengenalan kerajaan Madani. Nampaknya isu-isu tersebut lebih menjurus perhatian awam kepada peranan dan kedudukan UMNO dalam kerajaan. 

Selamat Tahun Baru 2024




 
 








 
 


















 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan