Jumaat, 17 Mac 2023

Kemelut UMNO

 UMNO DAN PKR SALING BERGANTUNG

Tindakan Registrar of Societies (RoS) memaklumkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO menerima satu usul tambahan mengenai ketiadaan pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah tidak teratur mengikut perlembagaan parti dan tidak sah menerusi sepucut surat kepada Ibu Pejabat UMNO, telah memberikan berbagai tafsiran. 

 Sebelum pemerintah menerusi Menteri Dalam Negeri membuat respons rasmi, mantan Perdana Menteri, DS Ismail Sabri Yaacob mempersoalkan pengumuman Presiden Parti DS Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan RoS telah menerima usul supaya ditiadakan pertandingan memilih dua jawatan teratas peringkat Majlis Tertinggi. Ismail Sabri mohon ditunjukkan surat rasmi RoS. Isu yang mendapat perhatian ramai sejak berakhir PAU akhir tahun lepas, hanya terjelas setelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution berpusing-pusing menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat. Akhiran soaljawab antara dua sahabat lama, Ahli Parlimen Pas dengan bekas ahli Pas yang kini ahli Dewan Negara, ialah apa saja dibolehkan apabila ada kuasa berkehendak membolehkannya. Budi bicara sang Menteri mengatasi pertelingkahan dan kerumitan. 

Dalam makluman RoS, bahawa keputusan usul meminda peraturan parti yang dibawa oleh perwakilan dari Bahagian UMNO Rembau adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO dan RoS memutuskan usul tersebut tidak sah. Dalam erti lain, parti diminta membetulkan tindakan agar selari dengan peraturan parti. Sebelum sampai ke fasa membetulkan aturan, kembali kepada kepada parti mengambil tindakan segera, lantaran tempoh untuk UMNO mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Bekas kepimpinan UMNO yang dibuang dan digantung keahlian antara yang lantang mempersoalkan kewajaran campurtangan Menteri Dalam Negeri. Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, di samping mempersoalkan penggunaan kuasa Menteri demi menyelamat sebuah parti, juga menyifatkan campurtangan Menteri menunjukkan keputusan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan utama adalah tidak sah. Bekas Naib Presiden UMNO, DS Hishammuddin Hussein, selain menyokong pandangan Khairy, mempersoalkan apa masalah besar berlaku dalam UMNO dan memaksa mengheret Menteri Dalam Negeri menyelesaikan isu dalaman parti. 

 Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menveto keputusan RoS.  Justeru itu diterima pakai Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam akta berkenaan.

Penjelasan RoS meminta UMNO memperbetulkan tegurannya, yang tidak selari dengan peruntukan Perlembagaan parti. Mengheret Menteri, seolah-olah keputusan RoS membuka ruang kepada UMNO akan diharamkan, sedangkan ianya boleh diuruskan di peringkat dalaman parti. Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, memperuntukkan RoS boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta berkenaan. 

UMNO bernasib baik kerana menjadi rakan kongsi membentuk kerajaan perpaduan yang lebih menampakkan sebuah kerajaan campuran PH dan BN, dengan anggota lain tenggelam timbul. Manakan tidak, lebin menonjolkan dominasi PH, dengan sedikit kelihatan BN berada di medan terutama di musim pemilihan kepimpinan UMNO.Kelebihan keberadaan UMNO dalam kerajaan ini lantaran ianya lebih saling perlu memerlui antara UMNO khususnya dengan PH. Tanpa UMNO, walaupun dengan 26 Ahli Parlimen boleh meruntuhkan kerajaan Perdana Menteri ke 10 (PMX). Ini lantaran, dengan pengalaman 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada PM ke 8, kerajaan bertukar pimpinan kepada PM daripada UMNO. Justeru itu, Menteri Dalam Negeri daripada PKR, yang pernah menjawat Setiausaha Pemuda UMNO satu masa dulu terpaksa menggunakan budi bicaranya mengatasi arahan RoS. 

 Masa membentuk kerajaan selepas PRU15 dulu, UMNO memilih untuk bersama PH, menolak kebersamaan dengan Pas dan Bersatu dalam PN. Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menjelaskan UMNO merasakan keberuntungan berada bersama PH lebih besar berbanding jika UMNO berpakat dengan PN. Jelas beliau, ruang UMNO untuk bertanding lebih banyak kerusi lebih terbuka dalam PRU16 jika berada bersama PH, berbanding saingan sengit dengan Pas dan Bersatu dalam agihan kerusi  Melayu untuk ditandingi UMNO. Pastinya, UMNO akan menjadi parti lebih kecil dan kurang dominan apabila bertanding dalam bilangan kerusi atau kawasan yang lebih kurang berbanding beberapa PRU sebelum.

Dalam PRU15, UMNO bertanding di semua kerusi dua pertiga pengundi Melayu, pengundi Melayu melebihi 66% mewakili BN, berjumlah 83 kerusi Parlimen. PN menguasai 67 kerusi, BN 12 kerusi dan PH 4 kerusi. Tradisinya, kerusi-kerusi ini persaingan antara UMNO mewakili BN bersama Pas, cuma dalam PRU15, Pas berkongsi agihan kerusi dengan Bersatu, atas nama PN. Andainya UMNO sertai PN, UMNO hanya akan bertanding untuk pertahan 12 kerusi miliknya, 67 kerusi PN pertahankan, UMNO dan PN hanya akan agihan 4 kerusi milik PH, sesama mereka. Ini meletakkan UMNO di pinggiran dengan bilangan kerusi yang kecil. Cuma UMNO akan  berkongsi kerusi yang mengandungi komposisi pengundi Melayu yang lebih rendah sebagaimana UMNO berkongsi beberapa kerusi Melayu dengan MCA, MIC dan Gerakan dalam pilihan raya umum sejak tahun 1974 atas nama BN dulu. Kerusi-kerusi Parlimen yang mengandungi pengundi Melayu melebihi 60% seperti Alor Setar, Padang Serai, Hulu Selangor, Kapar, tidak pernah ditandingi calon UMNO. Cuma dalam PRU15 lalu, Simpang Renggam, Sungai Buloh dan Sungai Petani diberikan kepada UMNO. 

Bersama PH, UMNO mempunyai peluang yang besar untuk menyaingi PN mempertahankan sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu. UMNO hanya akan berkongsi agihan dengan PKR dan Amanah, yang mana UMNO lebih banyak kelebihan berasaskan keahlian, pengalaman pernah menguasai kerusi berkenaan. Namun begitu, daripada jumlah kerusi majoriti Melayu di sekitar 60-65% serta kawasan campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50%, terjumlah 35 kerusi Parlimen dalam kelompok ini, iaitu di Semenanjung. Dalam kategori ini, 21 kerusi Parlimen dikuasai oleh PH. Ini cabaran buat UMNO, yang menyempitkan ruang apabila pola komposisi pengundi mengikut etnik, peratusan pengundi Melayu semakin kecil. 

UMNO terpaksa melupakan kebersamaan dengan Pas lantaran PRU15 mengajak orang Melayu meninggalkan UMNO, yang menggambarkan kesempitan ruang untuk UMNO untuk bernafas sekadar untuk political survivals. UMNO sudah mengambil pendekatan yang sudah dirancang sebelum PRU15 lagi, UMNO tidak lupa jasa cikgunya, yang berada dalam PH. UMNO terpaksa membatalkan keputusan awal pasca PRU15 untuk jadi pembangkang. UMNO perlu bantuan untuk terus relevan dalam politik Malaysia, rakan dalam kerajaan yang dulunya comrade UMNO, tempat berpayung di kala kesusahan.

UMNO sedang melalui perjalanan yang sukar lantaran kehilangan kuasa. Di kala berkuasa, pemilihan parti yang sepatutnya berpenggal tiga tahun sekali, terpaksa ditangguh atau dilanjutkan tempoh, khususnya demi mengelakkan pertembungan dengan taikh pilihan raya. Parti utama kini paca PRU15 ialah Pas dan DAP, yang masing-masing memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Pas mengadakan pemilihan parti mengikut perlembagaan parti, setiap dua tahun di semua peringkat; Pusat, kawasan dan cawangan,  tanpa terjejas dengan persiapan menghadapi PRU. Begitu juga DAP, mematuhi peraturan parti dalam pemilihan kepimpinan parti. 

Justeru UMNO sudah memilih haluan untuk bersama dengan PH mengurus dan mentadbir negara ini, segala pahit getir UMNO menjadi tanggungjawab PH merasai sama. Sama seperti pahit getir kumpulan serpihan UMNO, menubuhkan Parti Semangat Melayu 46, 1989 dulu, menjadi tanggungjawab Pas sebagai rakan kongsi utama dalam sebuah pakatan pembangkang Melayu; Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama serpihan Pas; Berjasa dan Hamim. Pas berjanji akan terus mengendung Parti S46, susah sama didaki, senang sama turuni. Parti S46 berkongsi premis, kemudahan dan markas Pas, malah jentera Pas untuk menggerakkan jentera pilihan raya, hingga berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan, dalam tahun 1990.

Besarnya budi UMNO kepada PKR berbalas besarnya budi PKR kepada UMNO, dalam mengukuhkan agenda politics of survival. Penonton politik di Malaysia ingin melihat sejauhmana keakraban dan taawun antara PH dan UMNO, dalam politik saling bergantungan antara satu sama lain.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan