Jumaat, 3 Disember 2021

PRN Melaka

 IMPLIKASI DARI PRN MELAKA

Pilihan Raya Negeri  Melaka ke 15 (PRN Melaka 15) yang berlangsung pada 20/11/2021 lepas lebih menarik jika dilihat dari sudut keterasingannya dalam lanskap nasional. Dalam sejarah demokrasi kepilihanrayaan nasional, selain pengalaman Sabah dan Sarawak, amat luar biasa PRN diadakan terasing dari jadual Pilihan Raya Umum. Cuma dalam pilihan raya pertama selepas merdeka (1959), pilihan raya untuk kerusi negeri-negeri diadakan berasingan dengan pilihan raya Parlimen. Pengalaman pertama hanya PRN Kelantan 1978, ekoran krisis politik negeri masa itu. 

PRN Kelantan 1978 menjadi asas kepada Pilihan Raya Umum 1978 (PRU 5) yang diadakan 4 bulan berikutnya. Tumpuan semasa, apakah PRN Melaka 2021 membentuk tapak untuk PRU15.

PRN Melaka telah memberikan satu gambaran bacaan awal kecenderungan politik rakyat dalam lingkungan kelainan iklim kehidupan yang terdedah kepada kepelbagaian fokus. Perkembangan selepas PRU14; pentadbiran Pakatan Harapan, pertukaran pemerintahan, kesan pandemik Covid-19, terbantut kegiatan ekonomi dan pergerakan rakyat, memberikan petunjuk prestasi parti-parti yang bertanding. 

Barisan Nasional (BN) yang dijulang lantaran keupayaan menguasai lebih banyak kerusi dalam menebus kekalahan dalam PRU14, menambah dari 13 kerusi kepada 21 kerusi untuk menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga. Tetapi jumlah undi BN hanya 38.39% atau 122,741 undi berbanding 156,318 undi atau 37.84% dalam PRU14, kekurangan sebanyak 33,577 undi atau penurunan 21.48%.   Perolehan undi yang lebih rendah dipungut oleh BN walaupun disebut mencapai kemenangan besar beriringan peratus keluar mengundi yang rendah; 85% dalam PRU14 kepada 65.84% dalam PRN minggu lepas. 

BN berjaya mempertahankan 12 daripada 13 kerusi yang dimenangi dalam PRU14 dan merampas 9 kerusi Pakatan Harapan (PH). Dari jumlah 21 kerusi dimenangi BN, hanya kerusi Lendu dan Merlimau yang mencatat peningkatan undi. Di Lendu, undi BN meningkat dari 4,016 undi (46.87%) kepada 4,486 undi (63.88%), sementara di Merlimau, dari 5,290 undi (49.38%) kepada 5,633 undi (58.43%). Kedua-dua kerusi ini memiliki majoriti pengundi Melayu.

Di kubu tradisi UMNO, Sungai Udang, calon BN ditewaskan oleh calon Perikatan Nasional dari Bersatu. Dalam PRU 14, BN membolot 56.22% undi atau 10,079 undi, tetapi dalam PRN hanya mampu memungut cuma 40.24% undi atau 6,259 undi. 

Satu lagi kubu kuat UMNO, Tanjong Bidara, undi BN telah merosot dari 4,865 undi (58.15%) kepada 3,559 undi atau 49.14%, walaupun mampu pertahan kerusi, di kawasan majoriti Melayu. 

BN yang mempertaruhkan 20 calon UMNO, 7 calon MCA dan seorang calon MIC walaupun berjaya menguasai kerajan dengan 21 kerusi (18 UMNO, 2 MCA, 1 MIC) tidak menggambarkan penguasaan sebenar bukan bertumpu kepada peratusan keluar mengundi yang rendah, tetapi dibantu situasi saingan 3 penjuru atau lebih, yang turut mengongsi pecahan undi.  

Kemenangan kurang selesa dengan pungutan undi popular di bawah 50% dari 14 kerusi BN memperlihatkan faktor-faktor peratusan keluar mengundi serta saingan lebih 2 penjuru memberi kelebihan kepada BN dalam PRN Melaka. Kerusi berkenaan: Tanjong Bidara (49.14%), Rembia (41.62%), Gadek (39.36%), Machap Jaya (46.47%), Durian Tunggal (40.55%), Pantai Kundor (40.03%), Paya Rumput (39.68%), Klebang (38.49%), Pengkalan Batu (35.77%), Duyong (38.36%), Telok Mas (48.01%), Rim (45.31%), Serkam (43.32%), Sungai Rambai (48.32%).

Undi BN merosot di 26 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Kemerosotan undi yang tinggi berbanding PRU14 di kawasan majoriti bukan Melayu: Bandar Hilir (51.82%), Kota Laksamana (49.75%), Kesidang (45.19%). Di kawasan majoriti Melayu, kemerosotan undi jelas kelihatan di Sungai Udang (37.86%), Pantai Kundor (31.40%), Tanjong Bidara (26.84%), Bukit Katil (28.75%),  Kuala Linggi (26.14%), Merlimau (25.29%),  Serkam (21.29%).

Pakatan Harapan (PH) yang menurunkan 28 calon mewakili 11 PKR, 8 DAP dan 9 Amanah, menerima keputusan yang jauh merosot berbanding dengan pencapaian PRU 14 yang mampu menguasai kerajaan negeri. Dalam PRU 14 pakatan pembangkang (kemudiannya dijenamakan Pakatan Harapan) memenangi 15 kerusi dalam PRU 14 menerusi 8 DAP, 3 PKR, 2 Bersatu dan 2 Amanah, dengan memungut 211,153 undi atau 51.11% undi popular. Dalam PRN, PH hanya mengaut 114,457 undi atau 35.80% undi, iaitu kekurangan sebanyak 96,696 undi atau peratus kemerosotan sebanyak 45.79.

Pencapaian calon-calon PH lebih terserlah kepada kecenderungan pilihan mengikut kaum dan geografi. Kawasan majoriti bukan Melayu: Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang dan Ayer Keroh,   sungguhpun undi dan peratusan undi popular menurun, tetapi relatif dengan penurunn peratusan keluar mengundi. Kesemua kerusi majoriti bukan Melayu dimenangi PH menerusi calon DAP. Semua kerusi ini mempunyai peratusan keluar mengundi yang rendah; Bandar Hilir (57.38%), Kota Laksamana (58.64%), Kesidang (60.84%), Ayer Keroh (61.57%). Peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi PRN Melaka ialah 65.64%. 

Di Kota Laksamana, PH kehilangan 6,673 undi berbanding PRU14, dengan mengumpul 80.83% undi popular dalam PRN berbanding 81.68% dalam PRU14. Di Bandar Hilir, 81.19% (PRN) dari 83.05% (PRU14), dengan penurunan 4,947 undi. Di kerusi Kesidang, undi PH merosot sebanyak 8,111 undi dari 22,880 undi  (72.64%) kepada 14,769 undi (65.86%). Di Ayer Keroh, undi PH merosot daripada perolehan 65.31% undi popular PRU14 kepada 59.97%, merosot sebanyak 4,820 undi.

PH hanya menang satu kerusi di kawasan majoriti Melayu ialah di Bukit Katil menerusi calon Amanah, yang memungut 41.44% undi untuk mempertahankan  kerusi lantaran perpecahan undi calon lawan dalam saingan 4 penjuru. Calon PH, bekas Ketua Menteri Melaka memperolehi 6,805 undi (merosot sebanyak 4,421 undi dari PRU14), calon BN dari UMNO dapat 5,748 undi (35.10% dan merosot sebanyak 2,319 undi), calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas memungut 3,715 undi (22.68% dan meningkat 1,478 undi dari PRU14). Calon bebas dapat 109 undi. Calon PH menang dengan majoriti 1,057 undi atau 4.16%. 

Kemerosotan undi dicapai oleh calon-calon PH lebih terserlah di kawasan majoriti Melayu. Undi PH yang ditandingi oleh calon PKR telah alami kemerosotan undi berbanding PRU14, Tanjung Bidara (75.56%), Sungai Udang (74.06%),  Sungai Rambai (60.34%), Rim (54.61%). Kerusi yang ditandingi menerusi calon Amanah juga alami kemerosotan besar; Ayer Limau (75.26%), Serkam (58.11%), Merlimau (53.78%), Kuala Linggi (50.06%). Di Bemban, kawasan 60% Melayu, PH menurunkan calon DAP, undi PH telah merosot sebanyak 55.77%. Keseluruhannya undi calon-calon PH telah merosot di antara 33% hingga 75%.

Pakatan parti ketiga, sebuah gabungan baru, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan. Dalam PRU14, Bersatu bersama pakatan pembangkang PKR-DAP-Amanah, Gerakan bersama BN. Pas mewakili kumpulan ketiga bersendirian. Walaupun begitu, jika terjemahkan undi kelompok ketiga PRU14 sebagai undi kelompok ketiga PRN Melaka (PRN Melaka 15), memperlihatkan prestasi lebih baik berbanding BN dan PH, dari sudut pencapaian sokongan walaupun PN hanya memenangi 2 kerusi sahaja. 

Pas yang bertanding mewakili PN di 8 kerusi, mencapai peningkatan undi di 7 kerusi dalam peratus keluar mengundi yang lebih rendah berbanding PRU14. Calon Pas di Kuala Linggi, yang hilang wang pertaruhan dalam PRU14, telah berjaya menambahkan 704 undi atau 74.81%, dari 941 undi kepada 1,645 undi. Calon Pas di kerusi lain telah meningkatkan undi: Klebang (70.95% iaitu dari 2,272 undi kepada 3,884 undi), Bukit Katil (66.07%), Durian Tunggal (58.73%), Serkam (44.87%), Merlimau (34.37%), Taboh Naning (21.06%). 7 kerusi berkenaan adalah kawasan majoriti Melayu. Cuma di Duyung, iaitu kawasan campuran, undi Pas telah merosot 64 undi atau 2.18%. 

Dalam PRU14, Pas bertanding di 24 kerusi dalam saingan tiga penjuru. Pencapaian undi PN menerusi calon Bersatu di kawasan ditandingi Pas dalam PRU14 memperlihatkan berlaku peningkatan undi di kala BN dan PH alami kemerosotan undi. Di kerusi  majoriti Melayu, peningkatan undi oleh kelompok ketiga; di Paya Rumput telah meningkat 155.13% daripada undi Pas dalam PRU14: 1,552 kepada undi PN 3,972 undi, Ayer Limau (131.93%), Rim (114.74%), Tanjong Bidara (112.86%), Rembia (102.75%), Sungai Rambai (89.61%). 

Hanya 3 kerusi di mana undi PN merosot, selain kerusi Duyong ditandingi Pas, Asahan merosot 1 undi dan Ayer Keroh, 88 undi atau 3.43%, kawasan majoriti bukan Melayu ditandingi Pas dalam PRU14. PN diwakili oleh calon Gerakan di Asahan dan Ayer Keroh. 

Keseluruhannya, BN menguasai kawasan majoriti Melayu dan PH menguasai kawasan bukan Melayu atau kawasan bandar dengan masing-masing alami kemerosotan undi, dengan pengurangan peratusan undi lebih besar berbanding peratus keluar mengundi keseluruhan. Sebaliknya PN sebagai kuasa ketiga berjaya menarik undi daripada BN dan PH khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu atau kawasan desa dan pinggir bandar. Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah memberikan kesan tolakan kepada BN dan PH tetapi memberikan tarikan kepada PN. Di samping menggambarkan kemampuan Pas mengekalkan penyokong tradisi tetapi juga menjadi ukuran pengaruh Bersatu menarik undi PKR dan Amanah. PRN Melaka menyaksikan perebutan pengundi di kawasan luar bandar atau komuniti Melayu terutama antara UMNO, Bersatu, Pas, PKR dan Amanah. 

Penulis berada di Melaka selama 6 hari menjelang hari pengundian, dengan fokus memantau dan memerhati gerkerja parti-parti bertanding, dalam norma baru ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon tiada peluang bertemu pengundi, tiada ruang calon memperkenalkan diri secara langsung, tiada gerakan kempen rumah ke rumah. Calon atau ejen calon hanya meletakkan risalah atau bahan kempen di pintu pagar rumah pengundi. Bendera, banner dan poster calon adalah medan utama memperkenalkan parti dan kewujudan calon bertanding.

Di samping peratusan keluar mengundi yang rendah sebagai faktor mengubah kecenderungan pilihan pengundi, peraturan kempen dalam bentuk norma baru tanpa pertemuan bersemuka dan kempen terbuka memberikan kesan besar kepada keputusan pengundi. 

Lebih penting, jangkaan kecenderungan pengundian dalam PRU15, seandainya norma baru menghadapi pandemik Covid-19 terus berlanjutan. Sungguhpun suasana pilihanraya dalam suasana aman, tenang dan sepi tepi lebih banyak memberi debaran dan jangka luar biasa kepada parti-parti bertanding.

 






 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan