Ahad, 9 April 2023

UMNO dan PRN

 SEJAUHMANA KEUPAYAAN UMNO MAMPU BERI KEYAKINAN KEPADA PENGUNDI MELAYU 

Selepas kerajaan campuran PH-BN melewati usia 100 hari pentadbirannya, persoalan masakini ialah sejauh mana UMNO sebagai parti keramat, parti utama umat Melayu dan Islam mampu main peranan tradisi tempat pergantungan nasib orang Melayu. Kendatipun, UMNO sebagai parti nombor tiga berasaskan perwakilan dalam kerajaan selepas DAP dan PKR, penampilannya lebih dibayangi oleh peranan PH. 

UMNO baru selesai mengadakan pemilihan kepimpinan di semua peringkat, yang menampakkan penampilan kepimpinan baru khususnya di peringkat Pusat, meletakkan persediaan UMNO untuk berdepan dengan politik semasa dan mendatang. Ujian kini ialah sejauhmana kepimpinan baru UMNO akan membawa UMNO berdepan dengan ujian terbesar ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, tahun ini. 

Setelah penolakan secara langsung kelompok pengundi teras, hasil kegagalan UMNO bersama BN memperbaiki pencapaian dalam PRU15, yang boleh disifatkan kegagalan berganda setelah prestasi lebih teruk berbanding PRU14. Cabaran utama UMNO bersama saf kepimpinan baru memujuk rayu kelompok teras sokongan UMNO yang berpengkalan di kawasan desa, rancangan penempatan tanah FELDA, pinggir bandar, yang rata-ratanya komuniti Melayu, kembali menyokong parti keramat ini. Jika UMNO bersama BN mampu membina imej baru yang meyakinkan pengundi dalam PRN Melaka dan PRN Johor, dengan memberikan kemenangan besar, dengan meletakkan prestasi PRU14 sebagai tindakan sementara untuk menyedarkan kesilapan, keangkuhan dan kehebatan masa lampau.

Prestasi UMNO dalam PRN nanti tidak boleh bergantung kepada sokongan rakyat kepada kerajaan yang menguasai kerajaan Persekutuan hari ini. Kalau dalam beberapa siri PRU sebelum 2008, BN berani meletakkan calon-calon bukan Melayu dari MCA, MIC dan Gerakan di kawasan majoriti Melayu, dengan mengambil pendekatan pengundi memilih siapa saja yang bertanding atas logo Dacing, dengan ketepikan etnik calon. Calon Gerakan dari kaum Cina boleh menang bergaya di kerusi Parlimen Gerik, kawasan majoriti Melayu, kawasan luar bandar,  yang ditentang oleh calon-calon Melayu dari parti lain. 

Kemenangan calon-calon BN bukan Melayu mengatasi calon Melayu parti lawan, adalah satu lumrah, sebelum 2008. Contohnya Parlimen Hulu Selangor (MIC). Parlimen Simpang Renggam (Gerakan), Parlimen Kapar (MIC), Parlimen Alor Setar (MCA), Parlimen Padang Serai (MCA), Parlimen Bandar Tun Razak (MCA). Walau bagaimanapun, di setengah tempat asal keturunan calon menjadi satu perkara yang sensitif. Dalam PRU 1959, dalam agihan kerusi PRN Kelantan, MCA diberikan 3 kerusi untuk ditandingi: Bandar Hilir (bandar Kota Bharu), Tumpat Tengah (sekarang Kelaboran) dan Ulu Kelantan Barat (sekarang Parlimen Gua Musang dan sebahagian Kuala Krai). Tumpat Tengah dan Ulu Kelantan Barat adalah kawasan majoriti Melayu, melebihi 80 peratus pengundi Melayu. MCA hanya menang di Bandar Hilir sahaja. Sejak tahun 1959, hingga hari ini, BN hanya meletakkan calon UMNO sahaja. Dalam PRU 1986, BN telah memberikan kerusi Guchil kepada MCA, kawasan majoriti 80 peratus Melayu, memberikan kemenangan mudah untuk calon Melayu dari Pas. 

Dalam PRU15, bagi kerusi negeri, calon MCA gagal pertahan kerusi yang dimenangi dalam PRU14. Kerusi Titi Tinggi (DUN Perlis) pengundi Melayu 78% dan Cheka (DUN Pahang)  pengundi Melayu 72%, kedua-duanya menjadi milik Perikatan Nasional.

Hingga kini, belum lagi dimuktamadkan adakah calon-calon UMNO, MCA dan MIC akan menggunakan logo BN dan PH menggunakan logo sendiri dalam PRN nanti. Apakah penyokong kerajaan campuran PH-BN akan undi siapa calon yang bertanding mewakili kerajaan campuran tanpa mengira logo atau parti komponennya. Apakah ada jaminan yang tinggi bahawa penyokong PH dari PKR, DAP dan Amanah akan memberikan undi kepada calon UMNO yang menggunakan logo BN. Ada kedengaran, pihak PKR dan DAP membayangi akan korbankan kerusinya untuk dihadiahkan kepada UMNO dan rakan-rakannya. dalam agihan kerusi menjelang PRN nanti. Sejauhmanakah semangat setiakawan dalam kerajaan PH-BN dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi, demi mempertontonkan kepada khalayak massa, keakraban dan pengorbanan demi survival politik semua pihak serta kestabilan politik nasional.

Apakah penawaran UMNO kepada masyarakat pengundi untuk meletakkan parti hebat dan berjasa besar ini terus relevan pada perkiraan politik orang Melayu. Justeru itu, apakah tindakan balas UMNO atau pendirian UMNO berhubung beberapa isu yang sengaja dimunculkan menerusi kerajaan baru ini. Sungguh Jom Ziarah Gereja ditangguhkan, acara majlis sambutan hari wanita yang sengaja mempertontonkan agenda LPBT, boleh hilang dan selesai justeru jaminan perlindungan oleh kuasa pemerintah. Namun begitu, ianya bersifat sementara lantaran tidak menguntungkan parti dan kerajaan hari ini, tetapi dalam diam atau sulit gagasan ini menyembunyikan diri barang seketika saja, sementara menunggu masa yang sesuai.

Ketidakterlibat mantan PM, DS Ismail Sabri dalam kepimpinan parti, pengguguran Ketua Menteri Melaka, menyukarkan UMNO kembali ke kedudukan asal dalam masyarakat sebagai wadah perlindungan orang Melayu, di zaman masyarakat peka maklumat yang pantas, padat dan mudah diperolehi. 

Sejauhmana keyakinan khalayak komuniti Melayu kepada UMNO dengan kekuatan 26 kerusi Parlimen yang banyak bergantung kepada kedudukan Presiden parti sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pulihkan UMNO dengan kuasa dan kedudukan TPM, mewakili parti setelah dipilih tanpa bertanding menerusi pindaan Perlembagaan parti atas kuasa atau bantuan Menteri Dalam Negeri dari PKR. Setelah kajian tahap sokongan rakyat selepas 100 hari, yang memaparkan orang Melayu majoritinya tidak menyokong kerajaan hari ini. Pandangan mereka tidak berubah sebagaimana apa yang mereka zahirkan dalam PRU15. 

Dalam PRN Melaka dan PRN Johor, mantan PM DS Najib belum dipenjarakan dan bergerak aktif mrmbantu parti, memberi kesan besar kepada pencapaian UMNO dan BN. Imej di mata rakyat, seolah-olah tidak bersalah. Berlainan semasa PRU15, beliau berada di dalam, memberikan impaks dan panorama berbeza. Apa pula, andainya beliau mendapat pengampunan Di Raja, boleh mengubah senario dan gambaran minda khalayak masyarakat. Apapun tunggu dan lihat sahaja, drama masih belum di penghujung. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan