Rabu, 20 Januari 2021

Hikmah dari Darurat

PERGANTUNGAN PARLIMEN ADALAH SATU HIKMAH

Pergantungan Parlimen natijah dari pengistiharan darurat lebih banyak memberi ruang kepada semua parti politik membuat persiapan berdepan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Pastinya, PRU15 akan tiba bilamana isu utama pengistiharan darurat berpijak kepada isu keihatan: pandemik Covid-19, akan kendur atau mampu diatasi. PM semasa memberikan alasan meletakkan negara dalam darurat minggu lepas, berjanji PRU15 akan diadakan susulan wabak Covid-19 reda. Sungguhpun pihak pembangkang serta UMNO yang ikut berkongsi kuasa dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) lantang mendesak penarikan pergantungan Parlimen, peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh seminggu ini memberikan alasan kukuh langkah pengistiharan darurat untuk mengurangkan politiking demi tumpuan kepada kesihatan rakyat.
 
Peningkatan kes Covid-19 di negara kita, mencecah lebih 4,000 kes hari ini (20/01/2021) yang telah merekodkan angka kes harian melebihi 3,000 kes sejak awal tahun. Catatan kes harian di negara kita dalam tempoh 5 hari terakhir: 3,211 (16/01/21), 4,029 (17/01/21), 3,306 (18/01/21), 3,631 (19/01/21), 4,008 (20/01/21) meletakkan negara kita di kedudukan ke 60 dalam senarai negara terlibat Covid-19. Kini jauh meninggalkan negara China yang menduduki tempat pertama awal tahun lepas, kini berada di tempat ke 83. Bilangan kes di China hanya 109 (17/01/21), 109 (18/01/21), 118 (19/01/21), 103 (20/01/21). Hari ini, jumlah kumulatif kes di Malaysia ialah 169,379 berbanding China dengan kumulatif 88,557 kes. 
 
Wajarlah Parlimen digantung yang melibatkan tanpa persidangan sepanjang tempoh darurat yang akan berakhir pada 01/08/2021. Apapun, darurat boleh ditarik balik lebih awal bergantung kepada perkembangan kes Covid-19. Ini membolehkan parti-parti politik mempersiapkan kerja-kerja untuk mengemas jentera parti untuk PRU15. Justeru kedudukan terkini kerajaan PN kehilangan majoriti di Parlimen, lantaran sudah 3 orang Ahli Parlimen UMNO mengambil sikap tidak menyokong kerajaan pimpinan TS Muhyiddin Yassin, pastinya PRU15 akan berlaku di pertengahan penggal. Maksudnya PRU15 akan berlangsung dalam tempoh terdekat, berlainan dengan kebiasaannya menggenapi tempoh 5 tahun. 
 
Gerakerja pilihan raya bukan lagi kerja empat atau lima tahun sekali. Lantaran jangkaan PRU15 di luar musim dan luar jangkaan, meletakkan parti-parti akan berkerja sepanjang masa atau kesiap-siagaan lebih teratur dan berjadual. Peluang Parlimen digantung, digunakan sebaik mungkin untuk menggerakkan jentera parti di semua peringkat, khususnya peringkat lokaliti dan daerah mengundi. 
 
Usah digertak kerajaan PN tanpa majoriti, dengan harapan akan terbentuk sebuah kerajaan baru. Puak mana akan jadi kerajaan, kumpulan Pakatan Harapan pun tak cukup majoriti. UMNO dengan 38 Ahli Parlimen pun ada perancangan membentuk kerajaan. Pastinya, mana-mana pihak atau puak yang membentuk kerajaan berdepan dengan situasi tanpa majoriti. 
 
Cukupkah persiapan memantapkan jentera parti. Berapa ramai yang berjaya merekrut menjadi ahli dan penyokong setia. Berapa ramai anak-anak muda berjaya didaftarkan sebagai pemilih di setiap daerah mengundi. Sudahkah parti mengenalpasti dan melengkap jentera penculaan, petugas hari mengundi, polling agents, counting agents, perayu undi, pasukan kempen berfokus kepada sasaran; anak muda, golongan B40, warga emas, pesakit kronik, warga kurang bernasib baik, kakitangan awam. Sejauhmana rekod pengundi luar atau penyokong parti di luar daerah dan negeri serta kekerapan sesi pertemuan dengan pengundi berkenaan. 
 
Melaksanakan analisa SWOT untuk mencari kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman kepada parti di peringkat asas: lokaliti dan daerah mengundi, haruslah menjadi fokus dan tindakan dalam memantapkan jentera parti hadapi PRU15 yang boleh diadakan bila-bila masa. Tidak semestinya Parlimen harus ditunggu sehingga bulan Jun untuk dibubar bagi membuka laluan kepada PRU15, untuk membolehkan Ahli Parlimen cukup tempoh perkhidmatan 36 bulan untuk melayakkan seseorang itu memperolehi pencen. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut tempoh matang Parlimen harus dibubarkan tanpa memasukkan tempoh paling awal Parlimen boleh dibubarkan. Justeru itu, parti-parti politik sewajarnya menfokuskan kepada kerja-kerja mengemaskan jentera parti bukan mencari ruang menumbangkan kerajaan yang sedang memerintah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan