Ahad, 30 April 2023

Faktor Najib

 FAKTOR PENGAMPUNAN NAJIB KEPADA KERAJAAN PERPADUAN PH-BN

UMNO telah mengambil keputusan mengagendakan pengampunan Di Raja mantan PM DS Najib Razak sebagai tumpuan utama dalam masa terdekat. Ini susulan Mahkamah Persekutuan telah menolak usaha mantan PM menyemak hukuman yang dikenakan ke atasnya serta pemenjaraan berhubung kes rasuah SRC International.

Usaha kepimpinan parti membela bekas pemimpinnya, adalah hak mereka sebagai pemimpin parti, yang sudah tentu menjadi hak tanpa berbelah bagi para ahli menyokong dan mendoakan realitinya. 

Di samping itu, kes rasuah Presiden UMNO yang sedang dibicarakan telah ditangguhkan hingga Ogos, untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat siasatan lebih terperinci. Beliau sedang berdepan 47 tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram. 

Faktor mantan PM lebih terarah kepada impaks dan kemungkinan natijah politik khususnya kepada persiapan parti-parti utama dalam kerajaan campuran PH-BN menghadapi  Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini. Sejauhmana masing-masing parti mampu mengekalkan undi yang diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) setelah membentuk kerajaan campuran serta tambahan undi ekoran kemungkinan undi yang diperolehi olah Perikatan Nasional (PN) akan berkurang lantaran peralihan sokongan kepada parti yang membentuk kerajaan.

Perubahan pendirian atau sokongan akan berubah lazimnya mengikut tempoh masa. Dalam jangka masa pendek, akan ada perubahan kecil, tetapi dalam jangka masa panjang atau tempoh lebih lama, pastinya perubahan lebih besar kerana pengundi atau masyarakat massa akan terasa dengan perubahan tampuk pemerintahan. Justeru PRU15 baru saja berlalu 5 bulan, belum nampak jelas apakah perubahan atau impaks besar kepada orang awam dari segi keselesaan dan kebajikan kepada rakyat. oleh kerana hanya sekadar perubahan pemerintahan saja, rakyat belum merasai dengan jelas keberuntugan kerajaan baru. Jika berlaku perubahan pun, dianggarkan umumnya pergerakan undi 10 peratus undi PN kepada kerajaan campuran PH-BN. 

Pergerakan alihan undi dalam tempoh sekitar  5 hingga 7 bulan, di mana PRN di enam negeri dijangka dalam bulan Julai atau paling lewat Ogos tahun ini, Pas yang menguasai kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka tidak tergugat. 

 Dalam PRU15, Pas/PN menguasai 631,201 undi di Kelantan, sementara undi BN campur PH ialah 352,959 undi, diandaikan semua pengundi PH akan menyokong BN tanpa berbelah bagi, dan keadaan yang sama semua penyokong BN akan mengundi calon PH, sekiranya berlaku agihan kawasan bagi membolehkan campuran PH-BN menentang PN secara satu lawan satu dalam PRN nanti. Jika berlaku alihan 10 peratus undi PN, bermakna 63,000 undi PN akan menyokong campuran PH-BN, yang memberikan 416,000 undi kepada PH-BN, PN masih berbaki 568,00 undi. Perkiraan ini bersandarkan peratusan keluar mengundi 71.5% dalam PRU15, kiranya trend keluar mengundi yang sama dalam PRN nanti, anggaran perolehan undi dua petarung utama: PH-BN dan PN. 

Di Terengganu, jumlah undi dipungut oleh BN dan PH ialah 275,037 undi, berbanding undi perolehan PN sebanyak 461,501 undi. Jika berlaku pergerakan undi 10% dari PN ke PH-BN, PN akan kehilangan 46,000 undi yang mungkin menambahkan undi PH-BN kepada 321,000 undi, berbanding PN yang masih ada 415,000 penyokong, mengambilkira situasi sama sebagaimana kes Kelantan di atas. Andaian ini berasaskan kepada peratusan keluar mengundi 80.95% dalam PRU15 di Terengganu. 

Sungguhpun PN tidak dapat sapu bersih kerusi Parlimen dalam PRU15 di Kedah berbanding Kelantan dan Terengganu, jika diambil andaian jangkaan perubahan sokongan sebagaimana kes Kelantan dan Terengganu, situasi yang sama akan berlaku di Kedah. Di Kedah, jumlah undi diperolehi oleh BN dan PH ialah 516,796 undi, sementara PN merangkul 664,720 undi. Andaian peralihan undi 10% dari PN kepada PH-BN akan memberikan 599,000 undi kepada PN, dan PH-BN masih ketinggalan, dengan jangkaan 581,000 undi, sekiranya peratusan keluar mengundi masih kekal 77.51% sebagaimana PRU15. 

Andaian di atas diberi perhatian kepada 3 negeri: Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menjadi medan tradisi pertarungan seimbangan antara UMNO dan Pas, walaupun ada peranan parti-parti lain seperti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, tetapi dibayangi oleh dominasi medan oleh UMNO dan Pas. Persoalan semasa ialah impaks dari pengampunan Di Raja dalam kes mantan PM. Apakah kes mantan PM ini tidak menggugat setiakawan dan perjuangan dalam kerajaan campuran yang membantut peralihan sokongan rakyat dari PN kepada PH-BN. Apakah kes ini mampu mengukuhkan perpaduan kerajaan yang baru dibentuk tanpa menjelaskan di mana keberadaan perjuangan "no Anwar no DAP" dan menentang kleptokrasi dan rasuah masakini. Apakah penyokong akan meletakkan ke tepi persoalan yang tidak terjawab ini, demi memastikan negeri-negeri majoriti Melayu menyokong kerajaan campuran serta menafikan penolakan 55% orang Melayu gagasan kerajaan campuran yang diterjemahkan di peti undi dalam PRU15 dan diperkukuhkan dalam kajian rambang media selepas 100 hari pembentukan kerajaan campuran Persekutuan.

Isu ini sengaja dilontarkan untuk melihat sejauhmana sikap keterbukaan pendokong parti-parti yang menguasai pemerintahan hari ini menyelesaikan isu atas sikap taawun, bertolak ansur dan solidariti, demi pembinaan jatidiri sebuah negara bangsa. Ini lantaran keberadaan UMNO yang semakin pudar bermula Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 2008), selepas menguasai 90 peratus kerusi Parlimen di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam PRU15, undi kepada calon-calon BN di Kelantan, telah merosot sebanyak 54,718 undi atau penurunan 17.08%; dari 320,384 undi (PRU14) kepada 265,666 undi. Undi PH telah merosot sebanyak 13,843 undi atau 13.69% dari undi PRU14 ke PRU15. Apakah dengan roh keberadaan mantan PM dalam medan PRN nanti akan membantu mengembalikan kehilangan lebih 50,000 undi ke bakul dacing di bilik pengiraan undi, mengambil semangat pengalaman PRN Johor tahun lepas dan PRN Melaka (2021). Itu belum dihitung, usaha sahabat PH menarik semula penyokongnya yang telah meninggalkan pentas untuk kembali bersama membantu parti yang membentuk kerajaan hari ini. 

Di Kedah, BN kehilangan undi sebanyak 46,930 undi atau 16.62% dari PRU14 ke PRU15. Lebih tenat, PH alami pengurangan undi sebanyak 80,813 undi atau 22.31% dari PRU14 ke PRU15. Situasi inilah yang membantu PN meningkatkan undinya sebanyak 369,307 undi atau peningkatan 125.01%, dari 295,413 undi (PRU14) ke 664,720 undi (PRU15). 

Di Terengganu, walaupun pengurangan undi BN lebih kecil berbanding Kelantan dan Kedah; dari 252,461 undi (PRU14) ke 234,392 undi (PRU15) iaitu 18,069 undi atau kemerosotan 7.16%, tetapi agak mencabar untuk mengejar Pas/PN yang meningkatkan undi sebanyak 49.72%, atau 153,249 undi daripada 308,252 undi (PRU14) ke 461,501 undi (PRU15). 

Sungguhpun isu pengampunan mantan PM lebih kompleks di kalangan penyokong kerajaan campuran PH-BN di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, berbanding Kelantan dan Terengganu, tetapi situasi di Kedah agak berbeza dan banyak mencabar kepentingan UMNO dan BN. Pokoknya hari ini, masyarakat massa ternanti-nanti status pengampunan, yang secara langsung menggambarkan pengorbanan dan komitmen khususnya pendokong kerajaan campuran hari ini. Lebih mengusutkan lagi, hari ini Parti Amanah menerusi Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub memohon maaf kepada UMNO di atas gesaan Pengarah Komunikasinya meminta Baginda Agung menolak rayuan pengampunan mantan PM. Namun pun, satu suara dari sebuah parti kecil dalam kerajaan, hakikinya ada agenda tersembunyi yang lebih besar, berselindung di sebalik cetusan dan reaksi awal berkenaan.



 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan