Selasa, 10 Oktober 2023

PRK Pelangai

 MENANG DALAM KEKALAHAN

Pertama sekali dirakamkan tahniah kepada calon Barisan Nasiona (BN), Amizar Abu Adam berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dalam pilihan raya kecil kelmarin, yang dimenangi oleh partinya sejak kewujudan kerusi berkenaan semenjak Pilihan Raya Umum 1986. Kejayaan beliau mengungguli 7,324 undi atau 62.37% undi tidaklah boleh dianggap sebagai satu kejayaan lantaran peningkatan sebanyak 16 undi berbanding pencapaian calon BN, mengutip 7,308 undi semasa memenangi kerusi Pelangai dalam Pilihan Raya Umum 15. 

Dalam PRK kelmarin, beliau meninggalkan lawannya dengan perbezaan 2,949 undi, mengatasi Kassim Samat dari Perikatan Nasional (PN) yang perolehi 4,375 undi dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli, yang hanya mengutip 43 undi. 

Dalam PRU15, BN bertanding secara solo selaku pemegang teraju kerajaan negeri masa itu, tetapi semasa PRK ini diadakan, BN berkerajaan bersama rakan gabungan Pakatan Harapan. Justeru itu, calon UMNO wlaupun menggunakan logo BN, tetapi hakikinya mewakili kerajaan Madani negeri Pahang, yang dibentuk bersama BN dan PH.Sepatutnya pencapaian calon BN kali ini diukur perbandingan undinya dengan gabungan undi dipungut oleh BN dan PH dalam PRU15. Gabungan ini menjumlahkan 9,339 undi iaitu 7,308 undi BN dan 2,031 undi calon PH. Calon BN walaupun menang setelah mengumpul undi terbanyak, 7,324 undi, kekurangan  2,015 undi berbanding pencapaian calon-calon PH-BN dalam PRU15.

Dalam PR15, seramai 12,828 dari jumlah 16,371 pemilih bahagian pilihanraya negeri N36 Pelangai atau 78.29% keluar membuang undi berbanding 11,862 pemilih dari jumlah 16,456 pemilih atau 72.08% dalam PRK kelmarin. Dalam tempoh dari PRU15 tahun lepas sehingga PRK, pemilih Pelangai hanya bertambah 85 orang sahaja. Jumlah pemilih menunaikan tanggongjawab dalam PRK berkurangan seramai 966 orang, sebaliknya undi yang mampu diperolehi oleh wakil kerajaan Madani berkurang dengan angka yang lebih besar, iaitu 2,015. Secara langsung memberikan gambaran berlaku alihan undi, iaitu pengundi atau penyokong BN atau PH telah mengubah pilihan mereka dalam PRK.  

Oleh itu, peningkatan undi calon PN sebanyak 1,115 undi dari 3,260 undi dalam PRU15 ke 4,375 undi lebih menepati pembentukan ada suara penolakan terhadap BN yang merupakan anggota komponen kerajaan Madani. Protes dalam bentuk undi ini memberikan satu mesej wujud unsur ketidakpuasan hari di kalangan sebahagian pengundi kepada prestasi dan perjalanan kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan arau kerajaan negeri hari ini. 

Peratusan keluar mengundi yang agak tinggi walaupun kurang berbanding PRU15, tetapi angka 72.08% lebih baik berbanding dengan mana-mana pilihan raya kecil atau Pilihan Raya Negeri (PRN) mutakhir ini. Malah angka ini, menepati sasaran lebih 70% oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Walaupun arahan dari Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar, kepada penyokong UMNO supaya menasihatkan anak masing-masing di perantauan supaya tidak mengundi, peratusan keluar mengundi masih tinggi.

Hasil pencapaian BN dalam PRK ini manggambarkan walaupun BN menang dan berjaya pertahan kemenangan yang lebih banyak dibantu oleh rakan sekutu dalam kerajaan Madani. Undi BN, UMNO khususnya telah berlaku ayunan 1,000 undi dan 1,000 undi penyokong UMNO tidak keluar mengundi, undi PH sebanyak 2,000 undi dalam PRU15 memihak ke BN kali ini. 

Komposisi pengundi di Pelangai terdiri dari 74% Melayu dan baki 26% bukan Melayu, dengan majoritinya 77% dari etnik Cina. Mengambil angka peratusan keluar mengundi 72%, bermakna seramai 8,700 pemilih Melayu dan 3,000 pemilih bukan Melayu telah keluar membuang undi. Jika undi PN keseluruhan dari pengundi Melayu, bermakna undi dari pemilih Melayu adalah seimbang antara kedua-dua parti, sekitar 4,300 undi. Undi bukan Melayu, 3,000 undi adalah undi solid untuk BN. Ini diambil kira dari petunjuk PRU15, 95% undi dari kalangan bukan Melayu adalah milik PH. Mengambil kira kes Pelangai, agak kelainan kerana PH hanya perolehi 2,031 undi dalam PRU15, yang bolehkan ditafsirkan hanya sekitar 65-70% sahaja undi bukan Melayu memihak kepada PH. 

Pengundi bukan Melayu menentukan kemenangan dan juga saiz majoriti diperolehi oleh calon BN dalam PRK Pelangai, lantaran undi pemilih Melayu adalah 50:50 antara BN dan PN. Tidak keterlaluan untuk menatijahkan kemenangan BN lantaran kegagalan PN menarik undi bukan Melayu dan BN bernasib baik lantaran walaupun kawasan Pelangai satu kawasan majoriti Melayu dan bersifat luar bandar, tetapi angka 26% pengundi bukan Melayu agak dominan. 

Kejayaan PN menerusi calon Pas meningkatkan undi sebanyak 34.20% berbanding pencapaian dalam PRU15, lantaran faktor kubu kuat dan kerusi tradisi UMNO, PN gagal meletakkan pencapaian di Pelangai menyamai pencapaian di kerusi Ceka, Lanchang dan Beserah, dalam PRU15. Peratusan pengundi Melayu di Ceka, Lanchang dan Berserah menyamai peratusan pengundi Melayu di Pelangai. PN menang besar di Beserah, malah jika digabung undi BN dan PH masih gagal mengatasi undi PN. Dalam PRU15, PN menguasai 17 kerusi dalam DUN Pahang, selain kerusi Ceka, Lanchang dan Beserah, semua 14 kerusi lain dimenangi PN di kawasan pengundi Melayu melebihi 78% dari jumlah pengundi kerusi berkenaan. 

Kemenangan calon BN sepatutnya lebih besar lantaran kemenangan PRU15 hasil persaingan 3 penjuru bersama PH dan PN, apabila saingan dua penjuru dengan sokongan PH, sepatutnya majoriti diperolehi lebih besar. Sebaliknya majoriti semakin kecil, malah undi PN meningkat. Kemenangan BN bolehlah disifarkan menang dalam kalah kerana kemerosotan undi gabungan serta majoriti kemenangan. Sebaliknya PN yang kalah dalam menang kerana berjaya mngurangkan majoriti serta menarik undi lawan, dalam saingan sebuah parti mewakili sebuah kerajaan Persekutuan dan negeri.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan